in ,

Ikhwan Rosli Cungkil Rahsia Kejayaan Artis Dalam Bidang Perniagaan

Mendapani realiti yang berlaku hari akibat pandemik Covid-19 membuatkan sesiapa sahaja terkesan terutamanya anak seni.

Jika dahulu peluang untuk bekerja sentiasa ada namun kini banyak kekangan yang dilalui membuatkan sebahagian besar daripada mereka hilang mata pencarian dan pendapatan sementara.

Bagi Ikhwan Rosli, apa yang berlaku sepanjang dua tahun ini merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan bukan sahaja dilalui oleh rakyat Malaysia, tetapi juga masyarakat global yang turut berhadapan dengan situasi yang sama.

“Ini memang meresahkan apabila melihatkan ramai rakan-rakan kita yang terjejas. Ada yang sudah lama merasai kekurangan pendapatan akibat kekurangan pekerjaan dan tak kurang juga yang hilang kerja pada saat genting begini.

“Apa juga situasi yang dilalui, kita perlu reda dan tenang menghadapinya. Kita jangan sesekali putus asa dan perlu terus berusaha untuk meneruskan hidup dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Ikhwan Cungkil Rahsia Kejayaan Artis Dalam Bidang Perniagaan

Paling tersentuh apabila melihatkan ramai dalam kalangan orang seni terputus barangan keperluan asas sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Ada yang sudah habis wang simpanan dan mahu kembali bekerja untuk menyara kehidupan.

Melihatkan apa yang terjadi ketika ini, dia berharap pandemik ini segera berakhir dan keadaan kembali pulih untuk mereka kembali bekerja seperti biasa seterusnya menjalani kehidupan seperti dahulu.

“Kita perlu melakukan pelbagai kerja kreatif untuk mencari sumber pendapatan. Pelbagai platform digital telah wujud dan boleh diteroka untuk berniaga, membuat konten menarik atau apa sahaja yang boleh menjana pendapatan sampingan.

“Untuk anak seni pula, mereka mungkin boleh mendapatkan nasihat daripada artis yang sudah berjaya. Ramai juga dalam kalangan artis kita yang tidak terjejas memandangkan mereka mempunyai bisnes. Ini yang perlu kita teladani,” katanya yang muncul sebagai pengacara dalam program Bersama Bintang.

Tambahnya, program yang disiarkan secara langsung di dalam Facebook MTV-Multi Talent Venture itu turut mengundang beberapa selebriti popular tanah air yang berkongsi tips dan resipi kejayaan mereka selama ini.

Antara selebriti yang terlibat termasuklah Scha Alyahya, Shuib Sepahtu dan beberapa nama besar yang lain.

Tambah Ikhwan, dia bukan sahaja menemubual artis-artis terlibat secara santai tetapi dalam masa yang sama mahu mencungkil resipi kejayaan untuk membina bisnes bagi tatapan penonton yang dahagakan ilmu berguna buat mereka.

“Ia bukan sekadar program biasa kerana kita mahu jadikan Bersama Bintang sebuah program luar biasa yang boleh ditonton oleh semua lapisan masyarakat pada bila-bila masa. Sebab itu kita gunakan platform Facebook sahaja untuk memudahkan lagi maklumat sampai terus kepada masyarakat.

“Saya yakin ini peluang terbaik kepada kita untuk belajar sesuatu daripada mereka yang telah berjaya sebagai anak seni dan ahli perniagaan. Kalau kita mampu melahirkan lebih ramai orang yang berjaya, bukankah itu sesuatu baik?” jelasnya.

Menariknya, penonton bukan sahaja boleh mendapatkan input baharu tetapi dalam masa yang sama berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah semua program berlangsung.

MTV- Multi Talent Venture merupakan gergasi baharu dalam dunia digital tanah air di bawah kendalian Fasa Group Holding yang berpangkalan di Johor Bahru.

Mereka bukan sahaja berpengalaman luas dalam bidang perniagaan digital, pencipta kandungan dan program tetapi juga berperanan melahirkan bakat baharu untuk diketengahkan sebagai bintang masa hadapan.

Untuk bakat baharu yang dicungkil, mereka bukan sahaja diberikan persediaan bergelar anak seni tetapi juga boleh mendapatkan ilmu lain termasuklah sebagai penyedia kandungan digital dan beberapa disiplin lain untuk memperkasakan lagi “kekuatan” masing-masing.

“Sebab itu saya yakin apa yang dilakukan berada di landasan yang tepat untuk semua.

“Setidak-tidaknya dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh tetamu undangan nanti berguna untuk panduan kita bersama,” ujarnya. 

*Sumber: KopiPlanet.com

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nenek Caprice Meninggal Dunia, Terkilan Tidak Dapat Tunaikan Hasrat Bawa Balik Jodoh & Anak

Macam Tak Percaya, Akhirnya Terbongkar Siapa ‘Datuk Seri’ Yang Didakwa Menipu Fizz Fairuz