in , ,

Graf Populariti Luqman Faiz Semakin Menurun Gara-Gara Salah Pilih Lagu?

Tidak sedikitpun timbul kekesalan di hati penyanyi Kepuraanmu, Luqman Faiz, 20, apabila graf populariti semakin menurun, sejak akhir-akhir ini.

Sungguhpun single kedua, Takhta Cinta tidak mendapat impak sebesar lagu Kepuraanmu yang meraih 28 juta tontonan di laman YouTube, bagaimanapun Luqman tetap bersyukur masih mendapat jumlah tontonan lebih 1 juta tonton selepas dilancarkan tahun lalu.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia tidak mampu meramalkan masa depannya dalam dunia nyanyian.

“Saya akui, perjalanan kerjaya nyanyian saya agak perlahan, sejak akhir-akhir ini. Jika tahu bakal diduga, tentunya saya tidak mengambil masa lama untuk tampil dengan single baharu.

“Di situ, saya rasa ralat. Saya lihat formula yang dibuat sesetengah penyanyi, mereka akan memperkenalkan single baharu, sebaik merasakan sambutan single yang terdahulu sudah mula berkurangan.

“Apabila single semakin sendu, mereka akan segera memperkenalkan muncul karya baharu yang mantap. Peminat akan nampak kesinambungan kerjaya seseorang penyanyi. Selain itu, saya membuat pilihan kurang tepat apabila tidak memilih lagu balada.

“Kononnya ingin mencuba genre muzik yang baru bagi menampilkan kelainan, tetapi ternyata rezeki saya lebih terarah kepada muzik balada,” 

– Luqman Faiz
SEPARUH AKHIRT PERTAMA MUZIK-MUZIK 34
Luqman Faiz hasilkan single ciptaan sendiri, tampil kisah benar yang berlaku pada rakan serumahnya.

Bagi single ketiga, Luqman berkata, dia ingin menampilkan kelainan dengan memilih genre reggaeton, namun belum sempat single berjudul Loco Loco dilancarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kami merancang melancarkan single Loco Loco pada Mac sempena ulang tahun kelahiran ke-20. Malangnya, hasrat itu terkubur berikutan tempoh PKP.

“Nampaknya, hasrat melihat single ini dilancarkan tidak kesampaian apabila syarikat rakaman, Aries Music memilih memasukkan lagu ini dalam album penuh.

“Insya-Allah, saya akan muncul dengan lagu ciptaan Sirkhan, kemudian disusuli lagu ciptaan saya sendiri bergenre balada. Saya melihat genre balada adalah kekuatan saya, jadi saya mahu menghasilkan genre yang disukai,”

– Luqman Faiz

Penyanyi kelahiran Shah Alam, Selangor itu berkata, single ciptaannya dipetik daripada kisah benar yang berlaku pada teman serumahnya di kolej.

“Single ini menceritakan kisah seorang lelaki yang ditinggalkan kekasihnya berikutan berkahwin dengan lelaki lain tanpa pengetahuan. Ia adalah kisah benar yang berlaku kepada teman serumah.

“Diselitkan elemen muzik 1990-an, namun tetap ada suntikan moden. Saya menyiapkan melodi dan lirik dalam tempoh tidak sampai sejam. Saya selami hati dan meletakkan diri di tempat rakan saya.

“Jujurnya, saya meletakkan harapan tinggi untuk single yang belum diletakkan judul ini untuk mengembalikan populariti seperti lagu Kepuraanmu,”

– Luqman Faiz

Mengulas hubungan dengan bekas kekasih yang juga rakan kongsi perniagaan tudungnya, Luqman berkata, meskipun hubungan pernah kecundang, namun mereka bersikap profesional demi kerja.

“Saya dan bekas kekasih tetap berkawan baik, walaupun hubungan cinta tidak menjadi. Tiada sebab untuk kami bermusuh, lebih lagi kami mengusahakan koleksi tudung, Daunshawl bersama.

“Ada masanya, saya ke rumahnya untuk menghantar stok tudung. Bagaimanapun, hubungan lebih bersifat profesional dan berkawan baik, tetapi tidak mungkin terjadi jika mahu menjalinkan hubungan cinta semula,”

– Luqman Faiz

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mawar Rashid Kini Berhijab Setelah Mengikuti Kelas Agama di Kelantan

Single BAHAGIA SEJATI Tampilkan Hazamin Inteam & Shamsul Ghau Ghau