in ,

Filem LU MAFIA GUA GANGSTER Bukan Komedi Biasa

Menempah tiket populariti usai dinobatkan gelaran Juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014), perjalanan tiga beradik kelahiran Kudat, Sabah yang membentuk formasi sebagai Zero diteruskan dengan langkah penuh bergaya di lapangan seni tanah air.

Terbaharu, trio yang diwakili oleh Mohd. Syaiful Doli Sharif atau lebih dikenali sebagai Syaiful, Sharif Kadir Doli Sharif (Sharif) dan Sharid Kunal Doli Sharif (Atu) memunculkan diri di layar perak menerusi filem bergenre komedi, Lu Mafia Gua Gangster (LMGG) terbitan usahama rumah produksi, Red Fires Film Production dan RJ Future Films Sdn. Bhd.

Lu Mafia Gua Gangster

[dropcap]L[/dropcap]MGG yang berdurasi 106 minit ini berkisar Amir lakonan Atu dan Rosham (Syaiful) yang bekerja di sebuah tempat pelupusan sampah di Johor. Sementara itu, Megat (Sharif) adalah penjaga tapak pelupusan itu. Menariknya, setiap daripada mereka punya impian dan angan tinggi melangit.

Mengambil contoh Amir, dia ingin bergelar seorang pelumba kereta terhandal di dunia. Manakala Rosham selalu bermimpi untuk menjadi seorang aktor hebat seperti idolanya, Datuk Rosyam Nor. Dan terakhir, Megat mengidamkan untuk menjadi orang yang kaya dan berpengaruh.

Sementara itu, King (Datuk Jalaluddin Hassan) dan Kong (Zack Taipan) merupakan dua mafia yang paling digeruni di daerah sama. King dan Kong adalah kawan rapat sejak kecil lagi dan rakan bisnes.

Pada satu pertemuan dengan pembeli berlian di sebuah restoran, King terpaksa menyorokkan kotak berlian itu selepas mendapati pihak polis turut memasuki premis sama. Selepas pasukan polis beredar, King cuba untuk mengambil semula berlian itu.

Nasib malang menyebelahi mereka. Kotak tersebut didapati hilang. Selepas menggeledah semua tempat, pekerja restoran itu memberitahu bahawa kotak itu telah dibuang ke dalam lori sampah. Tanpa berlengah, King, Kong dan konconya berusaha sedaya upaya untuk menjejaki kotak itu.

Dan tanpa disengajakan, Amir terjumpa kotak berisi berlian itu sekali gus menjadikan empunya diri termasuk rakan lain sebagai sasaran King, Kong dan konconya. Natijahnya, mereka terpaksa mencari solusi untuk konflik itu.

Kalau hendak tahu kesudahan atau pengakhiran LMGG dengan setiap daripada mereka cuba mengatasi masalah berlian dan waktu sama, cinta Amir yang tergantung, nantikan tayangan filem ini serentak di seluruh Malaysia pada 21 April ini.

Selain Atu, Syaiful, Sharif, Jalaluddin dan Zack, LMGG yang merupakan buah tangan oleh sutradara, Roy itu turut menampilkan pelakon lain antaranya ialah Shira Saad, A. Galak, Zulkifli Ismail, Along Ezyndy, Azlee Senario dan Gunser.

Tidak ketinggalan, penampilan khas dari Saiful Apek dan Syanie Hisham yang pastinya terisi ekstra komedi di bawah klasifikasi P13 untuk tatapan audiens kelak.

Untuk menyaksikan sedutan babak menarik LMGG, anda boleh ke laman YouTube; https://youtu.be/NokrfPLyxro, laman sesawang rasmi pengedar filem ini, Positive Film Sdn. Bhd.; http://positivefilm.com.my/lu-mafia-gua-gangster.html atau menaip hashtag di Instagram, lumafiaguagangster.

Sebuah majlis pratonton bersama para pelakon LMGG dan seluruh media tempatan bakal diadakan di Cathay Cineplexes E@Curve, Mutiara Damansara di sini pada 13 April ini bermula jam 7.30 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Tayangan Premiere Filem THE HUNTSMAN : WINTER’S WAR

Wak Doyok Terkejut Tercalon Kategori Pengacara TV Popular ABPBH29