in , ,

Filem M FOR MALAYSIA Ke Pentas Oscar Ke-92

‘M FOR MALAYSIA’ Ke Pentas Oscar Ke-92 Bagi Kategori International Feature Film Award

M for Malaysia mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila mewakili Malaysia ke anugerah Academy Award ke-92 bagi kategori International Feature Film Award. M For Malaysia diterbitkan oleh Project M Media dan bahagian pemasaran dan pengedaran dijalankan oleh Astro Shaw. Kejayaan ini bukan sahaja membangga, malah ia menjadi satu anjakan paradigma buat industri filem tanah air. 

Poster M For Malaysia

Dokumentari tentang pembentukan Malaysia baru ini telah ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 10 September lalu dan ia mendapat sambutan positif. Rata-rata memberi respon tertarik dengan perjalanan dan semangat perjuangan yang diketuai oleh seorang lelaki berusia 93 tahun yang kini bergelar Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir. 

Pengarah dan Penerbit, Dian Lee menyatakan “Kami berbangga hasil kerja bakat-bakat tempatan diangkat ke tahap antarabangsa. Sememangnya kami tidak pernah menjangkakan usaha dalam menghasilkan dokumentari ini mampu pergi sejauh itu. Kejayaan ini juga tidak akan sempurna tanpa kerjasama dengan Astro Shaw.”

Manakala Pengarah dan Penerbit Bersama, Ineza Roussille melahirkan rasa gembira dan menganggap ini merupakan satu pengalaman hebat. “Saya rasa berbesar hati kerana M For Malaysia akan mewakili Malaysia. Saya harap kejayaan ini akan memberi lebih banyak ruang buat dokumentari tempatan untuk terus berkembang merentasi sempadannya. 

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata,

“Kejayaan bermakna ini adalah satu penghormatan. Ia membuktikan naskhah tempatan mampu berada di persada dunia dan sekali gus meletakkan industri filem Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.

Bagi kami, ini membuka pintu untuk naskhah tempatan diketengahkan dan lebih dikenali oleh orang di luar sana.

Astro Shaw selaku pengedar dan menjalankan aktiviti pemasaran rasa bertuah kerana penerbit Project M Media meletakkan kepercayaannya terhadap ekspertis kami untuk bekerjsama dalam dokumentari ini.

Perjalanan ke anugerah berprestij ini secara tidak langsung mengiktiraf usaha kami dalam memberi yang terbaik.

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak FINAS kerana memberi peluang kepada dokumentari ini untuk di bawa ke anugerah berprestij.”

Dokumentari ini telah menerima sambutan yang menggalakkan di pelbagai lokasi antarabangsa selepas tayangan perdananya di CAAMFest In SAN Francisco, DocEdge di New Zealand dan Oktober ini di Festival Filem Antarabangsa Busan iaitu festival filem terbesar di Asia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jom Tonton Wizards Of Wanna Walk Terbitan Disney Asia Channel

Tentang Filem ANAK PERJANJIAN SYAITAN Yang Anda Perlu Tahu