in ,

Isu Politik Malaysia Terkini, Adakah Malaysia Akan Isytiharkan Darurat?

Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah belum memberi sebarang perkenan atas apa-apa cadangan Mesyuarat Khas Kabinet pagi tadi termasuk cadangan menggantung Parlimen dan mengadakan pentadbiran darurat.

Menurut sumber, Al-Sultan Abdullah akan memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bagi mendapat nasihat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai permintaan kabinet tersebut.

Darurat Politik: Agong Belum Perkenan, Suruh PM Balik Dulu

Petang tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergegas ke Pahang untuk mengadap baginda di di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Dalam pertemuan lebih dua jam, baginda diberi makluman mengenai permintaan kabinet. Bertentangan dengan maklumat awal Tuanku telah bersetuju dengan pemerintahan darurat selama setahun, sumber istana memaklumkan tiada persetujuan sedemikian diperkenankan.

Pada lewat malam ini, laman Facebook Perikatan Nasional turut memaklumkan mengenai situasi tersebut dengan menyatakan Tuanku belum membuat keputusan mengenai permintaan tersebut.

“Makluman dari Putrajaya memaklumkan Tuanku minta PM pulang ke KL dahulu. Keputusan besar sebegini perlukan proses konsultasi dan pengamatan.”

Adakah Malaysia Akan Isytiharkan Darurat?

Segalanya masih belum terjawab di sebalik spekulasi yang tersebar tentang kerajaan bakal mengisytiharkan darurat hari ini.

Bermula dengan mesyuarat khas Kabinet pada kira-kira 9.30 pagi tadi di bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang dilaporkan turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semua menteri dilihat berdiam diri mengenai isu yang dibincangkan pada mesyuarat selama dua jam itu, yang berlangsung dua hari selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pada Rabu.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.

Sesetengah organisasi media mula membuat spekulasi tentang kemungkinan langkah-langkah darurat, manakala yang lain pula menjangkakan perisytiharan darurat di negara ini di tengah-tengah ketidaktentuan politik serta penularan pandemik COVID-19.

Spekulasi itu juga dibincangkan secara meluas oleh netizen menerus media sosial masing-masing.

Desas-desus itu bertiup semakin kencang apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Affendi kemudian berlepas ke Pahang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muhyiddin dilihat memasuki perkarangan Istana Abdulaziz di Kuantan pada jam 4.40 petang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, dan hanya keluar pada kira-kira 7.10 malam.

Setakat berita ini ditulis masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu, baik oleh Istana Negara mahupun Pejabat Perdana Menteri, menyebabkan sebilangan besar rakyat semakin tertanya-tanya dan organisasi media pula terus menyiarkan laporan bersifat spekulasi mereka.

Semua ini berlaku dalam tempoh tidak sampai 48 jam selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ‘gencatan politik’ sebagai menunjukkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedang berusaha membantu rakyat ketika negara mendepani pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi.

Sebelum ini, “suhu” situasi politik negara agak “panas” apabila UMNO yang mempunyai 39 daripada 222 kerusi Parlimen mengancam untuk menarik balik sokongannya terhadap kerajaan PN beberapa minggu selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau memperoleh sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan persekutuan.

Sementara itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 4.16 mata ketika ditutup petang ini kepada 1,494.64 berbanding 1,498.80 semalam.

Penganalisis berkata penyusutan pasaran hari ini ialah susulan ketidaktentuan yang menyelubungi ekonomi dan politik negara dengan pelabur runcit bertindak meninggalkan pasaran.

Semua ini berlaku ketika negara terus merekodkan kes baharu harian COVID-19 pada tiga angka, katanya.

Pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Dr Shamrahayu A. Aziz berkata darurat bermaksud suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.

Beliau berkata perisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Perlembagaan membenarkan perisytiharan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata tiga asas atau alasan yang boleh digunakan oleh Yang di-pertuan Agong bagi membuat perisytiharan darurat iaitu ancaman ke atas keselamatan negara atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam. – BERNAMA

Bertenang! Rakyat Jangan Bimbang Jika Darurat Diisytihar – Prof Dr Nik Ahmad Kamal

Rakyat tidak perlu rasa bimbang sekiranya pengisytiharan perintah darurat benar-benar dilakukan oleh kerajaan.

Pengamal Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, langkah tersebut tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya, tindakan itu sebagai langkah menyelesaikan kemelut yang sedang melanda negara.

“Saya rasa rakyat tidak perlu bimbang, kalau kita belajar dari sejarah dua pengisytiharan darurat di Sarawak pada 1996 dan Kelantan pada 1977, ialah untuk menyelesaikan isu kemelut kerajaan.

“Ia (darurat itu) tidak memberi kesan kepada rakyat ketika itu. Proses itu hanya berlaku dalam kerajaan dan dapat diselesaikan dengan peruntukan ordinan-ordinan yang tertentu ataupun arahan-arahan tertentu,” katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual menerusi Skype, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, situasi yang berlaku dalam negara ketika ini tidak sama dengan perintah darurat yang dilakukan oleh kerajaan pada 1969.

“Jadi, di situ memang berlaku sesuatu yang kita takut. Tetapi untuk kali ini ia tidak akan berlaku seperti 1969. Apa yang berlaku ialah pihak eksekutif akan cuba menangani isu kemelut politik dengan cara yang terbaik untuk memastikan ia dapat diselesaikan dan juga isu pandemik dapat ditangani dengan baik.

“Jadi, saya rasa tidak timbul rasa gentar atau rasa takut dengan apa yang berlaku nanti,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal menambah, tempoh darurat tidak dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada sejauh mana kemelut itu dapat diselesaikan.

“Apa yang saya faham ia tidak ditetapkan. Ia bertujuan untuk menyelesaikan satu-satu masalah dan apabila kemelut itu selesai, ia akan ditamatkan.

“Tetapi apabila kita lihat darurat 1969, ia hanya selesai atau ditamatkan pada 2011 dan undang-undang darurat itu tamat pada 2012,” katanya.

Ketika ini, timbul desas-desus bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mencadangkan pengisytiharan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengatasi ketidakstabilan politik dan mengelak lebih banyak konflik dalam sidang Parlimen akan datang.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, darurat hanya boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, seperti peruntukan dalam Perkara 150.

Sebelum ini, pengisytiharaan darurat dilaksanakan di Sarawak pada 1966 berikutan pergelutan kuasa kerajaan negeri dengan Persekutuan, manakala Darurat Kelantan 1977 kerana pergelutan kuasa pentadbir negeri dengan Persekutuan.

Muhyiddin Beredar Dari Istana Selepas Lebih 2 Jam

KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan Istana Abdul Aziz di Indera Mahkota, dekat sini, lewat petang tadi selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Kenderaan membawa Perdana Menteri dilihat beredar dari istana kira-kira jam 7.10 petang, selepas kira-kira dua jam setengah berada di situ.

Muhyiddin bagaimanapun tidak memberikan apa-apa kenyataan kepada kumpulan petugas media yang menunggu di luar pintu utama Istana Abdul Aziz.

Kenderaan membawa Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang antara yang dilihat keluar dari istana.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah atau menteri kanan turut menyertai majlis menghadap Seri Paduka.

Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri atau Istana Negara belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan itu walaupun pelbagai spekulasi mula kedengaran sejak semalam.

Konvoi Perdana Menteri dijadual menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini. 

Terdahulu, kenderaan yang membawa Perdana Menteri dilihat memasuki Istana Abdul Aziz pada kira-kira jam 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang. 

Pengamal media mula berkumpul di laluan masuk ke istana itu seawal jam 2.30 petang, selepas ura-ura Perdana Menteri akan menghadap Seri Paduka mula tersebar sejak tengah hari tadi. 

Muhyiddin sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya, dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.

COVID-19 Alasan Kerajaan Untuk Salah Guna Kuasa, Dakwa Anwar Ibrahim

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan dengan laporan kerajaan berusaha untuk mengambil langkah menyekat proses Parlimen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sedang bergelut dengan isu keabsahan dan gagal menunjukkan majoriti di Parlimen sedang menggunakan krisis COVID-19 sebagai alasan penyalahgunaan kuasa.

“Pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara. Tetapi apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah kebelakang yang akan memungkin kediktatoran.

“Saya menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu keputusan yang pendek akal dan penting diri,” dakwanya lagi.

– Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar berpendapat, ketika negara-negara Asia lain sedang menumpukan usaha menangani pandemik COVID-19 dan membenarkan aktiviti ekonomi bergerak, Malaysia pula bergerak ke belakang.

“Kita masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang terpamer adalah pemerintah berasakan strategi ampuh untuk melawan dampak (kesan) wabak adalah dengan melemahkan demokrasi.

“Apa yang kita perlukan dalam mendepani wabak COVID-19 adalah ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian,” tegasnya lagi.

– Datuk Seri Anwar Ibrahim
*Sumber: Astro Awani

Bagi memerangi dan menangani penularan wabak COVID-19 yang kian ‘mengganas’ sekarang, kerajaan dijangka akan mengumumkan ‘darurat kesihatan’ dalam tempoh terdekat.

Menurut sumber, satu Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama anggota Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pagi tadi bagi membincangkan pelaksanaan ‘darurat kesihatan’.

Tan Sri Muhyiddin sudah mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak termasuk Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Peguam Negara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai ‘darurat kesihatan’ bakal diambil kerajaan itu.

Beliau juga turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, di Kuantan bagi mendapatkan perkenan Seri Paduka berhubung perkara itu.

Pelaksaan ini terpaksa dilakukan kerana peningkatan kes COVID-19 semakin tinggi terutamanya di Sabah, Selangor dan Kedah selain rayuan untuk pengurusan tertinggi pasukan frontliner terutamanya KKM.

Rakyat Jangan Bimbang & Panik

Jelas Tan Sri Muhyiddin pelaksanaan ‘darurat kesihatan’ ini penting bagi membolehkan kerajaan terutamanya MKN dan KKM memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam masyarakat mengikut norma baharu.

“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia bukan perintah berkurung dan mereka masih boleh keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan harian seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” jelas beliau.

Cara Terbaik Meredakan Politik

Tindakan ‘darurat kesihatan’ ini juga merupakan cara terbaik untuk meredakan ketegangan dalam arena politik negara, selain mengawal penukaran pandemik COVID-19.

Ketika ini usaha kerajaan boleh dianggap terganggu kerana terlalu banyak manuver atau gerakan politik berlaku sehingga mampu menjejaskan tumpuan bagi memerangi wabak berkenaan.

Menurut sumber, dalam keadaan COVID-19 tengah ‘mengganas’, rakyat tengah susah dan ekonomi tergugat. Tapi lain pula dengan ahli-ahli politik kita yang tak habis-habis ‘bergaduh’ sesama sendiri sampaikan ada rakyat tertanya-tanya apa yang akan berlaku pada sidang Parlimen November ini.

Mahu Laksanakan ‘Darurat Separa’ Di Zon Merah

Dalam laporan portal Free Malaysia Today, pegawai kanan di Putrajaya ada menyatakan yang dia mahukan kawasan zon merah itu termasuk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya melaksanakan ‘Darurat Separa’.

Bimbang dengan Dewan Rakyat yang bakal berlaku pada 2 Nov hingga 15 Dis kerana mungkin ‘kluster Parlimen’ akan terjadi. Walaubagaimanapun, tiada sebarang pengumuman rasmi dari Kerajaan.

Dalam masa yang sama, mungkin perkataan ‘Darurat’ itu harus di’nama’kan semula supaya rakyat kita tidak panik.

15 Soalan Dan Jawapan Berkaitan Darurat

Apakah maksud darurat

Jawapan:

Darurat maksudnya suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa. Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Soalan 2

Apakah kesan pengisytiharan darurat

Jawapan:

Kesan umum pengisytiharan darurat ialah, Perlembagaan digantung dan pentadbiran negara adalah ditentukan oleh pihak eksekutif. Tentera juga boleh mengambil alih teraju dalam hal berkaitan keselamatan sekiranya keadaan memerlukan, lebih-lebih lagi apabila darurat diisytiharkan kerana berlakunya ancaman kepada keselamatan negara. Parlimen masih boleh bersidang sekiranya tidak dibubarkan.

Ketika proklamasi darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif Persekutuan adalah juga meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan Negeri dan memberi arahan kepada kerajaan negeri atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa Negeri. (Perkara 150(4)).

Kesan lain, dari segi pentadbiran dan perundangan dibincangkan dalam jawapan kepada soalan seterusnya.

Soalan 3

Adakah pengisytiharan darurat dibenarkan oleh Perlembagaan

Jawapan:

Ya. Perlembagaan membenarkan pengisytiharan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 adalah satu daripada tiga peruntukan yang berada di bawah Bahagian XI Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahagian berkaitan Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat.

Bahagian XI ini membenarkan undang-undang bagi tujuan pencegahan dibuat, termasuklah tahanan pencegahan bagi tujuan menangani keadaan darurat.

Soalan 4

Apakah yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat

Jawapan:

Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah Per 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika darurat besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya (TELAH) wujud.

Di bawah Perkara 150(2), Yang di-Pertuan Agong juga boleh membuat proklamasi darurat sekiranya baginda berpuas hati ancaman darurat besar, atas sebab keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam HAMPIR BENAR berlaku.

Tiga asas atau alasan boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat, iaitu, ancaman ke atas

i. Keselamatan negara; atau

ii. Kehidupan ekonomi; atau

iii. Ketenteraman awam

Soalan 5

Bilakah dan di manakah darurat boleh diisytiharkan

Jawapan:

Darurat boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa, sama semasa Parlimen masih ada, sedang bersidang atau pun tidak, atau juga semasa Parlimen bubar. Syarat yang diperlukan ialah, telah dibuktikan elemen yang dinyatakan, iaitu ancaman atau darurat atas keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam telah atau hampir benar berlaku.

Darurat boleh diisytihar atas seluruh Persekutuan atau mana-mana bahagian dalam Persekutuan. Perkara 150(1) dan (2).

Soalan 6

Adakah Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat atas kuasanya sendiri atau atas nasihat Perdana Menteri

Jawapan:

Pegisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Kuasa prerogatif ringkasnya bermaksud kuasa yang dimiliki oleh institusi beraja dari awal bahkan jauh sebelum gubalan Perlembagaan Persekutuan bagi Tanah Melayu (Malaysia). Kuasa tersebut kekal dalam milik institusi beraja. Bagaiamana pun, persoalan timbul ialah, adakah kuasa prerogatif tersebut dilaksanakan secara budi bicara atau atas nasihat Perdana Menteri?

Perkara 150(1) menyatakan “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian”.

Frasa “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati” atau dalam Bahasa Inggeris, “if the Yang di-Pertuan Agong is satisfied” menjadi persoalan, adakah puas hati Yang di-Pertuan Agong seorang diri (as sole judge) atau atas nasihat.

Beberapa keputusan kes telah membuat pernyataan tentang perkara ini.

Kes Stephen kalong Ningkan (No.2) (tahun 1968) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati. Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan “….In my opinion the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge…”

Walaubagaimana pun, keputusan kes Teh Cheng Poh oleh Privy Council pada tahun 1979 menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Jemaah Menteri. Ini adalah kedudukan undang-undang yang disepakati. Lord Diplock menyatakan:

“Although this, like other powers under the Constitution, is conferred nominally upon the Yang di-Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation and is expressed to exercisable if he is satisfied of a particular matter, his functions are those of a constitutional monarch and except on certain matters that do not concern the instant appeal, he does not exercise any of his functions under the Constitution on his own initiative but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet.

So when one finds in the Constitution itself or in a Federal law powers conferred upon the Yang di-Pertuan Agong that are expressed to be exercisable if he is of opinion or is satisfied that a particular state of affair exists or that particular action is necessary, the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet, or the opinion or satisfaction of a particular Minister to whom the Cabinet have delegated their authority to give advice upon the matter in question”.

Justeru, menerusi keputusan kes Teh Cheng Poh ini, pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, atau Jemaah Menteri, atau seorang Menteri yang diberikan kuasa oleh Jemaah Menteri.

Soalan 7

Adakah Keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat dan membuat Ordinan semasa darurat boleh dipersoalkan (justiciable)

Jawapan:

Keputusan kes Stephen kalong Ningkan (No.2) secara nyata Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan “….In my opinion the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge and once His Majesty is satisfied that a state of emergency exists, it is not for the court to inquire as to whether of not he should have been satisfied”. Maksudnya, menurut Ketua Hakim Barakbah, mahkamah tidak boleh mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong.

Pandangan majoriti ini disanggah oleh Ong Hock Thye, Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam penghakiman sama. Hakim Ong Hock Thye menyatakan pandangan minoriti. Beliau menyatakan,

“His Majesty is not an autocratic ruler since Article 40(1) of the Federal Constitution provides that “in the exercise of his function under this Constitution or federal law the Yang di-Pertuan Agong shall act in accordance with the advice of the Cabinet…Article 150 specifically provide that the emergency must be one ‘whereby the security or economic life of the Federation or any part thereof is threatened.. If those words of limitation are not meaningless verbiage….Article 150 does not confer on the Cabinet an untrammeled discretion to cause an emergency to be declared at their mere whim and fancy”

Maksudnya, Yang di-Pertuan Agong bukan memerintah secara autokratik kerana baginda bertindak atas nasihat. Dalam pelaksanaan kuasa baginda, mahkamah boleh memeriksa keputusan yang dibuat oleh baginda dan juga Jemaah Menteri ketika membuat proklamasi darurat supaya ia terhad kepada keadaan yang disebut, iaitu keselamatan negara dan kehidupan ekonomi. Perkara 150 tidak memberikan kuasa budi bicara yang tidak teratur.

Keputusan Teh Cheng Poh, seperti yang dipetik di atas adalah juga menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 boleh disemak oleh mahkamah. Selepas keputusan kes Teh Cheng Poh seperti yang dipetik di atas, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan memasukkan peruntukan yang secara jelas TIDAK membenarkan mahkamah menyemak keputusan Yang di-Pertuan Agong, atau apa-apa tindakan yang dibuat oleh baginda berkenaan kuasa, fungsi dan peranan di bawah Perkara 150. Hal ini terdapat pada Perkara 150(8) yang menyatakan:

Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan Persekutuan ini –

(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan

(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan

(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1):

(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;

(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau

(iv) penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

Walaupun begitu, Fasal 8 ini belum diuji di mahkamah.

Soalan 8

Apakah kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan Pengisytiharan Darurat

Jawapan:

Kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 mengenai pengisytiharan darurat termasuk kuasa untuk membuat proklamasi yang berlainan atas alasan berlainan atau keadaan berlainan.

Ini bermaksud Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa proklamasi darurat pada masa sama atau pada masa berlainan. Hal ini terdapat dalam Perkara 150(2A).

Soalan 9

Bilakah Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan Darurat

Jawapan:

Yang di-Pertuan Agong boleh boleh mengisytiharkan dan menguatkuasakan darurat ketika Majlis Parlimen masih ada, sama ada semasa berlaku persidangan atau tidak, atau ketika Parlimen telah dibubarkan.

Soalan 10

Apakah peranan Yang di-Pertuan Agong semasa Darurat

Jawapan:

Sekiranya proklamasi dibuat semasa Majlis Parlimen tidak bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan undang-undang, yang dinamakan Ordinan, sekiranya baginda berpuas hati hal atau keadaan tertentu menyebabkan perlu bagi baginda mengambil tindakan serta merta. Ini disebut dalam Perkara 150(2B).

Maksud “Majlis Parlimen tidak bersidang serentak” boleh difahami dalam fasal (9) Perkara 150, yang memperuntukkan “Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang HANYA jika ahli setiap Majlis itu masing-masingnya berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis”.

Sekiranya Parlimen telah mula bersidang secara serentak, kuasa Yang di-Pertuan Agong terhenti dan kuasa perundangan dipulangkan kepada Parlimen. Sekiranya Parlimen telah kembali bersidang secara serentak, semua kuasa membuat undang-undang kembali kepada Parlimen walaupun keadaan darurat masih berlangsung.

Walaubagaimana pun, Parlimen boleh membuat Ordinan untuk memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang (keputusan Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh).

Soalan 11

Adakah Parlimen boleh membuat undang-undang semasa darurat

Jawapan:

Semasa keadaan darurat ini Parlimen boleh membuat Ordinan jika didapati oleh Parlimen dikehendaki bagi tujuan darurat dan prosedur perundangan boleh diketepikan. Undang-undang ini adalah sah walaupun ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes En Keok Cheng, Wylie C.J menyatakan, “The true effect of Article 150 is that, subject to certain exceptions set out therein, Parliament has, during an emergency, power to legislate on any subject and to any effect, even if inconsistencies with articles of the Constitution (including the provisions on fundamental liberties) are involved”.

Fasal (2C) Perkara 150 menyatakan “…Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh dalam mana-mana satu Majlis Parlimen”. Lihat juga Perkara 150(5), yang mana Parlimen boleh membuat undang-undang tanpa persetujuan atau keizinan, atau tanpa perundingan bersama mana-mana pihak sebagaimana disyaratkan oleh undang-undang.

Parlimen tidak boleh membuat Ordinan darurat dalam beberapa perkara tertentu sahaja, iaitu Hukum Syarak (Undang-Undang Islam), adat Melayu atau undang-undang atau adat anak Negeri di Sabah dan Sarawak. Parlimen juga tidak boleh membuat Ordinan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan dalam perkara berhubungan dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa. (Lihat 150(6A)).

Proklamasi darurat dan Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong semasa darurat hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen apabila keduanya bersidang serentak.

Soalan 12

Apakah kesan Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa Darurat

Jawapan:

Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah berkuat kuasa dan berkesan seolah-olah ia adalah Akta Parlimen. Ia boleh berkesan sehingga dibatalkan. Setelah Parlimen bersidang, Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen. Ordinan tersebut boleh diteruskan sekiranya diluluskan dan hendaklah dihentikan sekiranya tidak diluluskan oleh Parlimen.

Sekiranya Ordinan tersebut tidak diluluskan oleh Parlimen, ia tidak memberi kesan ke atas apa jua yang berlaku sebelum itu menurut kuat kuasa Proklamasi darurat atau Ordinan.

Bahkan, ketidaklulusan oleh Parlimen juga tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi darurat yang lain atau Ordinan yang lain bagi tujuan darurat lain tersebut. (Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa proklamasi pada masa sama atau pada masa berbeza, atas sebab yang sama atau atas sebab yang berbeza).

Soalan 13

Bolehkah Yang di-Pertuan Agong membuat Ordinan Perbekalan (Bajet)

Jawapan:

Melihat kepada kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, yang mana baginda boleh, sekiranya perlu dan baginda berpuas hati, memasyhurkan apa-apa ordinan semasa dua Majlis (Dewan) Parlimen tiada atau tidak bersidang serentak, maka sekiranya baginda berpuas hati dan perlu bagi memasyhurkan apa-apa perbelanjaan negara, baginda boleh berbuat demikian.

Namun setiap Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dibentangkan kepada kedua Majlis Parlimen setelah keduanya bersidang serentak. Ordinan tersebut boleh dirungkaikan oleh resolusi yang dibuat oleh Parlimen. (Lihat Perkara 150(2) dan (3))

Soalan 14

Bilakah Darurat akan berakhir dan siapa yang mengumumkan darurat telah berakhir

Jawapan:

Perkara 150 tidak menyebut secara nyata tentang isu pengungkaian (annulling) proklamasi darurat – bila dan siapa.

Perkara 150(3) menyebut secara tidak langsung, “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) … hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi…” Frasa yang bergaris ini menunjukkan pengungkaian (annulment) suatu proklamasi dan undang-undang darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu boleh dibuat melalui resolusi yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen.

Kes The Cheng Poh menyatakan,

The power to revoke, however, like the power to issue a proclamation of emergency, vests in the Yang di-Pertuan Agong, and the Constitution does not require it to be exercised by any formal instrument. In their Lordships’ view, a proclamation of a new emergency declared to be threatening the security of the Federation as a whole must by necessary implication be intended to operate as a revocation of a previous Proclamation, if one is still in force.

Soalan 15

Apakah akan berlaku kepada Ordinan yang dibuat semasa darurat apabila darurat berakhir

Jawapan:

Ordinan yang dibuat bagi tujuan darurat hendaklah terhenti berkuatkuasa setelah tamat tempoh enam bulan dikira dari tarikh Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa. Maksudnya Ordinan tersebut boleh berkuat kuasa lagi sehingga habis tempoh enam bulan dari tarikh darurat berakhir. (Lihat Perkara 150(7)).

Prof Madya Dr Shamrahayu A.Aziz merupakan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Dr Noor Hisham Buat Special Cameo, Bergabung dengan BoboiBoy Melawan COVID-19

Hanya Promosi Tudung, Izreen Azminda Akui Belum Berpurdah Ramai Salah Faham