in , ,

“Kamal Adli & Uqasha Senrose Masih Ketakutan,” – Nelydia

Pelakon Nelydia Senrose, 28, memaklumkan keadaan kakaknya, Uqasha Senrose dan abang iparnya, Kamal Adli kini berada dalam keadaan baik.

Menurut BH Online, Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen berkata, kedua-duanya masih trauma selepas insiden Kamal diserang individu yang tidak dikenali ketika sesi bertemu peminat di Expo Singapura pada 12 Mac lalu.

“Alhamdulillah, Uqasha dan Kamal dalam keadaan baik. Cuma, masih trauma dan ketakutan kerana insiden baru berlaku.

“Jadi, mereka perlukan semangat untuk menjalani kehidupan seharian.

“Uqasha sudah kembali bekerja dan sering ditemani. Kamal masih dalam keadaan berjaga-jaga sebab kes masih dalam siasatan.

“Kita juga tidak tahu apa motif individu yang menyerang, jadi Kamal tidak berani bebas keluar. Mungkin ambil tempoh ini untuk berehat,”

Tambah Nelydia, tidak hanya Uqasha dan Kamal, malah mereka sekeluarga turut terkena tamparan hebat susulan insiden itu.

“Sebenarnya sejak hari kejadian, kami satu keluarga trauma terutamanya kakak paling tua yang ada di tempat kejadian. Ketika kejadian, semua ahli keluarga saya ada, cuma saya, emak dan Raysha sahaja berada di Kuala Lumpur.

“Saya juga sepatut berada di sana, tetapi ada sesuatu yang timbul, jadi saya tidak sempat. Jujurnya, saya juga panik, takut dan trauma.

“Jadi, kami memang berjaga-jaga dan tidak berani keluar sendirian selepas insiden berkenaan,” katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Rizman Ruzaini di sebuah hotel di sini, semalam.

Terdahulu, Kamal diserang dan dalam kejadian itu, Kamal mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, bawah mata dan badan selepas diserang seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan cota besi.

Kamal kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan.

Mengimbas kembali kejadian itu, Nelydia berkata, mereka sangat bersyukur apabila Kamal tidak mengalami kecederaan teruk dan Uqasha juga selamat daripada serangan.

“Selepas kejadian berlaku, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah nasib baik Allah panjangkan umur kakak dan abang ipar saya. Dalam keadaan sebegitu, Allah tetap melindungi mereka.

“Ia boleh jadi lebih teruk, tetapi Allah masih menjaga mereka. Alhamdulillah.

“Bila kami dapat mesej Uqasha dalam kumpulan WhatsApp keluarga, macam nak jatuh jantung sebab fikir saya akan kehilangan abang ipar.

“Dan Tya Ariffin berniaga di Singapura menelefon dan bercerita mengenai apa yang terjadi sebab Uqasha sibuk menguruskan Kamal.

“Kamal ada beritahu mujur dia yang kena bukan Uqasha. Sebab kalau Uqasha yang kena, mungkin keadaan lebih teruk,” katanya.

Berikutan itu, Nelydia berkata, tidak hanya artis, malah orang ramai juga perlu mementingkan soal keselamatan.

“Soal keselamatan sangat penting, sebab kita tidak pernah terfikir serangan akan terjadi.

“Ia juga boleh terjadi kepada sesiapapun. Tidak kisah, artis, ahli perniagaan atau cikgu sekalipun. Sekarang baru saya faham kenapa ahli perniagaan selalunya ada yang menjaga.

“Jadi, golongan wanita berhati-hati dan seringlah berteman. Dan kita tidak boleh terlalu berkongsi lokasi sebab tidak tahu niat orang,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dah Maafkan, Ziana Zain Tak Putuskan Hubungan Anak & Bekas Suami

Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan Ke-2 Buat Neelofa & Haris