in ,

Ayu Raudah Kembali Dalam Drama Bersiri ANAK BERTUAH 2

Drama bersiri “Anak Bertuah” lakonan berkesan Hairul Azreen di samping Wan Nor Azlin yang mengetengahkan plot kisah kemasyarakat seorang anak berusaha membahagiakan ibunya bila neneknya, Tok Wan yang kaya tergamak mengabaikan mereka yang hidup melarat pernah menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kali ini ikuti kesinambungannya menerusi 13 episod siri “Anak Bertuah 2”, menampilkan pelakon Ayu Raudah di samping Hafiz Bahari, Adam Shahz, Falisha Crossley, dan Wan Nor Azlin.

Memaparkan kemelut yang dihadapi oleh Lokman yang keluarganya asal miskin dan tidak disukai oleh neneknya yang dipanggil Tok Wan. Setelah besar dan berjaya Lokman terpaksa berpisah dengan kekasihnya. Kemudiannya dia berkahwin dengan Lydia yang berasal dari kampung tetapi telah berubah menjadi sombong sehingga tidak lagi menghormati Embun, ibu Lokman sendiri. Sementara itu Midah, ibu saudara Lokman bersama anaknya Dani yang memusuhi keluarga Lokman sentiasa mencari jalan untuk memporak perandakan keluarga Lokman.

ANAK BERTUAH 2

Bersiaran mulai 4 April ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.00 petang di TV2, kisahnya bermula dengan Tok Wan jatuh di bilik air dan kemudiannya meninggal di dalam pelukan Embun. Midah yang baru diceraikan tidak puas hati dengan Embun apatahlagi bila Haji Tapa membacakan wasiat Tok Wan di mana setiap orang cucunya Tok Wan tinggalkan tanah sebanyak tiga ekar. Tanah tapak rumah Embun diberikan kepada Embun dan Mail mendapat seekar tanah di kaki bukit. Harta lainnya diserahkan kepada Midah dengan syarat Midah perlu tinggal di kampung dua tahun terlebih dahulu sebelum harta tersebut diserahkan kepadanya.

Midah yang tidak bersetuju dengan wasiat itu terus pulang ke Kuala Lumpur bersama Dani. Sesampai di rumahnya Midah bertambah geram kerana di pintu pagar tergantung notis minta hutang yang ditujukan kepada bekas suaminya. Manakala Embun pula cukup terharu dengan pemberian tersebut. Dia tidak sangka yang Tok Wan akan meninggalkan sedikit hartanya kepada dia dan anak-anaknya memandangkan selama ini Tok Wan membenci mereka.

Sementara itu Lokman melangsungkan perkahwinan Lokman dan Lydia. Berita perkahwinan ini dijadikan fitnah oleh Midah dan orang kampung. Tipah, emak Lydia hampir termakan hasutan Midah bahawa Lokman adalah jahat. Hajah Kalsom menceritakan keadaan yang sebenarnya iaitu Lokman seorang anak yang baik cuma dia suka mencuri sewaktu kecilnya dahulu.

Kambing arwah Tok Wan hilang lagi dan Midah menuduh Yunus, adik Lokman yang mencuri kambing dan Dani terus memukul Yunus. Rupa-rupanya pencuri kambing selama ini adalah Dani.

Midah dan Dani tidak berpuas hati atas perkahwinan Lokman. Embun menemani Lokman dan Lydia balik ke Kuala Lumpur. Sesampai di rumah Lokman, Lydia mula menunjukkan sikap tidak senang hatinya kepada Embun. Di kampung, bilik tidur Timah telah dicerobohi dan Timah telah menjerit meminta tolong. Apabila Mail dan Yunus datang membantu, penceroboh telah pun melarikan diri. Embun bergegas mahu pulang apabila mendapat tahu kejadian ini. Timah telah ke rumah Midah dan memberi amaran kepada Dani kerana menceroboh biliknya.

Dani mahu meninggalkan kampung kerana dicari orang akibat hutang judi lagi. Lokman sungguh gembira apabila mengetahui Lydia mengandung dan mahu menunaikan permintaan Lydia untuk berbulan madu ke Sarawak. Namun dia menangguhkan hasratnya dan pulang ke kampung apabila mengetahui Yunus mengamuk.

Midah juga menyebarkan fitnah bahawa Embun dan Mail bersekedudukan. Saedon dan orang-orang kampung menyerbu rumah Embun untuk menangkap Embun dan Mail tetapi Mail sudah ke Kedah untuk belajar agama. Dani menjual kambing-kambing kepada Sham Naga dengan harga yang sangat murah kerana membayar hutang judinya. Yunus diejek oleh budak-budak dalam perjalanan ke tempat kerjanya dengan panggilan orang gila.

ANAK BERTUAH 2

Embun bersetuju dan meminta pertolongan Haji Tapa untuk membawa Yunus untuk rawatan. Lokman hendak ke Busan, Korea untuk urusan perniagaan. Lokman membawa Lidya pulang ke kampungnya. Lokman bercadang membina rumahnya di atas tanah peninggalan Tok Wan walaupun tidak disenangi Lydia. Sebelum bertolak ke Korea, Lokman meninggalkan sedikit duit kepada Embun dan Lydia menjeling Embun dengan tajamnya.

Mendengar Lokman ingin membina rumah, Midah segera merancang untuk mengenakan Lokman. Dani lalu membawa Zainal, seorang kontraktor menemui Embun. Sebaik Lokman bertolak ke Korea, Lydia mula menunjukkan sikap biadapnya kepada Embun. Timah naik angin dan sering bertengkar dengan Lydia. Embun terus mempertahankan Lydia dan Timah geram kerana Embun biarkan orang memijak kepalanya. Midah menghasut Hjh. Kalsom bahawa Embun mengurung Lydia sehingga dia tidak tahu anak saudaranya itu berada di situ.

Lydia telah bergaduh dengan Yunus sehingga dicekik oleh Yunus. Nasib baik Embun sempat menyelamatkan Lydia dengan menghalang Yunus. Lydia berpura-pura kerasukan bertujuan memalukan Embun. Perbualan Lydia dan Midah didengari oleh Hajah Kalsom lalu dia memberitahu Haji Tapa. Haji Tapa dan Hajah Kalsom menghantar Lydia pulang ke rumah Embun.

Apabila Lokman pulang dari Korea, dia membeli hadiah untuk semua. Lidya mendapat gelang tangan emas dan Embun pula mendapat rantai leher emas yang besar dan ini tidak disenangi oleh Lydia. Setelah Lokman dan Lydia balik ke Kuala Lumpur, rantai leher Embun telah hilang. Embun menemui semula rantai lehernya yang hilang semasa menyimpan pakaian di bilik Lydia. Apabila ditanya, Lydia menuduh Embun pula yang sengaja meletakkannya di situ. Yunus naik ke atas dan mencekik leher Lydia apabila mendengar Lydia memarahi emaknya. Embun memarahi Yunus dan menamparnya lalu Yunus terus lari dari rumah.

Embun menelefon Lokman meminta dia mencari Yunus. Setelah ditemui, Yunus menceritakan semua kelakuan Lydia kepada Lokman. Sesampai di rumah, Lokman memarahi Lydia dan menyuruh Lydia berkemas untuk dihantar pulang ke rumah orang tuanya. Lalu apakah kesudahannya?

ANAK BERTUAH 2

ANAK BERTUAH 2

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Apa Yang Lain & Uniknya GEMA GEGAR VAGANZA

Kirstie Maximus Lancar Single Melayu Berjudul KEMBALI X