in ,

Hans Isaac Berehat dari Dunia Lakonan Fokus Tugas Sebagai Pengerusi FINAS

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac menjelaskan beliau tidak akan terlibat dalam aktiviti lakonan mahupun penerbitan filem atau drama sepanjang pelantikannya dengan jawatan itu.

Jelas Hans atau nama lengkapnya Gerald Hans Isaac, 48, beliau mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas-tugas membangunkan industri menerusi Finas.

Terdahulu, Hans dilantik selaku Pengerusi perbadanan itu berkuat kuasa pada 8 April lalu seperti diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. 

Hans Isaac

“Pada awalnya saya hanya mahu bekerja setahun sahaja tetapi Menteri yang minta saya pegang jawatan ini selama dua tahun.

“Oleh sebab itu saya perlu lepaskan apa sahaja kerja melibatkan industri kerana saya mahu bersih dan bersikap neutral. Saya perlu telus.

“Adalah tidak adil sekiranya saya masih berlakon tetapi pada masa masa memegang jawatan dalam Finas,”

– Hans Isaac

Hans ditemui di sidang akhbar kunjungan rasmi pertamanya selaku Pengerusi Finas di Finas.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nazdri dan Presiden Persatuan Filem Malaysia (PFM), Datuk Norman Abdul Halim.

Tambah pelakon filem Cuci itu lagi, beliau mengambil masa beberapa bulan sebelum memutuskan untuk menerima jawatan tersebut kerana sedar masih banyak perkara peribadi yang ingin dilakukannya.

Namun demi memikirkan nasib rakan-rakan seperjuangan lain terutama golongan artis senior yang hidup melarat menjadi faktor beliau menerima jawatan itu.

“Dalam hidup saya ada banyak perkara ingin dibuat. Selaku individu, ada banyak sasaran mahu dicapai tetapi saya perlu ketepikan kesemuanya.

“Berbanding untuk fikirkan kepentingan diri saya seorang, di luar sana ada lebih 20,000 penggiat seni yang perlu diutamakan kebajikan mereka. Jadi saya terpanggil untuk membantu mereka,”

– Hans Isaac

Sementara itu, mengenai 15 manifesto yang direncanakan, Hans memberitahu ia belum dapat didedahkan buat masa ini. Bagaimanapun, pihaknya akan mengadakan satu sidang akhbar untuk berkongsi mengenai perkara itu tidak lama lagi.

Sumber: Kosmo!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fazura Luah Rasa Sedih Tak Dapat Pergi Majlis Resepsi Fasha Sandha

3.5 Juta Tonton FFM30, Ahmad Idham Ucap Terima Kasih