in , ,

Konsert SLAM MENTARI MUNCUL LAGI Buka Tirai 2021

Bagai mengharapkan sinar yang lebih terang untuk tahun hadapan, 2021 bakal dibuka dengan KONSERT SLAM MENTARI MUNCUL LAGI pada Januari tahun hadapan.

Mengharapkan tahun yang lebih menyerlah dan penuh semangat, Shiraz Projects Sdn Bhd dengan bangganya mempersembahkan konsert kumpulan legenda dan terkenal ini buat para peminat konsert tempatan khususnya.

Belum pernah menjejakkan kaki bagi mempersembahkan senarai katalog lagu-lagu hits mereka, venue kali ini merupakan penambahan sejarah buat Slam mahu pun peminat tegar mereka.

Pastinya Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan bergema dengan lagu-lagu popular mereka pada 17 Januari tahun hadapan, jam 8.30 malam.

PC Konsert Slam

Gabungan vokalis hebat Zamani bersatu dengan pemain-pemain instrument professional iaitu Shah (gitar), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass) akan membawa khalayak mengimbau nostalgia masa lalu sewaktu membesar dengan lagu-lagu handalan mereka. Pastinya setiap lagu akan disertai dengan nyanyian bersama para peminat kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1991 ini.

Tiga puluh tahun dalam industri dan melalui pelbagai kenangan pahit dan manis bergelar anak seni, Slam sentiasa menghadiahkan persembahan bertenaga dan kaya bunyi bagi melengkapkan momen- momen indah buat semua peminat.

PC Konsert Slam

Menurut Shiraz yang merupakan Ketua Pengarah Ekskutif Shiraz Projects, berkata:

“Slam adalah sebuah kumpulan yang sudah lama pihak kami merancang untuk menganjurkan konsert mereka dan kini impian itu menjadi kenyataan,”

– Shiraz

Slam pernah muncul dengan rangkaian konsert yang sentiasa meninggalkan kesan yang tersendiri buat peminat, untuk konsert kali ini mereka merasakan persiapan akan jadi lebih mantap. Sudah lama tidak muncul dengan sebuah konsert dan selalunya sebelum ini Slam akan mengadakan konsert dua tahun sekali. Jadi kali ini persediaan akan lebih ekstra dan rapi.

“Kalau sebut tentang kelainan, kami boleh katakan susunan muzik akan lebih mantap lagi dan kita membesarkan lagi muzik dan bunyi dengan penambahan instrument.

Untuk konsert kali ini juga, kami akan menggunakan teknologi moden dengan menyelaraskan visual dan teknik pencahayaan. Rasanya ini merupakan sebuah ‘stepping stone’ untuk Slam memberikan satu perkara baru untuk para peminat,”

“Harapan kami agar Konsert Slam Mentari Muncul Lagi ini merupakan permulaan untuk konsert- konsert kami yang mendatang. Banyak perancangan yang sudah terkandas. Ini akan menjadi sebuah pengenalan Slam serius kembali dan juga hadiah buat para peminat,”

– Shah Slam
PC Konsert Slam

Kumpulan yang berasal dari Johor ini sudah menempa nama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dikenali di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Lagu Gerimis Mengundang telah diubah kepada pelbagai versi di negara jiran, Indonesia. Lagu tersebut merupakan salah sebuah lagu yang terkandung dalam album studio kedua, Kesan Terbukti yang dilahirkan pada tahun 1995. Album ini juga turut menampilkan pelbagai lagu hits seperti Tak Mungkin Berpaling, Manisnya Rindu, Bukan Niat Membalas Derita, Kembali Terjalin dan Nurkasih.

Sebelum itu, Slam muncul melalui album bertajuk Slam pada tahun 1994 dengan mengenengahkan lagu-lagu seperti Buat Seorang Kekasih dan Nina. Album ketiga kumpulan yang dianggotai oleh Zamani, Shah, Eddie, Ajak, Man dan Lili ini muncul pada tahun 1996 dengan tajuk Kembali Merindu. Antara lagu-lagu yang menjadi siulan melalui album ini ialah Jika Kau Rasa Getarnya, Kita Terpaksa Bermusuhan dan Kembali Merindu. Pada tahun yang sama, Slam muncul dengan konsert berskala besar pertama di Stadium Negara yang bertajuk Slam Live Concert Unplugged. Kumpulan ini turut dianugerahkan Anugerah Kembara di AIM ke-4.

Pada tahun 1998, mereka kembali meledak dengan album Dalam Harapan yang mengandungi lagu- lagu seperti Mentari Muncul Lagi, Tiada Aku Jemu, Entah Mengapa dan Terpukau Seribu Rindu. Album Slamanja dikeluarkan pada tahun 2003 dengan diikuti album Menggapai Langit pada tahun 2007.

Antara pencapaian lain buat Slam yang tersimpan erat dalam sejarah penubuhan mereka ialah memenangi tempat ketiga di Voice of Asia 1997 dan Anugerah Khas di Anugerah Musik Indonesia 1999.

Konsert Slam Mentari Muncul Lagi menawarkan tiket berharga RM 700, RM360, RM260, RM200, RM160, RM130 untuk peminat melakar sejarah bersama mereka. Untuk sebarang keterangan lanjut, sila layari www.myticket.asia untuk tempahan tiket. Bagi informasi atau update terkini, layari laman sosial Slam dan Shiraz Projects.

Sekali lagi, jangan lepaskan momen dan lakaran sejarah yang bakal tercipta kelak dengan tandakan kalender anda dengan konsert seperti di bawah ini.

KONSERT SLAM MENTARI MUNCUL LAGI yang merupakan konsert satu malam sahaja ini dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd.

PC Konsert Slam

KONSERT SLAM MENTARI MUNCUL LAGI

: 17 Januari 2021
: Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
: RM700 (Meet & Greet)
: RM360 (Diamond)
: RM260 (Platinum)
: RM200 (Gold)
: RM160 (Silver)
: RM130 (Bronze)
: www.myticket.asia
: 0386050195
: 0122560082
: shirazprojects
: shirazprojects
: #KonsertSlamMentariMunculLagi

Layari: www.shirazprojects.com

KUMPULAN SLAM

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selepas SORANG, Luqman Podolski Lancar Single Ke-2 Berjudul KEMBAR

iPhone 12 dan 5G: Ini Yang Anda Perlu Tahu