in

Hanie Soraya Lancar Single Terbaru PANTAS

Hanie Soraya Taha atau nama pentasnya Hanie Soraya merupakan seorang penyanyi wanita generasi baru yang berbakat besar yang dilihat terus melangkah ke hadapan dengan gaya tersendiri. Dengan kemahirannya bermain gitar dan ukulele, penyanyi kecil molek yang berumur 22 tahun ini telah menerima sambutan yang hangat hingga akhirnya mendapat tumpuan superstar, Faizal Tahir.

Dengan adanya panduan dan nasihat daripada Faizal, Hanie Soraya mula mekar didalam industri muzik tanah air sehingga dia telah berjaya melancarkan single pertamanya “Hujung Dunia” pada Mac 2014, diikuti dengan single keduanya “Rasa Sayang” pada Januari tahun lepas.

Setelah berjaya melancarkan 2 buah lagu yang hit, kini Hanie tampil dengan buah tangan yang baru. Warner Music Malaysia dengan bangganya mempersembahkan single terbarunya yang berjudul ‘Pantas’ yang berentak lebih segar dan matang. Single terbaru Hanie Soraya ini mengandungi lirik-lirik yang memberi inspirasi kepada pendengar serta memberi mesej tentang kehidupan dan keberanian untuk mengejar cita-cita.

Lagu ‘Pantas’ ini telah dicipta oleh komposer terkenal dan juga mentor Hanie iaitu Faizal Tahir serta Mike Chan, Ezra Kong dan Hanie sendiri. Muzik yang dihasilkan menerusi lagu ini mempunyai kelainannya yang tersendiri. Kiranya, sekali dengar, pendengar sudah boleh ‘tangkap’ melodinya. Lagu ‘Pantas’ ini merupakan sebuah lagu yang menyeru generasi muda untuk terus beranikan diri untuk mengejar impian dan menjadikannya satu realiti.

Lirik yang mengisahkan tentang nasihat itu amat mudah difahami kerana disampaikan secara tersurat serta sulaman melodi yang segar, bersesuaian dengan aliran muzik semasa.

Lagu ‘Pantas’ telah dilancarkan di seluruh stesen radio Malaysia dan sering menjadi permintaan oleh peminat Hanie sehingga telah menguasai carta lagu-lagu popular di stesen-stesen radio di Malaysia. Muzik video untuk lagu ini juga kini sudah berada di YouTube. Muzik video yang berdurasi lebih kurang 3.59 minit itu memaparkan sisi karakter Hanie bersama rakan-rakan yang ceria dan bersahaja dalam menikmati kehidupan diusia remaja.

Dalam pada menikmati keindahan hidup, mereka tahu bahawa di usia remaja ini lah masa yang paling tepat untuk mengejar dan menggapai impian. Muzik video bagi lagu ‘Pantas’ ini telah dirakamkan pada September lalu di Pantai Morib, Banting, Selangor.

Hanie Soraya 1

Hanie Soraya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama INIKAH CINTA Lakonan Farah Nabilah & Niezam Zaidi

Teaser GAME OF THRONES Musim Ke-6