in ,

Khalid Salleh KENA MAIN di Panggung Sari Istana Budaya

Sepuluh (10) tahun selepas kali terakhir Khalid Salleh mengarahkan teater (Bangsat dan Benda Sulit pada 2005), beliau yang juga seorang pengarah teater, penulis skrip dan pelakon tanah air kini kembali dengan naskhah teater karya dan arahan beliau, Kena Main.

Teater Kena Main merupakan sebuah produksi terbitan bersama Istana Budaya dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 27 Mac hingga 5 April 2015. Teater ini akan membariskan pelakon drama dan teater terkenal tanah air, iaitu Eman Manan, Sabri Yunus, Ebby Saiful, Sani Sudin, Azizah Mahzan, Mohd Rodhi Md Noor, Azman Hassan, Aida Othman serta penampilan istimewa oleh Fauziah Nawi.

Khalid Salleh KENA MAIN di Panggung Sari Istana Budaya

Kena Main mengisahkan kehidupan empat orang sahabat yang cacat penglihatan mencari rezeki dengan membuat persembahan nyanyian di kaki lima di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Secara dasarnya, tema sebegini jarang sekali disentuh atau diketengahkan oleh pengkarya di Malaysia sama ada dalam persembahan drama TV, filem, mahupun teater.

Justeru, melalui karya ini, Khalid Salleh berkongsi dengan penonton perjalanan hidup yang didepani oleh golongan kurang upaya (cacat penglihatan) yang semestinya lebih mencabar, namun tetap gigih dan tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan dalam kalangan masyarakat biasa.

Terdahulu, naskhah Kena Main pertama kali dipentaskan pada 1994 oleh kumpulan ANGKASARAN, Universiti Sains Malaysia (USM) dan dinobatkan sebagai Juara Pekan Teater Kebangsaan dalam Festival Teater Malaysia. Seterusnya, pada 1998, Kena Main dipentaskan pula di Malaysia Tourist Centre (MaTiC), Kuala Lumpur dan mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Record sebagai pementasan teater pertama di Malaysia yang menampilkan orang kurang upaya (cacat penglihatan) sebagai watak utama. Malah, naskhah Kena Main turut dijadikan projek pementasan teater oleh pelajar institut pengajian tinggi tempatan.

ITBM dan Istana Budaya mengambil inisiatif mementaskan teater ini dengan tujuan untuk mengangkat karya sastera berkualiti ke tahap lebih tinggi, selain berkongsi karya tersebut bersama-sama masyarakat setempat melalui penyampaian dalam bentuk teater sebenar yang penuh dengan teladan dan menghiburkan penonton.

Persepakatan kedua-dua pihak dalam menganjurkan teater ini adalah berdasarkan kualiti karyanya, yang padat dengan mesej serta nilai-nilai murni dan sewajarnya dipersembahkan untuk dihayati dan dijadikan pedoman oleh masyarakat tempatan. Inisiatif ini juga membuktikan bahawa teater tidak sekadar menghibur, tetapi tanpa sedar, ia juga hakikatnya dapat mendidik dan membina akal budi penonton.

Lebih istimewa, karya ini (Kena Main) berserta skrip teater lain karya Khalid Salleh iaitu Si Bereng-Bereng dan Seng Ora-Ora turut didokumentasikan dalam bentuk buku yang akan diterbitkan oleh ITBM sebagai rujukan dan bacaan peminat teater serta pencinta sastera tanah air. Ini juga antara inisiatif yang diambil bagi membantu sesebuah karya untuk kekal lama dalam pasaran.

Tiket teater Kena Main dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155, dan boleh dibeli secara dalam talian di redtix.airasia.com. Selain itu, tiket juga boleh dibeli di outlet berdaftar sekitar Kuala Lumpur iaitu cawangan Rock Corner di The Gardens, KLCC, The Curve, Subang Parade dan Midvalley; Victoria Music Centre di Sungei Wang, Bangsar Shopping Centre, Tropicana City Mall dan Amcorp Mall; KL Live di KL Sentral; Tune Store di Low Yat, dan di Pulau Pinang iaitu di Artist Gallery Gurney Plaza dan Artist Gallery Queensbay Mall.

What do you think?

74 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

ONE Siar DAEBAK! Viewer’s Choice Awards

BREAKOUT Bakal Dibuka di Nu Sentral Kuala Lumpur