in ,

Maria Farida Bintangi Drama Bersiri Rias Mutiara

MARIA FARIDA MUNCUL BINTANGI DRAMA BERSIRI RIAS MUTIARA DI TV2

Kemunculan pelakon cantik Maria Farida yang telah lama menyepikan diri daripada membintangi drama-drama di televisyen pastinya cukup dinantikan peminat setianya. Diletakkan bergandingan dengan pelakon-pelakon terkenal tanah air yang lainnya seperti Siti Elizad, Catriona Ross, Amyza Aznan, Cico Harahap, Badrul Muhayat selain Anuar Adam sebagai pendukung watak utama, Maria Farida menjanjikan lakonan terbaiknya sebagai Puan Sri Suria dalam drama bersiri bertajuk Rias Mutiara yang bakal menemui penonton setia RTM mulai 29 April ini, setiap Khamis, jam 8.30 malam menerusi TV2.

Diberikan peranan utama menjadi wanita yang gigih mengusahakan perniagaan miliknya selain berdepan dengan konflik perasaan dan berdepan dengan anak tunggal kesayangannya, penonton dapat menyaksikan plot menarik tentang konflik perniagaan dan juga kekeluargaan mengisi drama bersiri 13 episod ini.

Kisahnya bermula dengan babak yang memperkenalkan Puan Sri Suria sebagai pemegang saham terbesar syarikat Suria Link, sebuah syarikat penghantaran kargo yang berjaya. Operasi penghantaran ke pelabuhan antarabangsa Suria Link berjaya meneroka laluan negara-negara timur tengah dan Latin dengan bantuan Badrul, tulang belakang Suria Link.

Manakala anak Puan Sri Suria, Sofia baru sahaja balik dari London setelah menamatkan pelajaran. Dia akan mengambil-alih segala urusan di Suria Link.

Namun di luar pengetahuan Puan Sri Suria, Badrul sebenarnya gunting dalam lipatan. Dia dan Hanisa, setiausahanya berpakat untuk menjatuhkan Suria Link.

Adam yang berada di London pula, sedang membuat persiapan untuk ke Malaysia. Dia ingin menunaikan impian papanya, Johan untuk menemui nenek dan datuknya di kampung. Apabila sampai di Malaysia, tanpa disengajakan dia telah berkenalan dengan Sofia dan mula terpikat antara satu sama lain. Adam memberitahu Sofia tujuannya ke Malaysia dan Sofia sedia membantu Adam. Mereka kemudian ke kampung Johan untuk mencari Haji Karim, datuknya. Tetapi malangnya, Haji Karim tidak dapat menerima Adam sebagai cucunya.

Badrul tidak berputus asa mengoda Puan Sri Suria. Walaupun sering mengelak tetapi sebenarnya Puan Sri Suria tewas juga dengan godaan Badrul. Hanisa cemburu dengan layanan Badrul terhadap Puan Sri Suria. Ini membuatkan Badrul terpaksa berpura-pura jatuh cinta dengan Hanisa kerana takut Hanisa tidak mahu membantunya dalam kegiatan penyelewangannya lagi.

Ketika itu Badrul mula menjalankan niat jahatnya untuk mengaut keuntungan berganda dengan mempergunakan kepercayaan Puan Sri Suria terhadapnya. Dia berkomplot dengan Mr Liong untuk mendapatkan tender di luar pengetahuan Puan Sri Suria.

Puan Sri Suria kecewa dengan masalah yang dialami oleh syarikatnya. Dia ke klinik kerana berasa tidak sihat, tiba-tiba dia rebah di hadapan klinik. Adam yang secara kebetulan berada di kawasan yang berhampiran telah membantu Puan Sri Suria. Ini membuatkan Puan Sri Suria terhutang budi kepada Adam. Dia tidak menghalang perhubungan Sofia dengan Adam walaupun dia telah mendapat tahu bahawa Adam adalah anak bekas kekasihnya, Johan.

Namun hubungan cinta mereka mendapat tentangan hebat Johan. Dia mahu anak bujangnya itu memutuskan hubungan dengan Sofia. Ketika itu juga muncul Sabariah, mak cik kepada Sofia yang mahu menjodohkannya dengan anak lelakinya, Imran. Sofia tiada masalah untuk menjalinkan hubungan baik dengan abang sepupunya itu begitu juga dengan Imran hingga menimbulkan perasaan cemburu di hati Adam. Begitu pun Adam bersyukur kerana Haji Karim akhirnya lembut hati menerimanya sebagai cucu.

Konflik berterusan hingga membuatkan Puan Sri Suria bertambah tertekan dengan masalah ditimbulkan oleh Badrul hingga mengancam kestabilan syarikatnya. Sofia yang dapat membaca tembelang sebenar Badrul cuba untuk mengingatkan ibunya supaya berhati-hati dengan Badrul. Sebaliknya Sofia kecewa kerana ibunya lebih mempercayai Badrul daripada anak sendiri dan terpedaya dengan kata-kata manis lelaki itu.

Pertemuan semula Puan Sri Suria dengan Johan pada situasi yang tidak terduga menimbulkan keadaan tegang antara keduanya. Johan mempertahankan pendiriannya menolak hubungan Sofia dengan anaknya. Malah menyerang bekas kekasihnya itu dengan menegaskan Puan Sri Suria telah mengganggu keluarganya.

Badrul pula kini menjadi semakin tamak. Dia semakin berani menyeleweng duit di dalam akaun Suria Link tanpa disedari Puan Sri Suria yang telah ’dibutakan’ perasaan cinta. Begitu pun pendirian Puan Sri Suria berubah setelah terdengar perbualan Badrul yang cuba ingin menggoda anaknya, Sofia. Hinggalah perbalahan terjadi antara keduanya yang membuatkan Sofia merajuk dengan ibunya.

Perselisihan faham antara Sofia dengan Adam membuka peluang kepada Marisa yang berdendam dengan Sofia untuk membalas dendam. Dia menggoda Adam untuk menyakitkan hati Sofia. Lalu pada masa sama Marisa mengugut Badrul yang ingin menggodanya untuk membocorkan rahsianya kepada Puan Sri Suria dan Sofia.

Saujana Link pula telah mengupah penyiasat bagi mengekori Badrul setelah Suria Link kini mengalami kerugian teruk hingga menimbulkan perasaan tidak yakin di kalangan pemegang saham. Malah ada pekerja Suria Link yang telah meletakkan jawatan.

Di tengah-tengah konflik itu, mampukah Puan Sri Suria dengan dibantu Sofia dan Adam menyelesaikan masalah yang ada? Apakah pula yang terjadi terhadap Badrul? Berjayakah mereka membawa Badrul ke muka pengadilan untuk menanggung segala kesalahan yang pernah dilakukannya? Saksikan kesudahan drama terbitan Ardwerk Production Sdn Bhd ini menemui penonton setia TV2 setiap Khamis, jam 8.30 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Movie Day Out Sensasi Selebriti – Filem Evolusi KL Drift 2

Sokker Koors Semarakkan Sambutan Piala Dunia FIFA 2010