in , ,

Filem RAIN TOWN Angkat Kisah Konflik Keluarga Arahan Tunku Mona

Setelah mencipta nama menerusi filem Redha yang bertemakan tentang autisme pada tahun 2016, pengarah terkenal Tunku Mona Riza Tunku Khalid kini kembali dengan naskah terbaharu berjudul RAIN TOWN.

Masih mengangkat kisah kekeluargaan, filem baharu terbitan Current Pictures Sdn. Bhd. ini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila dihasilkan dalam bahasa Kantonis dan diarahkan oleh seorang pengarah Melayu.

Dengan penghasilan filem tersebut, ia secara tidak langsung menobatkan beliau sebagai Pengarah Wanita Melayu Pertama mengarahkan filem Kantonis dan pastinya memberikan keunikan dan tarikan yang tersendiri.

Filem RAIN TOWN Angkat Kisah Konflik Keluarga Arahan Tunku Mona

Tunku Mona Riza berkata, idea untuk menghasilkan Rain Town bermula apabila dia dimaklumkan oleh seorang jurugambar pada tahun 2016 mengenai ‘Rain Betting’ atau bertaruh dengan meneka waktu hujan yang pernah berlaku suatu masa dahulu di Taiping, Perak 

“Ketika itu saya sangat tertarik dengan kisah ‘Rain Betting’ kerana ia satu cerita yang unik, namun tidak bermaksud saya mahu hasilkan sebuah cerita tentang pertaruhan.

“Sebaliknya, saya wujudkan satu karakter bernama Choo yang suka bertaruh serta seorang bapa yang suka mengaturkan kehidupan anak-anak yang sudah meningkat dewasa sehingga menimbulkan konflik dalam keluarga mereka,” ujarnya.

Filem RAIN TOWN diterajui dua pelakon hebat tanah air iaitu Chew Kin Wah dan Susan Lankester serta barisan pelakon-pelakon lain seperti Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Menurut Tunku Mona Riza, tajuk RAIN TOWN dipilih memandangkan lokasi penggambaran dilakukan di Taiping yang diketahui sebagai kawasan menerima taburan hujan paling banyak di Malaysia.

Jelas beliau, jalan cerita filem tersebut juga hanyalah rekaan dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu, namun mengakui konflik yang dipaparkan memang ada berlaku dalam sesebuah keluarga.

Dalam pada itu, Tunku Mona Riza menyatakan dia berminat untuk menghasilkan sebuah filem berbahasa Kantonis kerana mahukan satu cabaran baharu buat dirinya.

“Sebagai seorang pengarah saya perlu melakukan sesuatu yang berbeza untuk diri sendiri dan saya ini seorang yang sentiasa seronok mendengar bahasa-bahasa berbeza. Sebelum ini, saya pernah mengarahkan iklan dalam bahasa berbeza seperti Mandarin, Kemboja dan Vietnam. 

“Malah, Super Telemovie pertama saya berjudul Uri ada menggunakan bahasa Iban, manakala Super Telemovie kedua saya iaitu Parit Jawa juga banyak menggunakan bahasa Jawa. Kini saya berpeluang pula menghasilkan sebuah filem berbahasa Kantonis,” ujarnya.

Beliau berkata, sebelum memulakan penggambaran filem berkenaan, segala persiapan awal juga telah dilakukan, termasuk berjumpa dengan penterjemah bahasa Cina.

Filem RAIN TOWN Angkat Kisah Konflik Keluarga Arahan Tunku Mona

Bercerita mengenai cabaran pula, beliau yang pernah dinobatkan selaku Pengarah Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-29 berkata, sepanjang pembikinan RAIN TOWN semuanya berjalan lancar kerana memiliki sebuah pasukan produksi yang mantap.

“Pada saya, cabaran yang dihadapi bukanlah sekadar dari sudut pembikinan sahaja, tetapi penerimaan penonton terhadap naskhah ini. Biarpun ia filem berbahasa Kantonis, cabaran sebenar adalah untuk menarik penonton bukan sahaja dari kaum Cina, malah kaum-kaum lain juga menonton filem ini di pawagam nanti.

“Selain itu, secara peribadi saya juga meletakkan harapan agar RAIN TOWN dapat dijadikan inspirasi kepada pengarah-pengarah lain cuba menghasilkan sebuah naskhah yang berbeza dari sudut bahasa dan budaya mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak yang memberikan sokongan sehingga filem berkenaan berjaya dihasilkan.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Komunikasi Dan Digital dan FINAS atas sokongan yang diberikan menerusi Dana Kandungan Digital untuk penerbitan RAIN TOWN.

“Begitu juga terima kasih saya ucapkan kepada Pengurus Besar The Chow Kit Hotel, Navin Singh atas tajaan baucer penginapan yang akan diberikan sebagai hadiah menerusi pertandingan kepada mereka yang menonton filem ini nanti apabila ditayangkan di pawagam.

Filem RAIN TOWN akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 FEBRUARI 2024 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Filem RAIN TOWN Angkat Kisah Konflik Keluarga Arahan Tunku Mona

Pencapaian Filem Rain Town di Peringkat Antarabangsa

1. 27th Vancouver Asian Filem Festival 2023 (Opening Film)

2. 10th Silk Road International Film Festival 2023 (Official Selection)

3. 36th Golden Rooster Film Festival 2023 (Official Selection)

4. 9th Asian World Film Festival 2023 (In Competition)

5. 54th International Film Festival Of India 2023 (Official Selection)

6. 1st Star Asia International Film Festival Los Angeles 2023 (In Competition)

7. 1st Medan Film Festival 2023 (Official Selection)

SINOPSIS FILEM RAIN TOWN

Demi harga diri dan keinginannya sendiri, Choo, seorang bapa dan ketua keluarga Choo, terus mengendalikan urusan tiga orang anaknya yang sudah dewasa, Isaac, Alex dan Ruby, sehingga mengabaikan cita-cita dan kebahagian mereka. Apabila Aileen, isteri Choo, ditimpa kemalangan, hubungan keluarga itu semakin renggang sehingga mencampakkan mereka ke dalam konflik yang menyayat hati. Sebuah kisah yang mengharukan yang meniti garis antara cita-cita orang tua dan impian anak-anaknya.

Filem RAIN TOWN Angkat Kisah Konflik Keluarga Arahan Tunku Mona

BARISAN PELAKON FILEM RAIN TOWN

Chew Kin Wah – Mr. Choo

Susan Lankester – Aileen Choo

Fabian Loo – Isaac Choo

Wilson Lee – Alex Choo

Pauline Tan – Ruby Choo

Filem RAIN TOWN Angkat Kisah Konflik Keluarga Arahan Tunku Mona

KRU PRODUKSI

Pengarah – Tunku Mona Riza Tunku Khalid

Penerbit Eksekutif – Tunku Mona Riza Tunku Khalid

Penerbit – Haris Sulong, Fazlynne Majid, Shaby Mahrom

Pengarah Fotografi – Eric Yeong

Penulis Skrip – Shahazril Hamzah (Ketua) & Zarina Omar (Penolong)

Lakon Layar – Tunku Mona Riza Tunku Khalid

Skor Muzik – Aaron Jiam

Editor – Isazaly Isa & Faizzah Errna Ahman

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tyzo & Rara Kembali Bergabung di Pentas KNKV Viral Award 2024

Once Seru Warga Indonesia Tinggal di Malaysia Undi Parti PDIP Yang Diwakilinya