in

Jom Tonton Wizards Of Wanna Walk Terbitan Disney Asia Channel

Dalam fikiran rata-rata khalayak, karakter ahli sihir yang sering tergambar adalah susuk wanita tua berhidung bengkok, memegang tongkat atau mempunyai penyapu boleh terbang diiringi dengan hilai tawa yang kejahatan.

Bagaimanapun imej sedemikian mungkin sudah tidak relevan dengan kemodenan semasa.

Ahli sihir zaman moden mungkin boleh terdiri daripada usahawan atau pelajar kolej. Situasi sedemikian yang dapat disaksikan menerusi siri fantasi terbaharu berjudul Wizards Of Wanna Walk.

Diterbitkan Disney Asia Channel, Wizards Of Wanna Talk mengisahkan sebuah keluarga yang dikenali sebagai D’Cruz di Kuala Lumpur yang mempunyai kebolehan luar biasa.

Keluarga tersebut terdiri daripada si bapa, Norman lakonan Datuk Afdlin Shauki, si ibu bernama Jasmin (Carmen Soo) dan anak-anak mereka Alissa, Aiden serta Amelia.

Diadaptasikan daripada siri Wizards Of Waverly Place lakonan penyanyi dan pelakon Selena Gomez, siri yang menemui penonton Jumaat pukul 1 tengah hari menerusi saluran Disney Channel (615) tersebut telah mendapat reaksi positif sewaktu disiarkan untuk penonton luar negara termasuk di Indonesia, Thailand dan Filipina.

Terlalu jauh untuk dibandingkan dengan jenama besar seperti Harry Potter, namun ahli sihir dalam siri Wizards Of Warna Walk juga terdiri daripada remaja, Alissa, Aiden dan Amelia yang comel dengan telatah menceriakan suasana.

Bukan itu sahaja, siri berkenaan juga kaya dengan nilai sosial dan budaya setempat, kekeluargaan dan nilai kasih sayang yang boleh menjadi inspirasi dalam setiap episod yang dimainkan.

Pertama kali

Seperti remaja normal, Alissa, Aiden dan Amelia mempunyai aktiviti harian seperti ke sekolah, melakukan kerja rumah, membuat aktiviti sosial bersama rakan-rakan.

Bagi Mia Sara yang mendukung watak Alissa, penglibatan dalam siri berkenaan pengalaman pertama buatnya bekerja untuk produk Disney Channel.

“Sebagai anak sulung dalam keluarga, Alissa perlu memberi contoh yang baik kepada adik-adiknya. Kalau bermain atau bergurau, Alissa harus memastikan tidak ada masalah berlaku kerana dia sangat mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh ibu bapanya,”cerita Mia Sara tentang wataknya.

Menurut Mia Sara juga, watak anak pertama memberikannya rasa tanggungjawab sebagai orang tengah dalam keluarga.

Sementara itu, Idan Aedan yang melakonkan watak Aiden pula merupakan pelajar popular yang diminati ramai gadis kerana hobinya yang suka menyanyi.

“Aiden sangat meminati muzik dan bercita-cita untuk menjadi komposer pada masa hadapan. Ada beberapa lagu dalam siri ini yang saya hasilkan sendiri. Jadi untuk mendengar lagu tersebut kena saksikan Wizards Of Warna Walk,” beritahu Idan.

Karakter

Masih tentang watak, pelakon cilik Emma Sofea yang pertama kali mencuba nasib dalam dunia lakonan dan berpeluang membawa watak Amelia juga teruja dengan pengalaman baharu yang diraih.

Karakter Amelia seorang yang suka membantu orang lain sekali gus meletakkan keluarga dan rakan-rakannya dalam pengembaraan magis serta kisah menarik mengenai perjalanan tiga beradik ini diceritakan dalam setiap 14 episod yang dimainkan.

“Bagi saya watak Amelia ini sama sahaja dengan diri saya dalam dunia realiti. Berumur 13 tahun, suka bermain-main dan nakal. Tetapi apa yang dia cuba lakukan semuanya atas niat untuk membantu orang dalam kesusahan dan akhirnya ahli keluarga yang lain turut sama menghulurkan bantuan,” ujar Emma lagi.

Bercerita lanjut tentang naskhah yang menggunakan tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Cina, Mia Sara turut berbangga kerana lakonannya turut menerapkan ciri-ciri budaya masyarakat tempatan dan sejarah negara.

Elemen tersebut secara tidak langsung mampu menyemarakkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan remaja.

“Dalam siri ini kami bertutur tiga bahasa. Dengan ibu kami berkomunikasi dalam bahasa Cina kerana ibu mempunyai darah Peranakan.

“Dari situ kami mahu memperkenalkan perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, boleh hidup harmoni dan aman damai,” kata Mia Sara yang juga anak sulung kepada Afdlin Shauki.

Tambah Mia Sara: “Dalam beberapa episod terdapat kisah Hang Tuah, Parameswara, Puteri Gunung Ledang dan Puteri Hang Li Po. Setiap episod mempunyai mesej tersendiri dan turut diselitkan tentang sejarah.

“Itu semua terdapat dalam pengembaraan magis kami bertiga,” katanya lagi.

Biarpun memainkan watak sebagai sebuah keluarga namun secara realiti ikatan kekeluargaan tersebut turut dibawa sehingga di luar set penggambaran apabila Afdlin Shauki sangat menitikberatkan kebajikan setiap pelakon dan kru sepanjang penggambaran.

Pengalaman sama dirasai oleh Idan. Biarpun baru pertama kali berlakon dalam siti komedi, Wizards Of Warna Walk disifatkan berlainan kerana seluruh pasukan bekerja sebagai sebuah keluarga.

“Jika dalam kaca televisyen, Afdlin dikenali sebagai artis yang sering bawa watak lucu dan banyak cakap.

“Tetapi di belakang tabir, dia sangat mengambil berat dan sentiasa prihatin terhadap kru dan pelakon. Dia cukup risau jika kami belum makan.

“Begitu juga pada Emma, dia sangat risau jika Emma keletihan ketika di set,” kata Idan yang pernah dalam filem Pulang lakonan Remy Ishak itu ceria.

Sebelum menutup sesi pertemuan, Emma sempat mencelah.

Katanya, peluang yang diberikan Disney Channel untuk berada dalam Wizards Of Warna Walk di samping berlakon pelakon berpengalaman merupakan satu pengalaman magis dan tidak akan dilupakan.

Tiga beradik dengan kuasa magis akan mewarnai hidup penonton dengan telatah dan aksi mencuit hati dalam sitkom fantasi terbaharu terbitan Disney Channel Asia bertajuk Wizards Of Warna Walk.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Chef Zam | 23

Chef Zam Uji Kebolehan Memasak 13 Selebriti Instagram di TV2

Filem M FOR MALAYSIA Ke Pentas Oscar Ke-92