in

Gambar Sekitar Ulangtahun TV9 Kini Tiga Tahun

TV9 KINI DI HATI PENONTON

3459921538 3169B6C171 O | 4

Setelah menjangkau usia 3 tahun, TV9 semakin anggun, ceria dan kontemporari! Diperkenalkan pada 22 April 2006, TV9 menunjukkan prestasi yang memberangsangkan seiring dengan stesen televisyen Media Prima Berhad lain seperti TV3, ntv7 dan 8TV. Bersempena dengan sambutan ulangtahun ketiga ini, TV9 muncul dengan tagline baru yang lebih segar dan dekat dengan hati penonton. ‘Tiga Tahun Di Hatiku’, tepat untuk menggambarkan TV9 telah berjaya menapak dihati peminat yang sentiasa bersama kami.

3459076061 Acc2E7F896 O | 5

Bersempena dengan ulangtahun TV9, majlis sambutan yang yang meriah telah diadakan di Sunway Lagoon semalam. Kemeriahan sambutan ini dapat dirasai oleh rakan-rakan media, artis-artis jemputan serta keluarga. Pelbagai aktiviti menarik dan santai yang disusun berjaya dimeriahkan beramai-ramai. Antara aktiviti segar yang bermula seawal jam 9.00 pagi adalah ‘face and body painting’, ‘water tug of war’, ‘soccer match’, dan ‘beach volley ball’. Kesemua acara yang diatur diharap dapat mengeratkan hubungan silaturrahim semua pihak yang sentiasa memberi sokongan padu kepada TV9.

Turut memeriahkan acara adalah siaran langsung rancangan bual bicara Nasi Lemak Kopi O yang juga dijalankan di sini dengan menampilkan Azean, Syarifah Nur dan Farrah Adeeba sebagai pengacaranya. Bagi memeriahkan suasana, rancangan ini turut menjemput pelakon dan penyanyi Nabila Huda, Mustapha Kamal, Susan Manen serta keluarga. Untuk menyaksikan celoteh mereka seawal jam 8.00 pagi, jangan ketinggalan untuk bersama Nasi Lemak Kopi O hanya di TV9.

Sejurus selepas itu, TV9 meneruskan siaran langsung rancangan Apa Ke Halnya yang akan membawa Mr. Os, Shamsul Ghau Ghau, dan Din Beramboi untuk berbicara secara santai dalam suasana yang penuh ceria. Pastikan anda terus melekat di hadapan TV9 bagi menyaksikan rancangan ini secara langsung pada jam 10.00 pagi selama satu jam.

Majlis sambutan ulangtahun TV9 yang ketiga ini juga turut disambut oleh barisan artis jemputan seperti kumpulan Hujan, Sharifah Shahirah, Irma Hasmie, Nabil, Fimie, Wada dan ramai lagi.

Tampil dengan wajah yang berbeza berbanding sebelumnya, TV9 berusaha memuaskan hati semua penonton setianya menerusi pelbagai rancangan terbitan sendiri, rancangan tempatan, dan luar negara. TV9 menyasarkan kepada tiga kategori penonton utama iaitu  – kanak-kanak (kids) berusia di antara 4 tahun hingga 14 tahun, remaja dan belia bekerja (young working adult) dalam lingkungan 15 tahun hingga 24 tahun dan pasangan keluarga muda (young families) berusia lingkungan 25 tahun hingga 34 tahun. Dengan cara ini, TV9 akan lebih fokus dalam penghasilan rancangan-rancangan baru kami.

Pelbagai rancangan menarik telah disediakan sepanjang tahun 2009 ini di samping kandungan yang semakin menarik dan mantap seiring dengan tagline TV9 Di Hatiku’. Bagi meraikan ulangtahun ketiga TV9, sebuah konsert istimewa iaitu Konsert TV9 Di Hatiku yang akan bersiaran secara langsung dari Lumut Perak pada 25 April 2009 ini bakal memberi satu variasi terbaru kepada penonton setia TV9. Saksikan artis-artis jemputan, Hujan, Haqiem, Wada (Pemenang Idola Kecil) dan Fabulous Cat yang akan menghiburkan para penonton.

Antaranya Studio Nabil setiap Sabtu jam 8.30 malam, menampilkan Nabil sebagai pemilik jamming studio, dibantu oleh Sharifah Shahirah sebagai setiausahanya. Kemunculan artis-artis terkenal tanahair turut memeriahkan rancangan ini.

Manakala, Chopp merupakan sebuah rancangan yang disiarkan selama lima minit setiap hari jam 8.30 malam dan 10.30 malam bagi mengumumkan rancangan menarik yang akan disiarkan pada hari tersebut. Pelbagai informasi menarik tentang fesyen, muzik, dan peralatan elektronik untuk dikongsi bersama penonton. 

3459076233 99Bc69312B O | 6

Rancangan Kes Syariah yang disiarkan setiap hari Rabu jam 9.35 malam akan membongkar pelbagai kisah di sebalik kamar mahkamah Syariah yang dihoskan oleh Azizah Ariffin dan Azura Abu Samah.

Seterusnya Galaksi yang disiarkan secara langsung setiap Jumaat jam 8.35 malam turut memantapkan kandungannya dalam memberikan yang terbaik buat penonton berkaitan berita artis dan juga gosip terkini artis tempatan bersama pengacara Nadia Shahrul Anuar.

Siaran rancangan diteruskan dengan Semanis Kurma yang menampilkan dua pakar motivasi terkenal Dato’ Ustazah Norbaayah Mahmood dan Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid bagi membincangkan permasalahan rumah tangga serta jalan penyelesaiannya. Saksikan Semanis Kurma secara langsung pada setiap hari Jumaat jam 9.35 malam.

Sementara itu, penonton juga berpeluang mempelajari resipi-resipi menarik, ringkas dan berkhasiat menerusi Ole-Ole Chef Zam dan Fimie yang disiarkan setiap hari Sabtu jam 12.30 tengahari. Menarik tentang rancangan ini ialah kedua-dua hos ini akan dibantu oleh rakan-rakan cilik Fimie lingkungan 6 hingga 12 tahun. Antara masakan menarik yang dikongsi adalah sphagetti meatball, kek coklat, cup cake, popia keju dan banyak lagi.

Musim terbaru Busana akan membawa penonton ke destinasi membeli belah dengan pelbagai tawaran menarik bersama Syarifah Nur dan artis jemputan setiap minggu. Busana disiarkan setiap hari Ahad jam 11.30 pagi.

3459890652 B2D937343B O | 7

Seterusnya Hip TV akan menemani penonton setiap hari Ahad jam 10.35 malam bagi membongkar fesyen serta gaya hidup artis-artis terkenal tanah air. Turut disertakan dengan visual-visual menarik dan komen-komen pakar fesyen terkini.

Sebuah lagi rancangan yang tidak harus dilepaskan adalah 24/7 Forensik yang membawa penonton melihat proses bedah siasat mangsa-mangsa kes pembunuhan, bunuh diri, dan kemalangan. Disiarkan setiap hari Rabu jam 10.30 malam, 24/7 Forensik pasti memberi pengalaman berbeza buat penonton TV9.

Bagi adik-adik pula, pelbagai program menarik telah disusun sesuai mengikut usia seperti Perman, sebuah kartun animasi yang sedang ditayangkan bermula 5 April jam 5.30 petang. Ia mengisahkan Mitsuo Suwa yang diberi empat benda yang boleh menjadikan dia Superman atau Birdman –  Topeng yang boleh membuatkan dirinya kuat, lencana yang dapat berkomunikasi dengan Perman yang lain serta, bernafas di dalam air dan juga satu robot yang menyerupainya supaya identitinya tidak terbongkar. Monster Kids menyusul pada jam 6.00 petang mengisahkan Taro Kaibutsu yang digelar Monster Kid yang merupakan putera “Monster Land”. Monster Kid yang datang dari dunia luar telah menetap di bumi dengan ditemani oleh tiga pengikutnya iaiatu Dracula, Wolfman dan Franken. Kartun animasi yang penuh dengan aksi lasak, cemas dan jenaka pasti memikat hati adik-adik.

Sebuah lagi rancangan terbitan sendiri, Siapa Pintar yang membawa peserta untuk menguji tahap kecergasan minda mereka. Dihoskan oleh Aliff (OIAM), Siapa Pintar disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu jam 7.00 malam. Bagi anda yang ingin bergelak ketawa dengan aksi kanak-kanak, saksikan rancangan Pondok-Pondok setiap hari Ahad jam 8.30 malam, dihoskan oleh Nabil dalam suasana penuh kemeriahan dengan pelbagai aktiviti seperti nyanyian, masakan, lakonan, dan bual bicara bersama kanak-kanak. Kami juga turut menyiarkan Upin Ipin yang mendapat sambutan begitu menggalakkan selama 90 minit iaitu dari jam 5.30 petang hingga 7.00 petang pada 25 April menerusi Upin Ipin Marathon. Sementara empat filem kartun terbaik juga disusun seperti Danny Phantom Reality Trip (22 April), Fairly Odd Parents: When Nerds Collide (23 April), Fairly Idol (24 April) and The Jerkinators (25 April).

Bagi kanak-kanak pra sekolah, Barney & Friends akan menemani adik-adik setiap hari Isnin hingga Khamis jam 8.30 pagi dengan pelbagai gelagat dan aksi menyeronokkan. Manakala, kanak-kanak yang gemarkan rancangan pengembaraan dalam mencari harta, Hartamania yang menampilkan Adruce dan Nabil sebagai hosnya pasti memberi keriangan semasa menonton. Akan bermula Jun ini, setiap hari Isnin hingga Rabu jam 7.00 malam.

Buat peminat-peminat drama melayu tempatan, beberapa drama menarik yang cuba diketengahkan adalah Ceplos, Lagenda: Merah Puteh dan Zati & The Beast. Perasaan cemas, mendebarkan dan lucu pasti menyelubungi penonton menerusi drama Ceplos yang merupakan drama komedi seram. Disiarkan setiap hari Jumaat hingga Ahad, jam 9.05 malam dengan barisan pelakon handalan Kazaruddin bin Saisi (Ipin), Muhammad Shazrin Sazwan (Ceplos) dan Sharifah Sahirah (Ijah).

Sebuah lagi drama yang mengisi slot Lagenda, Merah Puteh disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 8.30 malam. Merah Puteh mengisahkan tentang adik-beradik tiri Izwan Shah yang mesra dipanggil Merah (lakonan Zahiril Adzim) dan Nazlee Shah atau Puteh (Wan Elyas). Manakala Mei ini, penonton setia TV9 akan dihidangkan dengan rancangan terbaru Zati & The Beast yang menampilkan Diana Daniella sebagai watak utamanya. Drama komedi romantik ini akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam 8.30 malam.

3459891530 5A8Cf49472 O | 8

Buat peminat TV9, kami menjanjikan barisan rancangan realiti yang bakal mengisi masa terluang anda. Terbaru, Oo La La akan menyaksikan perjalanan peserta untuk menjadi penyanyi. Bermula pada Mei ini, Oo La La akan ditayangkan pada setiap hari Sabtu jam 9.30 malam.    

Sebuah lagi rancangan realiti terbaru, Jaguh yang cuba mencungkil bakat pemain badminton baru bakal menemui penonton setia kami Jun ini. Rancangan ini akan memberi peserta latihan intensif untuk menjadi pemain badminton negara bertaraf profesional. Manakala rancangan realiti Gadis Melayu yang mendapat sambutan ramai penonton pada musim lalu akan memasuki musim kedua Ogos ini. Rancangan yang berusaha mencari gadis melayu tulen yang penuh dengan nilai ketimuran ini akan disiarkan pada setiap hari Sabtu jam 9.30 malam. Seterusnya, bagi mereka yang ingin melihat persembahan nyanyian oleh peserta nyanyian kanak-kanak, jangan lupa saksikan Idola Kecil yang bakal memasuki musim kedua pada November ini. Musim telah lalu melihatkan Wada sebagai juara Idola Kecil.  

Bagi menghargai sokongan penonton setia TV9, Peraduan Tonton & Menang Skrin diadakan pada setiap penghujung tele-movie (Skrin Selasa/Jumaat/Sabtu/Ahad) dan pelbagai hadiah menarik disediakan kepada peserta yang menang. Untuk mengetahui hadiah menarik, pastikan anda semua tidak ketinggalan menyaksikan rancangan-rancangan menarik yang telah disusun sepanjang April ini.

Bersempena dengan sambutan ulangtahun ketiga TV9 ini, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak memberi sokongan. Kerjasama anda dalam memantapkan TV9 amat kami hargai. Oleh itu, jangan lupa untuk menyaksikan barisan rancangan menarik yang disediakan sepanjang tahun 2009 hanya di TV9 Di Hatiku!

Selamat menonton!

3459889990 D2A0028F0D O | 9

3459076847 7900071578 O | 10

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Game Show DoubLe, TriPle Or notHinG kiDs

Sinopsis Setem Lakonan Afdlin Shauki dan Vanidah Imran