in ,

Joe Flizzow Menang Best Southeast Asia Act MTV 2018

Tahniah buat Joe Flizzow Yang Telah Menang Best Southeast Asia Act MTV 2018

MTV hari ini mengumumkan bahawa bintang hip hop Malaysia, Joe Flizzow telah dinobatkan sebagai pemenang Best Southeast Asia Act atau Penghibur Terbaik Asia Tenggara di “2018 MTV EMAs” (Anugerah Muzik Eropah MTV 2018), salah satu acara muzik tahunan terbesar dunia yang meraikan artis-artis terhebat dari seluruh dunia. Acara “2018 MTV EMAs” akan disiarkan seluruh dunia secara langsung dari Bilbao Exhibition Centre, Sepanyol.

Joe Flizzow

Saksikan siaran langsung ini pada Isnin, 5 November jam 2 pagi (WIB) dan 3 pagi (SG/MY) untuk acara karpet merah, 3 pagi (WIB) dan 4 pagi (SG/MY) untuk acara utama. Saksikan juga siaran ulangan pada hari yang sama jam 6 petang (WIB) dan 7 malam (SG/MY) untuk karpet merah, 7 malam (WIB) dan 8 malam (SG/MY) buat acara utama.

“Saya benar-benar bersyukur dan terharu kerana seluruh Malaysia menyokong saya. Saya harap kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk tidak berhenti mengejar impian dan berusaha keras demi mengecapi cita-cita mereka. Saya juga ingin menujukan anugerah ini kepada keluarga saya, pasukan saya di Sony Kartel dan pengurus saya Yaniz Merican. Terima kasih di atas kesetiaan dan dedikasi anda. Dan sudah tentu buat peminat-peminat saya atas sokongan dan kasih sayang yang tidak pernah pudar.” – Joe Flizzow.

“Tahniah buat Joe Flizzow! Nampaknya para peminatnya sudah bersuara! Kami sudah lama menyaksikan perkembangan kerjaya muziknya hari demi hari. Kejayaan Joe merupakan satu lagi contoh bagaimana kami akan terus menyokong dan mengangkat artis-artis Asia Tenggara di pentas antarabangsa,” kata Paras Sharma, Timbalan Presiden Kanan dan Pengurus Besar, Asia Tenggara, Viacom International Media Networks.

“2018 MTV EMAs” menampilkan barisan bintang ternama dunia termasuk Hailee Steinfeld, Nicki Minaj, David Guetta, Jason Derulo, Little Mix, Bebe Rexha, Halsey, Rosalía, Panic! at the Disco, Alessia Cara, Marshmello, Bastille, Anne-Marie, Jack & Jack dan penerima anugerah “Global Icon” Janet Jackson.

Joe Flizzow

Bintang Pop Latin tersohor Sofia Reyes akan membuka pra-acara karpet merah tahun ini dengan membuat persembahan, di samping bakal menyampaikan anugerah di acara utama. Selain Reyes, model Jourdan Dunn serta pelakon Terry Crews turut ditampilkan sebagai penyampai, bersama dengan Lindsay Lohan, Anitta, Debby Ryan, Ashlee Simpson dan Evan Ross, serta bintang Netflix Michael Peña dan juga Diego Luna.
Penaja rasmi karpet merah MTV EMA merupakan platform video-ringkas terkenal dunia, TikTok.

Untuk segala perkembangan terbaru EMA, ikuti acaranya di Instagram, Twitter, Snapchat (@MTVEMA) serta Facebook dan ikuti perbualan sosial menggunakan #MTVEMA @MTVEMA.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hafreez Adam Nafi Melamar Zara Zya

Video Pengakuan Zamani: Walau Maruah Tercalar Sanggup Tolak Ego