in , ,

Finas Tetap Teruskan Festival Filem Malaysia Ke-31 Walaupun Ramai Yang Nak Boikot

Ramai penggiat seni yang prihatin yang berpendapat sekarang bukan masanya untuk habiskan perbelanjaan besar untuk menganjurkan acara berprestij ini. Seeloknya boleh tangguhkanlah dan kita boleh guna wang festival tu untuk bantu anak-anak industri seni yang sedang dalam kesusahan sekarang. Tunjukkan kita juga prihatin.

“Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) tetap diteruskan,” kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid susulan wujud kempen boikot FFM31 yang digerakkan individu tertentu sejak minggu lalu.

Zakaria ketika dihubungi berkata, penganjuran FFM 31 yang dirancang pada Oktober depan bakal dijalankan sama ada secara hibrid atau virtual sepenuhnya.

Menurut Zakaria, pihaknya juga maklum mengenai kelompok kecil yang menjalankan kempen itu menggunakan #boikotffm31 .

“FFM31 dirancang pada Oktober ini selepas tertangguh dua tahun disebabkan penularan pandemik Covid-19. Tujuan FFM adalah untuk meraikan penggiat filem yang sudah bertungkus lumus berkarya walaupun dalam kekangan ketika ini.

“Ia juga untuk menilai perkembangan kualiti filem sebagai langkah memperkemaskan persiapan ‘Road to Oscars’. Kami maklum mengenai kelompok kecil yang menjalankan kempen boikot FFM31 di media sosial atas alasan suasana yang sukar ketika ini,”

Finas Tetap Teruskan Festival Filem Malaysia Ke-31 Walaupun Ramai Yang Nak Boikot

Zakaria berkata, pihaknya menghormati hak bersuara setiap individu dan prihatin dengan masalah yang ketika ini bukan saja dihadapi penggiat seni, tetapi seluruh rakyat Malaysia dan seluruh dunia.

“Ahli Perbadanan sebulat suara berpendapat perancangan Finas perlu dilaksanakan semampu mungkin dan tidak boleh terhenti begitu saja dengn alasan pandemik Covid-19.

“Jadi, FFM31 tetap berlangsung sama ada secara hibrid atau sepenuhnya virtual seperti Anugerah Oscars baru-baru ini. Malah, Filipina baharu saja mengadakan festival filem mereka,” katanya.

Menurut Zakaria, pihak yang menjalankan kempen boikot itu tidak faham konsep penganjuran FFM31.

“Segelintir pihak yang menyokong kempen itu tidak faham konsep FFM kali ini kerana mereka tidak membaca kenyataan Finas mengenai FFM. Mereka samakan seperti pesta lain sebelum ini.

“Ketika ini kita tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat di mana acara akan dijalankan secara hibrid atau maya sepenuhnya bergantung kepada suasana pada Oktober nanti. Kami juga menjangkakan penularan Covid-19 akan terkawal nanti apabila lebih 70 peratus rakyat sudah diberi vaksin. Finas sebagai agensi pelaksana kerajaan harus sentiasa proaktif, berpandangan jauh dan kreatif dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Menerusi kempen boikot yang dijalankan, antara lain mereka menekankan Finas perlu mengutamakan soal kebajikan anak seni yang tiada pekerjaan dan gaji.

Zakaria menjelaskan, usaha membantu penggiat industri terus dijadikan agenda utama antaranya menyalurkan dana yang terbaru berjumlah RM46.9 juta kepada 81 syarikat produksi.

“Dana ini untuk menggerakkan ekonomi industri perfileman yang mana melalui kerja penggambaran nanti akan membuka peluang pekerjaan dan pendapatan untuk kru dan pekerja belakang tabir. Pelbagai lagi inisiatif dilaksanakan Finas sejak Mei tahun lalu untuk membantu industri. Finas juga menyokong mana-mana persatuan menganjurkan program bantuan makanan untuk warga seni yang memerlukan.

“Minggu depan Finas akan mengedarkan bakul makanan kepada persatuan-persatuan untuk edaran kepada ahli yang terkesan. Skop kebajikan yang kami jalankan adalah terhad kerana tidak boleh mengambil tugas agensi kerajaan lain. Finas tidak boleh menyalurkan bantuan tunai ‘one off’ kepada warga seni kerana tertakluk dengan Akta 244 dan sudah ada agensi lain yang menyalurkan tunai kepada seluruh rakyat yang layak termasuk warga seni rakyat negara ini.

“Banyak inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaat oleh warga seni sebagai rakyat Malaysia seperti bantuan untuk golongan B40 iaitu moratorium, i-Citra, bantuan Pebadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan banyak lagi. Finas juga sedang berunding dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kebenaran penggambaran seberapa segera dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Finas, Hulu Klang,” katanya.

*Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Menarik Sempena Sambutan AidilAdha 1442H di TV ALHIJRAH

Kes Covid-19 Masih Lebih 7,000 Hari Ini, Selangor Rekod 3,119 & Kes Kumulatif Hampiri 800,000