in , ,

Kisah Ragam & Gelagat Lelaki Dalam Drama Bersiri AHLI BAPAK BAPAK CLUB Arahan Tam Suhaimi

Gandingan julung kali Aiman Hakim Ridza, Luqman Hafidz dan Steven Yap selaku teraju utama menerusi naskhah terbaharu ‘Gempak Original Series’

Penonton sering disajikan dengan kisah kaum hawa terutamanya golongan isteri atau para ibu yang banyak menghiasi karya drama tempatan. Manakala kisah-kisah yang menampilkan cabaran kaum adam khususnya yang bergelar bapa jarang diketengahkan. Sehubungan dengan itu, portal hiburan Gempak di bawah payung penjenamaan ‘Gempak Original Series’ dengan berbesar hati membawakan drama bersiri komedi romantik ‘Ahli Bapak Bapak Club’ yang mengangkat golongan lelaki, suami dan bapa moden dalam menghadapi konflik, persahabatan, kerjaya dan keluarga. 

Drama Bersiri AHLI BAPAK BAPAK CLUB

Idea asal drama bersiri 10 episod arahan sutradara Tam Suhaimi ini dicetuskan oleh tenaga kreatif Gempak dengan kerjasama syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab untuk merealisasikan naskhah tersebut.

Drama bersiri ‘Ahli Bapak Bapak Club’ bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 19 Mei 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) serta turut boleh distrim menerusiportal Gempak, aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Manakala kapsul istimewa dalam format temu bual yang memaparkan pelbagai perkongsian santai pengalaman, nasihat serta tips menjadi bapa yang baik dan cool menampilkan karakter utama ‘Ahli Bapak Bapak Club’ iaitu Joe (Aiman Hakim Ridza), Bob (Luqman Hafidz) dan Nik (Steve Yap) pula akan ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 10.00 malam mulai 19 Mei 2021 secara eksklusif di kesemua platform digital Gempak.

Antara topik perkongsian menarik yang akan ditampilkan ialah ‘Cara Nak jadi Cool Dad’, ‘Trend Kesukaan Anak’, ‘Waktu Terbaik Untuk Me Time Seorang Bapak’ dan banyak lagi.

Drama Bersiri AHLI BAPAK BAPAK CLUB

Raja Jastina Raja Arshad Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, berkata,

“Terdahulu kami telah hasilkan drama televisyen The Maid dan Ramadan Pertama Edi yang mana setiap karya tersebut telah mengangkat subjeknya yang tersendiri untuk disampaikan kepada penonton. 

Terus konsisten dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan menepati cita rasa penonton, jenama Gempak yang juga merupakan peneraju kandungan alaf baharu, kali ini mempertaruhkan subjek dan topik yang tidak kerap diketengahkan di kaca televisyen iaitu cabaran golongan lelaki terutamanya kaum suami dan bapa moden dalam menyeimbangkan kerjaya, keluarga, minat, keperluan peribadi dan kehidupan secara umum dalam mengharungi zaman serba mencabar ini. 

Menerusi genre komedi dan jalan cerita yang diketengahkan, kami yakin isu dan elemen-elemen yang diselitkan pasti dekat dengan penonton. Tambah menarik, jalan cerita ini dibawa dengan begitu berkesan dengan lakonan mantap oleh barisan pelakon berpengalaman serta bakat-bakat baru yang tidak pernah ditonjolkan sebelum ini. Kami harap drama tersebut mampu menambat hati penonton serta membuka mata pelbagai pihak untuk lebih memahami situasi golongan ‘bapak’ di zaman serba moden bahawa mereka juga turut berdepan dengan isu yang mungkin kurang didedahkan.

Ini juga adalah kali pertama pihak kami bekerjasama dengan Tam Suhaimi sebagai pengarah drama ini. Kami yakin beliau mampu memberi sentuhan magis pada drama tersebut, lebih-lebih lagi Tam Suhaimi amat sinonim dengan mengarahkan karya romantik komedi. Melalui kerjasama ini, ia memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar idea dan sekali gus menghasilkan sesuatu yang berbeza.”

Raja Jastina Raja Arshad
Drama Bersiri AHLI BAPAK BAPAK CLUB

Trivia Drama ‘Ahli Bapak Bapak Club’

  1. 1. Buat pertama kalinya pelakon popular Aiman Hakim Ridza, Luqman Hafidz dan Steve Yap digandingkan bersama selaku selaku teraju utama untuk drama bersiri ‘Ahli Bapak Bapak Club’. 
  1. 2. Drama ini juga merupakan kemunculan pertama pelakon Aiman Hakim Ridza selepas bergelar bapa dan suami. Ternyata, ‘comeback’ pada kali ini menyaksikan sisi berbeza beliau menerusi watak Joe iaitu seorang pelakon yang sedang lalui zaman kejatuhan dan berusaha untuk memikat semula hati bekas isterinya, Hana, yang kini sudah semakin cantik dan popular selepas mereka berpisah.  
  1. 3. Manakala watak Bob yang dijayakan oleh pelakon filem OlaBola iaitu Luqman Hafidz pula adalah sebagai seorang bapa kepada seorang anak tetapi bukan menantu idaman kerana sering menimbulkan masalah dengan ibu mertuanya.
  1. 4. Sementara watak Nik lakonan pelakon hebat yang sering bekerjasama dengan produksi antarabangsa di China, Taiwan, Hong Kong dan Singapura iaitu Steve Yap merupakan seorang pakar motivasi terkenal namun tidak disayangi oleh dua anak tirinya. Situasi Nik tambah kacau apabila Qadir, bekas suami isterinya, mahu dapatkan kembali isteri dan anak-anaknya. 
  1. 5. Menarik lagi, ini merupakan kali pertama Steve menerajui watak utama dalam drama Melayu. Beliau juga telah banyak belajar menikmati juadah istimewa masakan Melayu sewaktu di set penggambaran.
  1. 6. Drama ‘Ahli Bapak Bapak Club’ turut meperlihatkan bakat lakonan juara Akademi Fantasia 2016, Amir Masdi yang memegang watak sebagai Fir. Drama ini juga merupakan penampilan sulung Amir sebagai pelakon.
  1. 7. Menurut pengarah Tam Suhaimi, Datuk Ziela Jalil dan Uyaina masing-masing tidak kering gusi semasa menjayakan babak mereka di set penggambaran bersama Luqman Hafidz. Kedua-dua mereka menjayakan watak sebagai mak mertua dan isteri kepada karakter Bob lakonan Luqman.
  1. 8. Rantai basikal yang ditunggang oleh Luqman Hafidz asyik tercabut ketika dalam salah satu babak sewaktu penggambaran sedang dijalankan. Namun Luqman terus fokus kepada lakonan tanpa menghiraukan rantai basikal tersebut.
  1. 9. Lokasi utama penggambaran drama ‘Ahli Bapak Bapak Club’ telah dijalankan Ketika bulan Ramadan di sekitar Cyberjaya, Wangsa Maju, Kemensah dan Batang Kali serta mengambil masa keseluruhan 18 hari untuk diselesaikan. Semua garis panduan SOP yang dikeluarkan oleh pihak MKN & KKM telah dipatuhi semasa penggambaran ini dijalankan.
Drama Bersiri AHLI BAPAK BAPAK CLUB

Barisan Pelakon Drama ‘Ahli Bapak Bapak Club’

Aiman Hakim Ridza sebagai JOE

Luqman Hafidz sebagai BOB

Steve Yap sebagai NIK

Shiqin Kamal sebagai HANA

Uyaina Arshad sebagai YEM

Maria Farida sebagai FISYA

Dato’ Ziela Jalil sebagai MAK MERTUA

Dato’ Fizz Fairuz sebagai QADIR

Amir Masdi sebagai FIR

Hariz Hamdan sebagai ABANG LONG

Danish Iskandar sebagai DHANI

Zailin Aqeesha sebagai ANDRA

Natasha Nazira sebagai SARAH

Faiz Shafie sebagai HYKAL

Abd Manan sebagai PAK AJAI

Edika Yusof sebagai EDIKA YUSOF (Penampilan Istimewa)

Drama Bersiri AHLI BAPAK BAPAK CLUB

SINOPSIS DRAMA ‘AHLI BAPAK BAPAK CLUB’

Drama bersiri ‘Ahli Bapak Bapak Club’ mengisahkan tentang tiga orang lelaki berlainan personaliti mempunyai masalah dan cabaran untuk menjadi seorang bapa.

Hana (lakonan Shiqin Kamal), seorang influencer terkenal dan juga merupakan bekas isteri kepada Joe (lakonan Aiman Hakim). Selepas berpisah dengan Joe, Hana bertambah cantik. Adakah Joe menyesal berpisah dengan Hana? 

Bob (lakonan Luqman Hafidz), seorang penganggur selepas syarikat tempat dia bekerja gulung tikar. Tapi Bob rahsiakan dari isterinya tentang ini dan berpura-pura masih bekerja. Sampai bila Bob akan main wayang? 

Yem (lakonan Uyaina Arshad), seorang cikgu dan isteri kepada Bob. Yem terpaksa menyara keluarga selepas Bob hilang kerja. Sampai bila Yem boleh tahan dengan Bob?

Nik Tan Abdullah (lakonan Steve Yap), seorang pakar motivasi yang berjaya. Nik seorang penyayang dan ada stail. Nampak macam perfect kan. Namun Nik sebenarnya tidak disukai oleh dua anak tirinya. Adakah Nik dapat menggunakan skil yang dia ada untuk mengambil hati anak tirinya?

Fisha (lakonan Maria Farida) seorang jutawan kosmetik, isteri kepada Nik dan ada 2 orang anak yang sangat disayangi. Tapi dibelakang Fisha, ada sesuatu terjadi antara Nik dan anak-anaknya di luar pengetahuan dia.

Drama Bersiri AHLI BAPAK BAPAK CLUB

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Akhirnya Kecundang Jua, Puteri Sarah Liyana Sedih Positif Covid-19 Walaupun Dah Jaga SOP

Noorkhiriah Berhadapan Detik Cemas, Anak Lelaki Hilang, Bersyukur Ditemui Selamat