in

Travelog Kembara #Jalanlama Jejak Masakan Hampir Pupus

Berkonsepkan pengembaraan serta bersiar-siar ke pekan dan kampung melalui jalan-jalan lama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan program travelog terbaharu bertajuk “#Jalanlama” bersiaran mulai 11 Januari ini, setiap Khamis, pukul 12.30 tengah hari menerusi saluran TV1.

Bersama-sama pengacara Fendi ‘Balas’, 13 episod program ini membawa tumpuan penonton mengembara ke tempat-tempat lama yang telah ditelan zaman, sambil menjelaskan keunikan tempat-tempat yang dikunjungi dari segi pemasakan dan penghidangan makanan-makanan klasik.

Travelog Kembara “#Jalanlama”, Jejak Masakan Hampir Pupus Di Tv1

Travelog Kembara “#Jalanlama”, Jejak Masakan Hampir Pupus di TV1

Negeri Perak menjadi pilihan dalam episod pertama bermula dengan memperkenalkan jalan lama ke Gerik, Kuala Kangsar dan cara menyediakan beberapa masakan yang hampir pupus, seperti belontak, kebebeh dan kemahang. Diikuti episod kedua yang memperkenalkan jalan lama ke Batu Kurau dan Selama Perak. Di Selama, pengacara bersama orang kampung menyediakan beberapa masakan yang hampir pupus, seperti kuih beka, kerabu umbat bayas dan masak lemak pucuk salang.

Masih lagi di negeri Perak, episod berikutnya memperkenalkan jalan lama ke Taiping, Perak dan cara menyediakan beberapa masakan yang hampir pupus, seperti Nasi Lemuni, Bubur Anak Lebah, Rendang Ikan sayur.

Istimewa kunjungan ke Kedah pula memperkenalkan jalan lama yang menuju ke Gunung Jerai dan Pendang, Kedah. Beberapa masakan setempat yang hampir pupus, seperti nasi daging batu hampar, habuk daging dan kuih bunga juga dapat disediakan.

Episod diteruskan dengan memperkenalkan Kuala Perlis, tempat-tempat menarik di Langkawi, penangkapan bronok dan sebagainya. Beberapa masakan setempat yang hampir pupus, seperti Nasi Kerabu Bronok, Sup Gamat dan Ulam Laktut.

Seterusnya di negeri yang kaya dengan adat pepatih, program ini memperkenalkan jalan lama yang menuju ke Port Dickson, Kuala Pilah dan Lukut di Negeri Sembillan. Beberapa masakan setempat yang hampir pupus, seperti daging salai dan pucuk maman, kuih sepang goreng, kuih puteri mandi disediakan.

Travelog Kembara “#Jalanlama”, Jejak Masakan Hampir Pupus Di Tv1

Manakala di Johor Bharu, Johor, beberapa masakan setempat yang hampir pupus bakal turut menarik tumpuan ramai seperti botok-botok, kuih jongkong dan asam pedas ikan perang juga disediakan. Diikuti jalan lama yang menuju ke Tanjung Piai, Pontian, Johor. Beberapa masakan setempat yang hampir pupus, seperti burasak, pa loi, dan ayam lengkuas menjadi santapan.

Episod ini memperkenalkan jalan lama yang menuju ke bandar raya bersejarah Melaka. Beberapa masakan setempat yang hampir pupus seperti cengkaruk, sambal tahi minyak dan urap pegaga dapat disediakan.

Turut menarik tumpuan pastinya singgahan jalan lama yang menuju ke Kuala Selangor, Selangor. Tiga jenis masakan setempat yang hampir pupus, seperti jeruk maman dengan ikan sepat, kulit cempedak goreng dan vadai kepeng disediakan. Episod seterusnya di Kuala Selangor dan tempat-tempat menarik di daerah itu, di samping penyediaan beberapa masakan setempat yang hampir pupus, seperti tiwul, lemper dan sambar kaki lembu.

Episod akhir memperkenalkan Cameron Highlands di Pahang dan tempat-tempat menarik di tanah tinggi itu, di samping penyediaan beberapa masakan setempat yang hampir pupus, seperti sambal serai terung pipit, kari ikan keli dan bijan ubi kayu.

Travelog Kembara “#Jalanlama”, Jejak Masakan Hampir Pupus Di Tv1

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Media Prima Anjur Festival Gegaria di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam

Jangan Tutup Lampu Suria FM Bob Ringgo Kupas Fenomena Alam Ghaib