in ,

Konsert Estranged Sepenuhnya Vol 1. di Johor

Menjadi pemuzik, satu hal yang tidak akan putus membunuh adrenalin adalah melakukan persembahan. Menerusi persembahan, sama ada dalam skala besar atau kecil, adalah platform terbaik memperbaiki kredibiliti selain medan menyampaikan karya kepada peminat.

Menyedari hakikat tersebut, Estranged yang sudah mempunyai pengalaman cukup luas dalam bidang muzik, apatah lagi melakukan persembahan sejak lebih 10 tahun lalu tidak pernah lelah untuk melakukan hal yang sama berulang kali. Bagi mereka, persembahan yang dipamerkan dalam bentuk ‘live’ adalah satu rutin seni yang tidak pernah akan mati dalam jiwa pemuzik seperti mereka.

Konsert Estranged

PERMULAAN SIMBIOSIS “LIVE” ESTRANGED DI JOHOR

Jika sebelum ini Rich, Din dan Hanafi berjaya dengan siri jelajah kampus mereka, kali ini sayap mereka terus dilebarkan lagi dengan sebuah konsert jelajah yang akan mendarat di Selatan tanah air.

Memilih Johor sebagai lokasi jelajah terkini memetakan muzik mereka, Estranged menyifatkan perjalanan yang dilalui menjelang tahun 2017 adalah satu revolusi muzik dan prinsip kumpulan tersebut yang semakin matang.

“Banyak ilmu dan perkara yang kami belajar dan kutip sepanjang lebih 10 tahun menghuni belantika muzik tempatan.

“Kami mendaki dengan perlahan, mempercaturkan karya yang sesuai pasaran, memenangi beberapa anugerah, membikin karya yang bersifat peribadi dan komersial serta perlu peka selain bersaing dengan banyak band baharu, namun semuanya dilalui dengan baik.

“Ya, walaupun berdepan dengan banyak cabaran termasuk dari segi kemurungan pasaran muzik tempatan, namun Estranged belum mengalah. Kami percaya dengan kekuatan karya dan semangat yang tidak pernah putus daripada Estranged dan peminat-peminat, mudah-mudahan kami akan dapat terus terbang tinggi.

“Tempoh lebih sedekad ini juga telah mematangkan Estranged dalam banyak segi dan itu yang akan bakal diperoleh peminat lama serta kelompok peminat baharu kami pada persembahan atau karya-karya akan datang dari Estranged,” ujar Rich menyimpulkan ringkas mengenai jatuh bangun Estranged dan hala tuju mereka selepas ini.

Bakal mengadakan persembahan di salah satu lokasi paling happening di Johor Bahru iaitu Kilang Bateri, kunci temu janji kalian bersama pemilik hit Itu Kamu pada 3 Februari 2017 bermula pukul 8.30 malam.

Konsert Estranged

Melabelkan persembahan tersebut dengan jenama Konsert Estranged Sepenuhnya Vol 1. sebanyak 1,500 tiket akan dijual pada harga RM25.

Turut serta memanaskan panggung sebelum Estranged mempersembahkan peluru seni hebat mereka ialah Velvet yang akan menawan peminat dengan gemersik vokalnya.

Tentu sahaja untaian lagu yang bakal dipersembahkan akan merangkumi hit dari album perdana mereka, In Hating Memory sehingga Sepenuhnya Vol. 1.

Aurora, Itu Kamu atau Hancur Aku akan menjadi halwa telinga peminat yang bakal didendangkan secara live, adalah sesuatu yang tidak patut dilepaskan.

Sebenarnya, mereka mempunyai misi besar selepas menawan peminat di Johor pada Februari depan. Malah, negeri tersebut dipilih sebagai lokasi konsert sulung pada tahun 2017 adalah bertepatan untuk menghimpunkan peminat mereka daripada Melaka dan Singapura sekali gus.

“Besar harapan kami agar konsert ini mencapai sukses dan menjadi pemula yang baik untuk Estranged melakukan lebih banyak persembahan dalam skala besar pada masa akan datang,” jelas Estranged mengenai konsert yang menerima tajaan daripada Power Root dan Drum Asia.

Tiket-tiket sudah boleh dibeli secara online menerusi www.estrangedtour.com

Konsert Estranged

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Filem BO-PENG Taruhan Terbaru Pencil Pictures

Skankin Festival 2016 Konsert Reggae & Ska Pertama di Malaysia