in ,

Faizal Hussein Cabar Diri Jadi Hos Program JEJAK REZEKI

Nama Faizal Hussein dikenali dalam bidang lakonan. Sebut sahaja apa sahaja watak mampu dilakukannnya. Namun menerusi program terbaharu yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Jejak Rezeki”, pelakon serba boleh ini cuba mencabar kemampuan dirinya terjun dalam bidang pengacaraan pula.

Menerusi program 13 episod yang bakal menemui penonton mulai 17 September ini, setiap Ahad, pukul 3.05 petang di TV1, Faizal akan menjejaki kehidupan mereka yang memerah keringat dan membanting tulang serta sering dipandang rendah meskipun mereka turut memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat.

Faizal Hussein Cabar Diri Jadi Hos Program JEJAK REZEKI

Faizal Hussein Cabar Diri Jadi Hos Program JEJAK REZEKI

Dalam setiap episod pengacara, Faizal Hussain akan menemui mereka yang bekerja demi sesuap rezeki serta sering dianggap pekerja kelas bawahan. Faizal akan mengikuti pekerja tersebut untuk meninjau dan menyelami pekerjaan yang mereka lakukan. Pekerja tersebut juga akan berkongsi cerita dan pengalaman yang mereka laluikan saban hari.

Menerusi episod pertama, Faizal menemui seorang penghantar cepat (On-call Runner), Razie yang membuat penghantaran menggunakan motosikal. Kebiasaannya Razie akan menghantar surat, dokumen, bunga, buah-buahan ataupun makanan. Sebelum ini beliau pernah berniaga makanan dan menjadi kurier tetapi kerja yang dilakukan sekarang lebih memberi kepuasan kepadanya. Razie turut berkongsi pengalaman menghantar makanan ke rumah anak-anak yatim dan ke rumah yang dihuni oleh seorang tua yang uzur. Razie memilih kerjaya ini kerana minatnya terhadap kerja ini dan merasa puas apabila dapat menolong orang yang memerlu perkhidmatan beliau.

Seterusnya penonton dibawa ke Benta, Pahang untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi pekerjaan sebagai pembuat gula kabung. Pekerjaan yang sudah wujud sejak sekian lama ini tidak lagi diminati oleh golongan muda hari ini. Individu yang ditemui kali ini adalah Pak Hamid berusia 62 tahun tetapi masih tegap dan kelihatan gagah. Kesabaran, kecekalan dan ketabahan diperlukan dalam kerjaya membuat gula kabung dan kerja ini bukan senang sepertimana yang disangkakan.

Pada minggu seterusnya usaha mendekati kehidupan seorang pemandu bot penambang di Tanjung Dawai, Kedah. Beliau berpeluang mengikuti dan menghayati pekerjaan yang dilakukan oleh Pak Ngah atau nama sebenarnya Jamaluddin Hashim. Faizal turut berpeluang belajar cara-cara membawa bot daripada Pak Ngah dan seluk-beluknya. Saban hari Pak Ngah menempuh badai dan ombak serta pahit maung sebagai seorang pemandu bot demi untuk mencari rezeki bagi diri dan keluarganya.

Faizal turut menyelami pula kehidupan seorang pencari hasil hutan iaitu Idris Ahmad atau mesra disapa Pak Lang yang telah 10 tahun bergiat dalam pekerjaan ini dan sejak 5 tahun lalu dia telah dibantu oleh seekor beruk yang diberi nama Awe. Pak Lang memilih pekerjaan ini kerana beliau mahir memanjat pokok dan ingin bekerja sendiri. Selain mencari di hutan, Pak Lang juga mengambil hasil dari kebun milik orang kampung dengan cara membahagikan hasilnya secara sama rata dengan pemilik kebun.

Ikuti perjalanan Faizal ke Kg. Lengkuas, Bukit Pinang, Alor Star, Kedah untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi pekerjaan sebagai Penggali Kubur. Pekerjaan yang mulia ini tidak lagi diminati oleh golongan muda hari ini. Individu yang ditemui kali ini adalah Mat Yu atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi bin Rohani. Beliau telah melakukan kerja ini selama 20 tahun setelah mengambil alih pekerjaan ini daripada penggali lama yang sudah tua. Pada pandangan mata kasar, tugas menggali kubur adalah berat tetapi sebenarnya harapan, amanah dan tanggungjawab yang diletakkan ke bahu Mat Yu oleh orang-orang kampung adalah lebih berat lagi.

Pada episod minggu ini Faizal Hussain menyelami kehidupan seorang Penarik Beca di George Town, Pulau Pinang. Beliau berpeluang mengikuti dan menghayati pekerjaan yang dilakukan oleh Tuan Haji Ahmad bin Ariffin atau mesra dipanggil Haji Mat, 69 tahun telah memulakan kerjaya sebagai Penarik Beca sejak tahun 1969. Pekerjaan ini telah dilakukan oleh Haji Mat sejak bertahun-tahun lamanya tanpa rasa penat dan jemu.

Usah ketinggalan juga menyaksikan episod pengembaraan mencabar di George Town, Pulau Pinang telah menyusuri pula kehidupan seorang Penghibur Jalanan ataupun ‘Busker’ lebih dikenali sebagai Yon, manakala kunjungan ke Kg. Tebuk, Matang, Taiping, Perak untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi pekerjaan sebagai Penebang Kayu Bakau bersama Pak Shid atau nama sebenarnya Abdul Rashid bin Mahyudin berusia 57 tahun. Faizal turut menyelami kehidupan seorang Pencari Baja Tahi Kelawar di Gunung Keriang, Alor Star, Kedah. Beliau berpeluang mengikuti dan menghayati pekerjaan yang dilakukan oleh Asri bin Shuib atau Abang Ayie.

Kunjungan ke Kampung Berjaya, Alor Star, Kedah untuk menyusuri pula kehidupan seorang Pencari Ikan Air Tawar iaitu Zaharin bin Hassan atau lebih dikenali sebagai Pak Teh. Pak Teh sekarang berusia 65 tahun dan sudah mencari ikan air tawar sejak beliau berusia 15 tahun lagi, ke Alor Star, Kedah untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi pekerjaan sebagai Penjaja Jalanan. Individu yang ditemui kali ini adalah Abdul Jalil Abu Tahir berusia 50 tahun yang dikenali dengan ‘Mi Tonggek’nya. Perniagaan mi ini telah dimulakan oleh datuknya sekitar tahun 60an dan diwarisi oleh ayahnya sebelum Jalil mengambil alihnya sejak beliau berusia 20 tahun.

Tidak ketinggalan kisah kehidupan seorang Tukang Sapu di Bandaraya Kuala Lumpur. Beliau berpeluang mengikuti dan menghayati pekerjaan yang dilakukan oleh Puan Adibah bin Hashim atau mesra dipanggil Kak Midah sejak 15 tahun dulu. Diakhiri ke Kampung Bukit Kuching, Jeram, Selangor untuk menyusuri pula kehidupan seorang Pengait Kelapa Sawit. Insan yang ditemui adalah Supie bin Sani atau lebih dikenali sebagai Wak Bross. Wak Bross yang berusia 48 tahun dan sudah bekerja di kebun kelapa sawit selama 18 tahun. Keupayaan fizikal dan mental diperlukan untuk melakukan pekerjaan ini kerana kerjanya agak teruk dan juga terdedah kepada bahaya. Ketabahan, kecekalan dan kesabaran telah membantu Wak Bross kekal bertahan dalam pekerjaan ini hingga sekarang.

Faizal Hussein Cabar Diri Jadi Hos Program JEJAK REZEKI

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Tayangan Premiere Filem RAFATHAR Lakonan Nur Fazura

Sensasi Duo Terbaru MJ Pertaruh Single Terbaru DELUSI