in

Majlis Pelancaran Buku Sembang Tepi Jalan & Syurga Yang Hilang

Syarikat penerbitan Merpati Jingga akan menerbitkan dua buku; SEMBANG TEPI JALAN dan SYURGA YANG HILANG oleh Meor. Kedua-duanya merupakan antologi tuisan berdasarkan pengalaman sebenar penulis sepanjang hidupnya menjadi seorang pemuzik jalanan.

Sabtu telah berlangsung majlis pelancaran buku SEMBANG TEPI JALAN dan SYURGA YANG HILANG oleh Meor :

Tarikh : 31 Mac 2012 (Sabtu)

Tempat : G-45, Laman Seri Business Park, Seksyen 13, SHAH ALAM

Masa : 4.00 – 4.20 petang

Persembahan oleh Amerul Affendi (pelakon filem), dan Meor (penyanyi, pemuzik).

cover syurga (flat)

SINOPSIS
SEMBANG TEPI JALAN – SYURGA YANG HILANG ialah sebuah siri pengalaman yang dinukilkan setiap kali pertemuan dengan rakannya, Amin (bukan nama sebenar).

Amin telah ‘bertukar agama’. Dilahirkan sebagai Islam. Merantau dan berjaya. Amin mendakwa sangat akrab dengan alam roh yang bebas.

Amin menjadi seorang yang tidak mempercayai agama – a free-thinker. Namun, beliau percaya kepada wujudnya Tuhan. Free-thinkers adalah golongan yang percaya pada Tuhan mengikut kefahaman masing-masing. Free-thinkers bukannya atheist.

Semasa perantauan, Amin telah mengkaji Tuhan melalui agama – Islam, Kristian, Hindu, Zen, Yahudi, Buddha. Sesungguhnya, beliau tidak mempercayai orang yang beragama kerana golongan itu ramai yang berpura-pura. Mereka itu suka kepada kebaikan yang menunjuk-nunjuk. Kebaikan yang terbaik buatnya adalah dari dalaman, bukan luaran.

Wallahu alam

Siapa Meor?

Meor pernah merempat dengan hidup sebatang kara, dalam menyara hidup keluarganya, Beliau mencari sesuap nasi dengan bermain gitar di tepian lorong Pasar Seni (yang kini dipanggil Pasar Budaya sungguhpun stesyen LRT berdekatan menggunakan nama Pasar Seni) dan Jalan Alor (kemudian kini dipanggil Jalan Kejora tetapi orang masih memanggil Jalan Alor). Beliau pernah dihumban ke dalam lokap kerana dipercayai penagih dadah kerana bermain muzik di tepi jalan.

Kata Pengantar

PENGANTAR SEMBANG TEPI JALAN 2

Manusia Satu Jurusan

Ma, nyamperin matahari dari satu sisi.
Memandang wajahmu dari segenap jurusan.
— Rendra, “Pamflet Cinta”

KITA seringkali keliru. Apabila bait-bait lagu menyebut perkataan kasih dan sayang, kita menganggapnya lagi cinta cengeng – cinta yang biasa-biasa untuk memenuhi tuntutan nafsu serakah manusia.

Seperti juga apabila kita mendengar lagu yang menyebut nama Allah, kita langsung menganggapnya sebagai lagu ketauhidan. Atau, dalam bahasa popnya digelar nasyid.

Tetapi bagaimana mungkin jika ada pengucapan berbeza? Siapakah yang berani menyinggung tentang penyanyi yang menyebut nama Allah dengan sia-sia? Atau, tentang berapa orangkah memeluk Islam setelah mendengar lagu-lagu nasyid di Malaysia?

Begitulah bagaimana sepelenya manusia dan tanggapan-tanggapannya. Dalam dunia muzik tanah air, Meor Yusuf Aziddin antara laki-laki yang terus diheret dalam tanggapan sepele, atau dengan kata lain: satu jurusan.

Dalam kesesakan KL Sentral, jantung pengangkutan ibu kota, Meor anak kelahiran Bruas itu seorang penghibur jalanan. Penghibur. Tetapi di mata yang lain cuma seperti peminta sedekah.

Di pentas dan dentum pembesar suara, dia seorang penyanyi yang pemarah (kadang-kadang melankolik juga). Tetapi di dunia blog, anda akan melihat spektrum yang berbeza.

Memahami bahawa dunia bagai spektrum inilah yang menjadikannya berbeza dengan pengkarya lain tanah air – tak kira dunia indie atau arus perdana.

Buku yang anda tatap ini adalah pemikiran Meor yang paling spektrum, yang dituangnya berhari-hari, sedikit demi sedikit dalam blognya Pesta Jiwa.

II
Kisah Meor, seperti judulnya – Sembang Tepi Jalan – selalu tidak dipedulikan orang. Masyarakat kita, cenderung terpesona dengan cerita-cerita besar di kaca televisyen atau sidang parlimen. Memang, itu jalan singkat untuk tampak hebat.

Tetapi, setiap kali bertemu Meor, saya selalu mengingatkannya, idea besar disampaikan dengan cara yang rumit dan penuh teknikal itu biasa. Seperti juga cerita-cerita kecil, cerekarama di televisyen misalnya, mudah saja diceritakan dengan sederhana mungkin.

Tetapi yang susahnya, bagaimana menghidangkan kepada pembaca (jika teks) atau pendengar (jika audio) idea-idea besar dalam bahasa yang mudah, supaya semua pihak dapat memahaminya mengikut tahap pemikiran masing-masing.

Bagi orang kebanyakan, menyanyi di tepi jalan, seperti yang Meor lakukan setiap hari, perkara kecil. Cerita kehidupan lelaki dengan empat cahaya mata dan seorang anak austisme itu cerita kecil. Kisah perjalanan kreatif menghasilkan karya bermutu (dan selalalunya tidak laku) itu juga karya kecil.

Kenapa? Sebab semua ini tidak diberita atau dikisahkan di kaca televisyen. Juga tidak dibincangkan di parlimen Malaysia oleh 222 anggotanya. Kerana itu, semua ini kecil.

Namun, jika dirujuk dalam sejarah bangsa dan tamadun mana pun, semua karya-karya besar itu sebenarnya merayap dalam nadi kehidupan setiap rakyatnya.

Misalnya, si Muslim tetap membaca al-Quran setiap Jumaat, tak kira siapa pun dia – intelektual atau hamba. Misalnya, si Nasrani tetap ke gereja tiap hujung minggu untuk mendengar mazmur-mazmur Daud dilagukan, tak kira tuan besar besar atau seorang drebar.

(Saya bagaimanapun rasa ralat untuk ‘membesarkan’ atau ‘mengecilkan’ sebuah karya tulis. Sekali lagi memetik Rendra, dalam dunia persilatan ada nombor satu dan nombor dua, tapi di dunia sastera semuanya nombor satu, semuanya bermanfaat kepada manusia.)

Bagi yang gilakan segala yang besar-besar, Sembang Tepi Jalan II tak lebih sekadar nobody diary. Tetapi siapakah penyanyi dan penulis lagu yang menulis buku atau artikel di blog, bukan tentang gosip peribadinya sendiri?

Namakan!

III
Mengenali Meor secara dekat, laki-laki awal 40-an ini bukan sekadar pemuzik jalanan. Ada sisi lain yang tidak tertuang seluruhnya dalam lagu-lagu termuat dalam sembilan albumnya sebelum ini.

Seperti yang selalu dibualkannya, di kedai kopi atau tepi jalan, ada seakan sumbu yang melahirkan spektrum yang awal tadi, tentang ketauhidan yang bukan nasyid atau gelojoh menyebut nama Allah dengan sia-sia.

Dan itu bukanlah yang boleh saya ceritakan. Melainkan anda baca, hayati dan tenungkan sendiri. Seperti perbualannya dengan Abid di sebuah kedai mamak pada suatu petang hujung.

“Kau di tepi perigi. Aku dah terjun ke dalamnya,” kata Meor dan kemudian membawa mereka bertekak berjam-jam.

Dan mereka berbicara tentang ketuhanan dan ketauhidan. Bukan tentang lagu nasyid yang melulu menyebut nama tuhan dengan cara yang mereka sendiri tidak faham.

Dalam sajak yang sama, “Pamflet Cinta”, setelah berpuluh-puluh baris, Willibordus Surendra mengakhiri sajaknya dengan ayat yang sama digunakan di permulaan:

Ma, nyamperin matahari dari satu sisi,
Memandang wajahmu dari segenap jurusan.

Jimadie Shah Othman
Puchong

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Review Fave Hotel Surabaya

Kilauan Emas Musim Kedua