in , ,

Khodi & B-Heart Salur Emosi Berat Berkisar Kepincangan Cinta Dalam TAK MAHU

Kisah turun naik dalam hal percintaan tidak dinafikan acap kali menjadi inti yang sangat menarik untuk diketengahkan dalam sesebuah lagu. Kisah sebegini tidak pernah lekang dan sentiasa mencetuskan emosi tersendiri buat pendengar apalagi jika bait-bait liriknya mengena dengan pengalaman sebenar.

Demikianlah yang cuba ditampilkan penyanyi Khodi dan B-Heart menerusi lagu duet terbaru mereka berjudul Tak Mahu. Mendapat sentuhan bersama Amir Hasan dan Mingaling daripada MassMusic, keseluruhan melodinya cukup segar dan terkini.

Menariknya, paduan vokal lembut dan mendayu Khodi serta nyanyian rap padu B-Heart menyemarakkan lagi nuansa indah lagu ini. Tatkala elemen rintihan dan dialog bergabung, emosi lagu ini tentu berjaya mencengkam sanubari pendengar.

Berkongsi lanjut mengenainya, Khodi atau nama sebenarnya Seri Khodijah Kamarul Bahrin,20, berkata Tak Mahu adalah sorotan perjalanan cinta pasangan kekasih yang berdepan kepincangan dalam menyelamatkan hubungan mereka.

“Lagu Tak Mahu ini menceritakan mengenai pasangan yang menyesal berada dalam perhubungan mereka. Pelbagai dugaan dihadapi dan keduanya tidak mahu meneruskan lagi percintaan itu.

“Harapan saya, lagu ini akan mampu menyentuh hati pendengar selain boleh kaitkan kisah mereka dengan situasi pasangan dalam cerita ini. Percayalah, tiada apa yang lebih berharga selain mendahulukan rasa cinta kepada diri sendiri terlebih dulu,” katanya.

Lebih banyak menghasilkan lagu solo sebelum ini, Khodi juga amat berbesar hati dapat berganding bahu dengan beberapa rakan artis lain untuk lagu Tak Mahu. Baginya, paling penting adalah keserasian terjalin antara mereka cukup berhasil.

“Saya suka apabila dapat berkolaborasi bersama B-Heart! Sudah lama kami berkenalan dan lagu Tak Mahu ini akhirnya menjadi lagu sulung yang menggandingkan kami. Pengalaman bekerjasama dengan Mingaling dan Amir juga cukup terbaik.

“Bermula dengan menetapkan susunan muzik paling sempurna, hinggalah bait-bait lirik indahnya, semua dilaksanakan begitu lengkap. Hasilnya, kami berjaya menghasilkan lagu Tak Mahu mengikut corak dan karakter diri saya,” katanya.

Khodi &Amp; B-Heart Salur Emosi Berat Berkisar Kepincangan Cinta Dalam Tak Mahu

Menurut terjemahan B-Heart atau nama penuhnya Hairi Azrie Henri, 25, lagu Tak Mahu menceritakan sebuah hubungan pasangan yang mengenali satu sama lain dan bersama untuk bertahun lamanya.

“Namun, konflik muncul apabila persefahaman antara satu sama lain kian tandus. Jadi saya harapkan sesiapa saja mendengarnya, ketahuilah bahawa kadangkala melepaskan adalah satu-satunya jalan penyelesaian atau alternatif yang tinggal. 

“Saya suka lagu ini kerana ia bermain emosi jadi dan dekat dengan jiwa. Rasa itu cukup terkesan menerusi penyampaiannya. Bahagian paling menarik bagi saya adalah ‘bridge’. Ia kerana, eksperimen vokal saya dan Khodi bersatu dengan sempurna,” katanya.

Menurut B-Heart, proses penghasilan Tak Mahu juga sebenarnya cukup mudah berbanding pengalamannya sebelum ini merakamkan lagu sendiri. Bagaimanapun, akuinya dia harus titikberatkan sepenuhnya soal nyanyian luhur dari hati sewaktu di studio.

“Proses rakaman lagu ini daripada pihak saya secara jujur tak sesukar rakaman lagu yang saya pernah lalui. Namun yang sedikit sulit adalah mendapatkan inspirasi. Seperti, bagaimana memulakan ayat dan habiskan luahan secara tulus serta tidak kompleks untuk cuba faham,” katanya.

Khodi yang pernah tampil dengan lagu Lenggang adalah penuntut jurusan Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Memperjuangkan muzik soul dan R&B, dia menjadikan Datuk Sheila Majid dan Dayang Nurfaizah sebagai inspirasi.

Manakala, B-Heart pernah tampil lagu Bilang Mama dan Selamat. Membesar dengan industri rap bawah tanah di Kuantan dan menganggotai YMYFAM (Young Malaysian Familia), dia juga mewakili kampung halamannya pada pertandingan bakat DiGi Live Sekolahku Berbakat. 

‘Tak Mahu’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tom Holland | 16

Netizen Bangga Lihat Nama Dua Anak Malaysia Dalam Post Credit SPIDER-MAN: NO WAY HOME

Trending Huawei | 17

Jabatan Meteorologi Malaysia Umum Cuaca Dijangka Bertambah Baik