in , ,

Hikayat Cinta Ala Cinderella Dalam LENGGANG Nyanyian Khodi

Selepas penyertaan dalam program Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2), nama penyanyi Khodi, 19, nampaknya kian mekar dalam kalangan peminat muzik tempatan. Tidak mahu berlengah, Khodi kini tampil dengan lagu baharu pula yang cukup unik berjudul Lenggang.

Berbeza dengan suntikan plot cerita moden, Khodi mengambil pendekatan berani bagi memberikan perisa berbeza terhadap Lenggang. Menurutnya Lenggang adalah kisah seorang puteri yang tertunggu kehadiran putera impiannya, demikian juga ceritanya untuk si putera tercari puteri idamannya.

“Lagu ini ala cerita Cinderella. Namun, untuk muzik video Lenggang, saya dan pasukan memberikan sedikit ‘twist’ atau kelainan pada jalan ceritanya. Saya memainkan watak seorang puteri kayangan yang mempunyai sifat alter ego bertopengkan sifat baik dan nakal. Dia berjaya mempesona si putera dengan watak baiknya.

“Bagaimanapun, akhirnya si putera cuma dipermainkan apabila si puteri bertukar menjadi nakal. Saya harap pendengar dapat menghayati mesej lirik Lenggang ini yang sebenarnya sebuah hikayat relevan tidak kira zaman mengenai pencarian cinta antara dua hati. Semoga pendengar juga akan menikmati penceritaannya dalam genre ‘fusion’ pop asli,” katanya.

Khodi

Gemar bereksperimen dengan pelbagai jenis rentak lagu, Khodi mengakui kekuatan utama Lenggang adalah tidak lain melodinya yang pantas melekat di sanubari. Elemen asli yang disuntik dalam melodinya juga menyemarakkan lagi keindahan lagu ini. Paling memuaskannya, Khodi dapat mempelajari dan mempersembahkan sendiri koreografi tarian Lenggang.

“Bagi saya lagu ini mempunyai melodi dan rentak yang unik dan sebaik mendengar, melodinya akan melekat terus dalam ingatan. Ia tidak mudah dilupakan. Rentak elemen asli dalam lagu ini juga sangat menghiburkan dan boleh membuat sesiapa saja terasa nak menari. Saya boleh katakan, lagu ini mampu mencipta satu perasaan indah.

“Paling teruja, saya berpeluang untuk menari sendiri koreografi tarian Lenggang. Semestinya ia pengalaman baru disebabkan saya bukan seorang penari. Koreografinya menggabungkan tarian melayu, keraton dan bagi korus pula tarian inang. Lenggang ini sangat menghiburkan dan semoga pendengar dapat sama-sama mencuba tarian Lenggang ini,” katanya.

Khodi

Dihasilkan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), cabaran terbesar bagi Khodi adalah untuk menyanyikan sebuah lagu yang genrenya di luar zon selesanya. Tapi dengan bimbingan padu daripada penerbit Lenggang iaitu Shazee, dia mengakui banyak membantunya berjaya untuk melakukan yang terbaik.

“Saya sangat menghargai bimbingan dan kerjasama yang diberikan oleh penerbit hebat ini sepanjang proses rakaman. Selesai rakaman, saya dan pasukan menetapkan konsep muzik video Lenggang pula. Bagi saya, tariannya juga antara cabaran besar kerana ini adalah kali pertama saya benar-benar menari.

“Dalam tempoh seminggu, pereka tari Emma Tosh dan Raja Eizureen berusaha mengajar langkah tarian dan barulah saya tahu menyanyi sambil menari bukan mudah. Pengalaman berharga ini banyak mengajar. Alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan hati dan saya sangat bersyukur dipertemukan dengan insan-insan seni yang handal belaka.

“Saya pasti berbesar-hati jika pendengar di luar sana terhibur dengan lagu ini dan tidak jemu untuk mendengar dan menari bersama. Saya juga tidak mensasarkan lagu ini untuk golongan tertentu sebab bagi saya lagu Lenggang ini adalah sesuai untuk masyarakat sejagat. Semua boleh menikmatinya,” katanya.

Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini memulakan karier muziknya sekitar tahun lalu. Khodi yang juga penuntut jurusan Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pernah tampil dengan lagu Ke Mana sebelum ini. Khodi menjadikan Datuk Sheila Majid dan Dayang Nurfaizah sebagai inspirasi.

‘Lenggang’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Khodi
Khodi

What do you think?

48 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

‘JoHara Pagi ERA’ Bakal Menambah Personaliti Baharu Bergabung dengan Johan, Haniff & Ray?

Dengar Suara Hati Tuju Dalam JIWA PUSING, Liriknya Penuh dengan Makna Tersirat