in ,

Konsert Krisdayanti ROMANSA di Istana Budaya

Selepas kira-kira dua tahun, penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti, 41, akan kembali mengadakan konsert solonya di Kuala Lumpur pada Februari 2017. Konsert tiga malam bermula pada 24 hingga 26 Februari tahun depan itu bakal berlangsung di pentas berprestij Istana Budaya.

Konsert Romansa Krisdayanti itu ditujukan khas buat peminat di Malaysia, yang setia memberikan sokongan kepadanya selama hampir dua dekad terbabit dalam industri muzik.

Konsert Krisdayanti

Konsert Krisdayanti ROMANSA di Istana Budaya

Konsert itu juga bakal menampilkan kelainan berbanding persembahannya di Malaysia sebelum ini, termasuk Krisdayanti Live in KL pada November 2014.

“Saya turut membesar bersama muzik dari Malaysia. Sejak awal pembabitan saya dalam arena seni dan ketika melangkah masuk ke pasaran muzik Malaysia, saya sudah memikirkan sesuatu yang istimewa sebagai penghargaan kepada industri di sana.

“Saya menggunakan sepenuhnya tenaga produksi dari Malaysia, termasuk teknikal, pemuzik, penari dan komposer (Aubrey Suwito). Hanya kostum disediakan oleh pereka Indonesia.

“Ia konsert pertama saya yang menggunakan produksi luar sepenuhnya. Jadi, semestinya saya yang ingin tampil berbeza dari segi pemilihan lagu, malah ada artis jemputan yang berbeza pada setiap malam persembahan,” katanya.

Konsert terbabit akan menampilkan 27 lagu popular penyanyi itu, termasuk dua single baharu yang dihasilkan di Amerika Syarikat, masing-masing Sleep To Dream dan In Love Again ciptaan Mateo Camargo serta Nathan Leone, insan yang bertanggungjawab menghasilkan single Waka Waka dendangan Shakira.

“Sebelum ini, persembahan saya hanya berlangsung satu malam dan apabila diberi peluang beraksi selama tiga malam berturut-turut, sudah pastinya stamina harus lebih kuat,” ujarnya sambil memberitahu, dirinya akan bekerjasama dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan beberapa penyanyi legenda dari Malaysia.

Konsert dibawakan oleh Neo Global Sdn Bhd itu dianggap sebagai detik kepulangan semula Krisdayanti ke dalam industri muzik Malaysia setelah berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan.

“Ketika tubuh dan fikiran saya sedang berkecamuk, tawaran mengadakan konsert ini datang bagi mengubati kerinduan peminat. Malah, ia juga dianggap sebagai konsert kepulangan saya ke rumah.”

Menurut penyanyi ini, suaminya, Raul Lemos, 45, turut memberikan keizinan untuknya menjayakan persembahan berkenaan selepas sekian lama menguruskan keluarga.

“Itu janji saya kepada suami kerana kami hanya bertemu seminggu. Beliau sibuk menguruskan perniagaannya di Timor Leste. Jadi, saya yang menguruskan keluarga. Apabila melihat kesungguhan saya menguruskan anak-anak, beliau sendiri memberikan keizinan untuk saya mengadakan konsert di Malaysia,” katanya.

Mengenai pemilihan Romansa sebagai judul konsert, katanya, ia menggambarkan kepahlawanan, seorang ibu, keanggunan dan romantik, yang bersesuaian dengan bulan cinta.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Astro Lancar Saluran BOO Destinasi Seram Terhebat di Asia

Rozita Che Wan Jawab Isu Elak Bayar Cukai