in , ,

Komen Alif Satar Selepas Dikritik & Dikecam Sebab Berlakon Filem PULAU

Pelakon, penyanyi dan pengacara popular Alif Satar, 32, melihat kritikan dan kecaman dari netizen mengenai pembabitannya dalam filem kontroversi, Pulau dari sudut yang positif dan lebih terbuka.

Menurut Alif, dia percaya ramai pihak yang mengkritik pembabitannya dalam filem itu kerana mereka belum pun menontonnya di pawagam tempatan.

“Saya ada baca komen dan kritikan dari netizen mengenai pembabitan saya dalam filem ini. Saya juga sudah bersedia menerimanya.

“Apapun, saya berharap mereka (netizen) menonton filem Pulau terlebih dulu dan mereka akan tahu pendirian saya serta menilai sendiri lakonan saya dalam filem itu,”katanya.

Alif ditemui pada tayangan perdana filem Pulau bersama wakil media yang berlangsung di sini, petang semalam.

Dalam filem arahan Euho yang akan ditayangkan bermula 9 Mac nanti, Alif bergandingan dengan barisan pelakon seperti Amelia Henderson, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Namron, Wan Hanafi Su dan ramai lagi. 

Mengenai pembabitannya dalam filem Pulau, kata Alif, dia tertarik untuk menerima tawaran berlakon dalam filem itu kerana skripnya yang bagus.

“Saya  mahu mengambil peluang ini untuk mendidik orang ramai bagaimana proses untuk berlakon sesebuah filem itu.

“Saya terima tawaran berlakon filem Pulau kerana penerbit memberitahu ia adalah filem seram dan bukan filem konsep lucah.

“Pada masa sama, penerbit juga beritahu, filem ini turut menampilkan pelakon senior yang saya hormati iaitu Namron dan Wan Hanafi Su,”katanya.

Mengulas dirinya yang dikenali dengan imej lelaki baik pada kalangan peminat, Alif berkata, dia tetap dengan pendiriannya menjaga batasan tertentu dalam lakonan.

“Saya tetap dengan pendirian sama sejak dulu. Watak Ben itu, hanyalah karakter lakonan saya dalam filem Pulau. Kalau saya berlakon karakter lelaki kahwin dua pun, peminat marah juga.

“Sebagai pelakon saya sudah menjalankan tanggungjawab saya dengan menjaga batasan dari segi aspek berpakaian dalam filem ini.

“Watak saya sebagai Ben tidak mendedahkan tubuh dalam filem ini sebaliknya lengkap berpakaian tapi bukan sebab saya nak tunjuk imej baik pun,” katanya.

Dalam laporan terdahulu, trailer  filem Pulau mendapat kritikan dan kecaman dari pelbagai pihak kerana didakwa ada beberapa babak yang tidak sesuai dan  menyenangkan untuk ditayangkan di negara ini.

Selain daripada pemakaian yang agak seksi, ada juga beberapa babak pelakon lelaki yang tidak memakai baju dan pelakon wanita berbikini serta beberapa adegan yang dilihat agak panas untuk ditayangkan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Perdana Kuala Lumpur City Centre Hidang 100 Pilihan Juadah Dari Resepi Warisan