in

Filem Wayang Khas Hari Seniman 2011

Khas Hari Seniman 2011 : Filem Wayang Pada 28 Mei Ini Di TV2

Sejuta penghargaan diberikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang begitu menghargai bakat dan karya para ahli seni tidak kira pelakon, penyanyi, pelukis, penyair, penulis, penari, pengarah, krew, penerbit dan semua yang bernama anak seni dalam menyumbang karya untuk dikongsi semua golongan masyarakat sejak dahulu hingga kini. Apatahlagi menjelangnya Hari Seniman yang disambut saban tahun tanggal 29 Mei depan.

Lalu sebagai memeriahkan sambutan Hari Seniman 2011 mulai 29 Mei hingga 29 Jun 2011 dengan tema “Penggerak Innovasi dan Kreativiti”, RTM menyiarkan tayangan filem drama kemasyarakatan, Wayang arahan Hatta Azad Khan yang ditayangkan pada 28 Mei 2011, jam 10.00 pagi di TV2.

Filem yang menampilkan pelakon hebat Eman Manan (Awang Lah), Zul Huzaimy (Awi), Ida Nerina (Mak Cik Esah), Anuar Idris (Pak Mail), Mas Muharni (Melor), Mohd Asrah Aris, Mohd Asrah Afif dan Wan Kenari ini mengangkat watak seorang dalang ternama, sepasang murid istimewa, mendepani pelbagai persoalan dan menemui bermacam jawapan di penghujung ceritanya.

Plot kisah bermula dengan watak Awang Lah, seorang dalang tersohor, tiba-tiba didepani masalah mengajar wayang kulit kepada seorang kanak-kanak lelaki buta dan seorang kanak-kanak perempuan bersuara sengau. Kekecewaannya terhadap anak sendiri yang tidak mahu mendekati panggung wayang kulitnya, membuatkan Awang Lah berusaha keras mengajar dan kanak-kanak istimewa itu. Awi sekalipun buta tetapi mampu menghafal cerita-cerita wayang kulit dengan baik, dan Melor pula pandai melukis patung dan menggerakkannya di kelir mengiringi cerita yang dituturkan Awi.

Setelah dewasa Awi mencuba berbagai gaya tersendiri menyelitkan unsur jenaka pada cerita-cerita dari hikayat Ramayana. Percubaan Awi tidak disenangi Awang Lah yang menganggap wayang kulit adalah seni yang tidak boleh dipinda atau diubah. Awang Lah menjadi bertambah serabut dengan gangguan Jusoh, sepupunya yang menganggap wayang kulit adalah bertentangan dengan agama.

Cinta berputik antara Awi dan Melor. Jusoh yang menaruh hati pada Melor menjadi marah dan mula mengganggu Awi, sehinggakan Awi tertuduh membakar panggung wayang kulit Awang Lah. Awang Lah mendepani Jusoh setelah mengetahui dari Awi siapa sebenarnya yang membakar panggung wayang kulitnya. Awang Lah memberi amaran kepada Jusoh supaya tidak lagi menganggu Awi dan mengusik Melor. Baginya kedua-dua remaja itu sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

Awang Lah terjatuh sewaktu bermain wayang kulit. Persoalannya mampukah Awi dan Melor meneruskan warisan kesenian wayang kulit? Adakah Awi yang buta dapat menghadapi Jusoh? Bolehkah anak lelaki Awang Lah yang kini remaja menerima wayang kulit? Adakah Awi dan Melor dapat hidup bahagia seperti Seri Rama dan Sita Dewi dalam cerita wayang kulit yang mereka mainkan?

Poster Filem Wayang

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Temui Asfan & Suria Wheels Di Dataran Merdeka

Drama Kemboja di Ladang Duka Lakonan Liza Othman