in

Apa Yang Lain & Uniknya GEMA GEGAR VAGANZA

Buat julung-julung kalinya, saluran Islamik nombor satu di Malaysia, Astro Oasis membuat satu pertaruhan berani dengan membawakan sebuah program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti TV, ‘Gema Gegar Vaganza’ yang akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras pada setiap hari Sabtu mulai 8 April 2017, jam 9.00 malam di saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135). Ia juga boleh dinikmati di platform Astro on the Go (AOTG) dan Astro On Demand.

Mengangkat tema ‘Gema Irama Terindah’, ‘Gema Gegar Vaganza’ menampilkan 10 barisan peserta yang terdiri daripada berkumpulan dan solo yang mana mereka akan berentap dalam sebuah persembahan nyanyian mingguan bagi merebut gelaran Juara. Seleksi lagu yang bakal dipersembahkan terdiri daripada lagu-lagu yang berunsurkan ketuhanan dan mengandungi mesej-mesej positif yang boleh dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Gema Gegar Vaganza

‘Gema Gegar Vaganza’ Suntik Nafas Baru Dalam Persada Hiburan Islamik

Bergerak seiring dengan peredaran zaman dan bagi menyuntik elemen komersial serta moden, setiap persembahan daripada peserta akan diiringi oleh ‘live band’. Para peserta akan turut diuji dengan tugasan lagu yang mencabar mengikut kepada tema mingguan yang diberikan.

Bercerita mengenai buah tangan terbaharu Astro Oasis ini, Ahmad Fuad Mat Ali, Pengurus Saluran Astro Oasis berkata, “Memasuki ulang tahun ke-10 saluran Astro Oasis, kami mahu terus memperkukuhkan matlamat kami dalam merevolusikan cara penyampaian mesej kebaikan yang berunsur islamik kepada masyarakat di luar sana. Kami akui, penonton sentiasa menginginkan pembaharuan dan kami di Astro Oasis khususnya perlu mengadaptasi setiap perubahan yang berlaku agar corak pendekatan yang kami ambil dalam mencapai sesuatu matlamat itu kekal relevan dan menepati citarasa penonton.

Kami dapati persembahan nyanyian merupakan salah satu kaedah penyampaian mesej dakwah yang berkesan pada masa kini. Justeru itu, kami menyahut cabaran dengan memperkenalkan sebuah program pertandingan nyanyian yang berkonsepkan realiti dan berbentuk kerohanian namun begitu bersifat lebih terbuka dan kotemporari, bersesuaian dengan kehendak masa kini.

Jika kita perhatikan, kini terdapat banyak lagu-lagu berunsur ketuhanan dan nasihat yang boleh kita ketengahkan. Sebagai contoh, Astro Oasis sendiri sebelum ini pernah memperkenalkan kempen ‘25 Rasul’ yang mana menyaksikan kehadiran nama-nama hebat dalam industri seperti Altimet, Aizat Hamdan, Faizal Tahir, Miss Nina, Hazama dan ramai lagi melibatkan diri dengan menyumbangkan suara mereka dalam sebuah album istimewa. Kini, kami berharap dengan pendekatan yang dibawa oleh program ini, masyarakat di luar sana akan membuka mata dan minda seterusnya mengiktiraf bahawa lagu-lagu yang membawa mesej-mesej positif dan berunsurkan Islamik tidak hanya terhad pada genre muzik nasyid sahaja.”

Untuk penganjuran kali pertama ini, pentas ‘Gema Gegar Vaganza’ akan digegarkan oleh barisan penyanyi yang pernah mewarnai industri hiburan tanah air dan mempunyai portfolio seni yang cukup disegani. Empat peserta berkumpulan terdiri daripada Hijjaz, Saujana, Mirwana dan UNIC. Mereka akan ditentang sengit oleh peserta solo yang bukan calang-calang orangnya seperti Hafiz Hamidun, Ana Rafali, Bienda, Azmi Caliph Buskers, Izam EYE dan penyanyi muda yang popular dengan lagu Alhamdulillah, Wani.

Mengangkat lagu berunsur ketuhanan dan bermesej positif dalam pelbagai genre muzik dan tidak terhad pada nasyid

Menarik lagi, berinspirasi daripada sambutan hangat yang diterima program nyanyian yang berjaya mencipta fenomenya yang tersendiri; Gegar Vaganza, ‘Gema Gegar Vaganza’ turut menerapkan format dan konsep yang sama seperti program tersebut menerusi aspek penerbitannya. Elemen-elemen yang sinonim dengan Gegar Vaganza seperti persembahan pembukaan oleh pengacara dan juga elemen kejutan akan turut dibawa masuk ke dalam program ‘Gema Gegar Vaganza’.

Mengulas mengenai perkara ini, Fuad Ali berkata, “Gema Gegar Vaganza merupakan sebuah program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti pertama di saluran Astro Oasis. Oleh itu, amat penting bagi kami mendapatkan sumber rujukan yang bagus untuk memastikan kualiti program yang kami tawarkan setara dengan program realiti nyanyian terbitan Astro yang lain. Kejayaan luar biasa yang dikecapi oleh program Gegar Vaganza yang telah tiga musim bersiaran sangat mengagumkan. Oleh itu, pihak produksi memutuskan untuk mengadaptasi format program Gegar Vaganza yang sudah terbukti keberkesanannya dan memperkenalkan program ‘Gema Gegar Vaganza’.

Meskipun begitu, program ‘Gema Gegar Vaganza’ turut menampilkan perbezaan terutamanya dari segi pendekatan dan kandungan program yang mana kandungannya dilihat lebih bersifat Islamik. Sebagai contoh, lirik lagu haruslah mengandungi unsur nasihat dan aksi serta pemakaian yang ditampilkan dalam program ini baik daripada peserta mahupun pengacara haruslah selari dengan ajaran Islam. Daripada segi pemilihan peserta juga berbeza, di mana kami mengalu-alukan penyertaan semua anak seni tanpa mengira latar belakang atau genre muzik yang pernah mereka tampilkan sebelum ini.”

Dari segi pemarkahan pula, barisan peserta akan diadili sepenuhnya oleh tiga juri profesional berdasarkan kriteria pemarkahan yang telah ditetapkan. Pada setiap penghujung persembahan mingguan, peserta dengan purata markah terkumpul yang paling rendah akan disingkirkan.

Kerusi panas juri pula bakal diduduki oleh dua orang juri tetap iaitu Farihin Abdul Fattah, seorang komposer dan penerbit yang tidak asing lagi dalam dunia seni hiburan Islam. Beliau akan ditemani oleh Oki Setiana Dewi, seorang pelakon Indonesia yang berpengaruh dan aktif dalam hal-hal berkaitan keagamaan di Indonesia. Manakala, seorang juri jemputan akan diundang pada setiap minggu.

Selain itu, Siti Nordiana, Achey daripada kumpulan Bocey dan Fikri daripada program Lawak Solo diberi kepercayaan penuh untuk mengemudi ‘Gema Gegar Vaganza’ selaku pengacara program. Gandingan segar penyanyi, pelakon dan pelawak ini dilihat mampu memberi kelainan terhadap program ini.

Juara Gema Gegar Vaganza bakal membawa pulang hadiah wang tunai yang cukup lumayan iaitu sebanyak RM100,000.00 beserta trofi. Naib juara pula akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.00 beserta trofi. Hadiah tempat ketiga akan mendapat wang tunai bernilai RM20,000.00 beserta trofi manakala tempat keempat pula bakal meraih wang tunai RM10,000.00 beserta trofi. Pemenang bagi kategori ‘Pilihan Penonton’ yang diundi menerusi sistem dalam talian pula akan membawa pulang wang tunai RM5,000.00.

Sementara itu, program ‘Gema Gegar Vaganza’ mendapat sokongan padu daripada ‘Kopi Pak Belalang’ dan ‘Serai Mas’ selaku Penaja. ‘Astro Circle’ pula hadir sebagai Rakan Gema. Manakala, informasi serta berita terkini berkaitan dengan ‘Gema Gegar Vaganza’ akan dikemaskini dari semasa ke semasa oleh portal hiburan rasmi, ‘Astro Gempak’ dan radio rasmi ‘THR Gegar’ tampil selaku Radio Gema serta ‘Raku’ pula sebagai Radio Digital.

Bagi memberi peluang kepada lebih ramai penonton untuk menyaksikan program ini, istimewa untuk semua, episod pertama ‘Gema Gegar Vaganza’ akan dapat disaksikan serentak menerusi empat saluran iaitu saluran Astro Oasis (106), Maya HD (135), Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Ia juga boleh dinikmati di platform Astro on the Go (AOTG) dan Astro On Demand.

Jangan lupa menonton ‘Gema Gegar Vaganza’ yang akan bersiaran langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras pada setiap hari Sabtu mulai 8 April ini, jam 9.00 malam.

Gema Gegar Vaganza

Gema Gegar Vaganza

Gema Gegar Vaganza

Gema Gegar Vaganza

Gema Gegar Vaganza

Gema Gegar Vaganza

Gema Gegar Vaganza

Gema Gegar Vaganza

Gema Gegar Vaganza

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jung Il Woo Korea K Pop | 13

Sinopsis Siri Korea TEMPTATION Ditayangkan di TV2

Ayu Raudah Kembali Dalam Drama Bersiri ANAK BERTUAH 2