in , ,

Khai Bahar Tampil Dengan Lagu BANGIT SEMULA, Jalin Kerjasama Dengan MAIWP

Melihatkan masih ramai terkesan dan terjejas akibat penularan wabak Covid-19, penyanyi popular Khai Bahar kini muncul dengan buah tangan terbaharu yang mengajak orang ramai untuk bangun dan kembali bersemangat menerusi lagu Bangkit Semula.

Lagu ciptaan Adi Pawana (Dr. Azrul Azlan) dan Alun Cendana (Gjie Majistret) dan lirik oleh Adi Pawana itu mengetengahkan mesej yang bertepatan dengan situasi di mana dunia kini sedang berhadapan dengan ancaman Covid-19 serta sebagai simbolik kepada usaha seseorang yang bangkit semula selepas tersungkur dilanda ujian dan musibah.

Menariknya, lagu Bangkit Semula itu adalah hasil kerjasama Nuansa Kreatif Sdn. Bhd., Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan 17eleven Music.

Khai Bahar

Menurut Khai, lagu Bangkit Semula adalah lagu kedua yang dihasilkan melalui kolaborasi dengan institusi agama selepas lagu Ratuku tahun lalu.

“Sebenarnya ini adalah projek amal saya bersama pihak MAIWP yang mana lebih kepada kempen kesedaran dan mengajak masyarakat untuk bangun semula. 

“Projek ini daripada pengurus saya iaitu Allahyarham Abang Fadli ketika dia masih ada. Ketika lagu ini dirakam dia masih ada. Cuma penghasilan video muzik saja dia tidak sempat,”

– Khai Bahar

Khai berkata, penghasilan lagu bagi projek amal dianggap sumbangan peribadi buat masyarakat selain menyifatkan ia sesuatu yang berharga dalam kerjaya muziknya.

“Kalau bercakap mengenai projek amal saya memang suka untuk terbabit sama. Bagi saya selagi ada peluang dan ruang diberikan, tidak salah untuk kita menyumbang. Tidak semestinya dengan wang ringgit saja.

“Macam saya menggunakan kapasiti sebagai penyanyi untuk menjayakan projek sebegini. Saya cuba buat sesuatu selagi termampu. Semoga saya dan pasukan akan dapat teruskan kerja amal sebegini sampai bila-bila,”

– Khai Bahar
Khai Bahar

Khai yang baru melancarkan single duet Nafas Cinta bersama Aina Abdul berkata, idea untuk bekerjasama dengan MAIWP tercetus selepas kolaborasi bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs).

“Idea untuk berkolaborasi ini tercetus sselepas projek pertama saya bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs) berjaya membantu pembinaan sebuah pusat dialisis di Perlis. 

“Kejayaan itu menjadi inspirasi kepada agensi yang lain untuk berkolaborasi menghasilkan projek khas seperti ini. Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu kerana siapa sangka projek sebegini memberi banyak manfaat kepada mereka yang memerlukan.

“Harapan saya agar mesej utama lagu ini iaitu usaha untuk bangkit semula dari kegagalan, kemurungan dan kesedihan dapat dihayati oleh masyarakat selain mengajak orang ramai untuk keluar dari kesedihan dan penderitaan melalui zakat dan sedekah,”

– Khai Bahar

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, komposernya, Adi Pawana berkata, melodi dan lirik Bangkit Semula mengajak orang ramai agar melihat musibah yang melanda dari sudut positif.

“Lagu ini mengajak orang ramai agar melihat musibah, ujian dan tekanan hidup melalui perspektif yang positif. Setiap kegagalan dan musibah yang dilalui bukanlah penghujung kehidupan seseorang, tapi ia adalah proses awal untuk kita menggenggam sebuah kejayaan yang lebih bermakna. 

“Kesungguhan untuk berubah dan sokongan serta bantuan daripada pelbagai pihak adalah antara mesej yang diketengahkan dalam lagu ini.

“Saya dan Alun Cendana mengambil keprihatinan pelbagai pihak dalam membantu mereka yang memerlukan termasuk agensi zakat sebagai satu ilham untuk digubah bersama di dalam lagu ini.

Peranan institusi zakat di negara ini dalam membantu mereka yang memerlukan tidak dapat dinafikan,”

– Khai Bahar

Ditanya mengenai pemilihan Khai, Adi Pawana berkata penyanyi lagu Luluh itu adalah ikon kemanusiaan yang menjadi contoh kepada masyarakat.

“Selain seorang penyanyi popular, Khai adalah ikon kemanusiaan yang menjadi contoh kepada masyarakat agar memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk berdasarkan kemampuan masing-masing. Atas dua faktor ini Khai dipilih untuk terbabit sama dalam projek ini,”

– Khai Bahar

Lagu Bangkit Semula sudah boleh distrim di semua pelantar muzik digital bermula 31 Disember lalu dan serentak dengan itu dilancarkan juga video muzik Bangkit Semula yang ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music. 

Khai Bahar

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

“Semoga Allah Menjagamu,” Neelofa Memaafkan Syamira Safiya Seikhlas Hati

Lil J Lancar Single TAHUN BARU Sempena Membuka Lebaran Tahun 2021