in

Jualan Amal Tulip Tahunan KLM Royal Dutch Airlines

HADIAHKAN BUNGA TULIP SEGAR UNTUK IBU TERSAYANG
Jualan Amal Tulip Tahunan KLM Kembali Menyambut Hari Ibu

Ingin mencari hadiah yang istimewa untuk Hari Ibu ini? Kini anda boleh menceriakan hari istimewa ibu anda dengan menghadiahkan kepadanya gubahan bunga tulip yang segar, yang dibawa masuk khas oleh Penerbangan KLM Royal Dutch Airlines dari Belanda.

Bunga tulip yang amat cantik dan unik ini biasanya ditanam pada bulan Oktober atau November supaya ia tumbuh pada musim sejuk dan berbunga dengan mekar hanya seketika sahaja, dari pertengahan bulan April hingga akhir bulan Mei.

Negara Belanda terkenal dengan perusahaan bunga tulip dan merupakan salah sebuah negara yang mendominasikan pasaran bunga dan benih tulip. Setiap tahun beribu-ribu pelancong melawat Belanda untuk menyaksikan kebun bunga tulip yang luas dan menakjubkan.

Colourful tulips at last year's sale

Sungguhpun begitu, anda tidak perlu berjelajah jauh untuk menikmati dan membeli bunga tulip. Kini anda boleh memilih gubahan bunga tulip sendiri di Jualan Amal Tulip Tahunan KLM ke-14 yang akan diadakan pada Sabtu, 12 Mei 2012, di Aras Concourse Plaza Sungei Wang, bermula jam 11:00 pagi.

Sebanyak 3,500 kuntum bunga tulip ditawarkan pada acara jualan amal tersebut dan ini termauk bunga “double tulip” yang istimewa. KLM berhasrat untuk mengutip RM28,000 daripada acara jualan ini bagi tujuan amal.

Penerima sumbangan wang hasil daripada jualan amal tahun ini ialah Persatuan Kanak-kanak Khas Ampang (“Special Children Society of Ampang”, SCSOA). Bermula dengan usaha seorang ibu untuk mencari tempat asuhan yang sesuai bagi anak perempuannya yang menghidap penyakit Down Syndrome, inisiatif itu berkembang menjadi sebuah pertubuhan pendidikan khas yang memenuhi keperluan pendidikan dan social golongan kanak-kanak istimewa.

KLM tulips 1

SCSOA kini menyediakan perkidmatan untuk 80 warga istimewa, antara 2 hingga 36 tahun. SCSOA membekalkan program pendidikan secara individu dan berkumpulan untuk melatih kemahiran interpersonal dan komunikasi, termasuk melaksanakan program asuhan tingkahlaku, sesi intervensi awal untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun, latihan pra-vokasional dan kemahiran hidup, serta aktiviti masa lapang dan rekreasi.

Di samping menyediakan program pendidikan yang berkualiti dan bermakna demi merealisasikan potensi setiap kanak-kanak untuk menjadi ahli masyarakat yang berdikari, berguna dan dihargai, SCSOA juga menyediakan sistem sokongan yang mantap bagi ahli keluarga dan penjaga kanak-kanak istimewa.

“Jualan Amal Tulip Tahunan KLM telah meraih banyak kejayaan selama 14 tahun ia diadakan hasil daripada sokongan padu yang diberikan oleh masyarakat awam serta syarikat rakan kongsi yang terlibat. Kemurahan hati mereka telah membantu beribu-ribu individu kurang bernasib baik selama program ini diadakan. Pada tahun ini, dana yang dikutip akan digunakan untuk meningkatkan kualiti latihan bagi kanak-kanak istimewa di Persatuan Kanak-kanak Khas Ampang,” kata Cik Estee Ng, Pengurus Air France-KLM bagi Malaysia.

“Bunga tulip merupakan simbol negara Belanda yang terkenal. Kami ingin berkongsi keindahan dan keunikan bunga tulip dengan rakyat Malaysia. Jualan Amal Tulip Tahunan KLM sempena sambutan Hari Ibu merupakan peluang yang amat sesuai untuk tujuan tersebut,” tambah beliau.

Jualan Amal Tulip Tahunan KLM 2012 dijangka akan mengulangi kejayaan yang dicapai pada tahun-tahun yang lepas dengan adanya sokongan padu daripada para rakan kongsi termasuk Rabobank dan Plaza Sungei Wang, yang sekali lagi menjadi penaja lokasi rasmi buat tahun ke-14. Laman web komuniti yang popular di Malaysia, Cari.com pula bermain peranan sebagai media online rasmi bagi program ini.

Rabobank, peneraju perkhidmatan kewangan global dan juga pakar perbankan untuk industri makanan and perniagaan pertanian, terus berkomited dalam inisiatif ini. Dalam penglibatannya buat tahun keempat, Rabobank akan menyumbang RM1 untuk setiap kuntum bunga tulip yang dijual.

Dengan itu, harga bunga tulip dapat dikurangkan, dan pelanggan hanya membayar RM5 dan bukan RM6 untuk setiap kuntum tulip. Tambahan pula, Rabobank akan menghulurkan sumbangan tambahan sebanyak RM2 untuk setiap kuntum bunga tulip yang dijual. Dengan ini, jumlah sumbangan daripada pihak Raboban tahun ini diharap akan mencecah RM10,500.

Encik Kao Chee Ming, Pengarah Perniagaan Negara Rabobank di Malaysia berkata, “Rabobank berbesar hati menjadi rakan kerjasama Jualan Amal Tulip Tahunan KLM. Penglibatan ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami. Ia bukan sahaja merupakan peluang untuk syarikat menyumbang kepada masyarakat, malah para pekerja syarikat turut mengambil bahagian dengan penuh ikhlas.”

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

USHER To Release Brand New Single SCREAM

Disneyland Hong Kong Lancar Makanan Halal