in , ,

Tempoh Reman Penyerang Kamal Adli Dilanjutkan Seminggu Lagi

Tempoh tahanan reman ke atas lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli dilanjutkan tujuh hari lagi bagi melengkapkan pemeriksaan perubatan di Institut Kesihatan Mental (IMH) Singapura.

Menurut Hakim Daerah Terence Tay, IMH memohon tempoh reman terhadap suspek dilanjutkan bagi melengkapkan pemeriksaan.

“Saya membenarkan permohonan untuk anda direman selama seminggu lagi di IMH,” katanya sambil menambah sebutan kes seterusnya adalah pada 4 April.

Pada 14 Mac lalu, mahkamah menetapkan lelaki itu direman dua minggu untuk menjalani penilaian psikiatri di institut berkenaan.

Lelaki berusia 33 tahun itu menjawab “ya” apabila ditanya sama ada dia mendengar keputusan itu.

Dia didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana “disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.”

Jika sabit kesalahan, menyerang hingga menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

Pada 12 Mac kira-kira jam 9.19 malam, Pasukan Polis Singapura menerima laporan mengenai satu kes di 1 Expo Drive di mana suspek didakwa telah menyerang seorang lelaki berusia 36 tahun dengan menggunakan cota.

Polis telah merampas cota berkenaan untuk dijadikan bahan bukti dan siasatan sedang dijalankan.

Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini.

Beliau dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura.

Menurut Uqasha, kejadian itu berlaku di penghujung acara.

Turut hadir di mahkamah hari ini ialah peguam Kamal, Jason Wee dari Firma Undang-undang AVW yang berpangkalan di Malaysia.

Sumber: Bernama

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ANDMESH KAMALENG CONCERT

Konsert CINTA LUAR BIASA Andmesh Kamaleng di KL Pertengahan Tahun Ini

“Saya Bukan Penjenayah, Pelik Sampai Kerjaya Saya Terjejas” – Ali Puteh