in

Filem Geng Pengembaraan Bermula di TV9

Betul! Betul! Betul! …. itulah ungkapan yang menjadi fenomena dan disebut bukan sahaja di kalangan kanak-kanak, malah turut menjadi sebutan dikalangan dewasa ketika ini. Malah, apabila dengar sahaja perkataan ‘Upin & Ipin’, pastinya anda semua dapat bayangkan dua beradik kembar yang comel dengan keletahnya yang nakal tetapi menghiburkan.

Ini cukup membuktikan bahawa kartun Upin & Ipin amat diminati oleh semua lapisan masyarakat tidak mengenal usia, bangsa dan agama seiring dengan matlamat 1 Malaysia.

Upin & Ipin yang disiarkan di TV9 pada setiap hari Isnin hingga Sabtu selama 7 minit manakala Ahad selama 30 minit ini mempunyai pengikut yang diluar jangkaan sehingga suatu ketika berjaya meraih hampir 1.5 juta penonton. Walaupun disiarkan dalam durasi yang singkat, namun, impak yang diberikan kepada penonton amat berkesan.

Lebih menarik ianya bukan sahaja kartun biasa tetapi merupakan kartun yang memberi pengertian positif dan mendidik masyarakat terutamanya kanak-kanak seperti menghormati orang yang lebih tua, menghargai persahabatan, menjadi seorang yang bertanggungjawab dan banyak lagi nilai-nilai positif yang diselitkan menerusi siri harian Upin & Ipin ini.

Rentetan daripada sambutan yang begitu memberansangkan ini, Les’ Copaque Productions Sdn Bhd telah menghasilkan filem animasi 3D sepenuhnya yang pertama di Malaysia iaitu Geng: Pengembaraan Bermula.

Kini, TV9 berasa amat bertuah kerana Les’ Copaque Productions Sdn Bhd telah memberi penyiaran eksklusif  tayangan filem Geng: Pengembaraan Bermula kepada TV9 dan bakal disiarkan selama 2 jam pada Khamis ini, 10 Disember bermula jam 8.30 malam.
 
Menurut Ketua Penjenamaan Kumpulan TV9, Puan Rozaina Zainul Abidin, “TV9 berasa amat berbesar hati apabila Tuan Haji Burhanuddin menyuarakan hasrat beliau untuk memberikan hak eksklusif kepada TV9 untuk menyiarkan filem animasi 3D sepenuhnya yang pertama di Malaysia iaitu Geng: Pengembaraan Bermula yang turut menyaksikan penampilan istimewa Upin & Ipin. Ia merupakan penghargaan yang tidak ternilai buat kami. Sepanjang penyiaran siri Upin & Ipin, TV9 berjaya meraih hampir 1.5 juta penonton. Kami berharap dengan tayangan filem animasi 3D sepenuhnya pertama di Malaysia ini akan meraih lebih daripada itu. Upin & Ipin mempunyai peminatnya yang tersendiri dan merangkumi dari semua lapisan masyarakat dan umur. Jadi kami pasti filem ini dapat memberi impak yang berkesan kepada semua yang menonton.”

Sementara itu, menurut Pengarahn Urusan Les’ Copaque Productions Sdn Bhd, Tuan Haji Burhanuddin Md Radzi, “Filem Geng: Pengembaraan Bermula telah mula muncul di pawagam tempatan pada 12 Februari 2009 lalu dan mendapat sambutan yang luar biasa dari kanak-kanak hinggalah dewasa. Sepanjang tempoh tayangannya, filem ini telah meraih kutipan sebanyak RM6.3 juta sekaligus mencatatkan rekod kutipan antara yang tertinggi dalam sejarah perfileman tanah air.  Filem 3D animasi pertama Malaysia ini telah menerima beberapa anugerah di dalam festival filem seperti di Festival Filem Malaysia ke 22 untuk Anugerah Box Office dan Anugerah Khas Juri.”

“Meskipun tayangan filem Geng : Pengembaraan Bermula telah lama berlalu, namun kehangatannnya masih lagi terasa. Kini, TV9 secara eksklusifnya akan menjadi saluran pertama yang akan menayangkan filem Geng : Pengembaraan Bermula di kaca televisyen.” 

Tambah beliau lagi, “Kerjasama Les’ Copaque Production bersama TV9 bagi filem Geng sebenarnya telah bermula sejak promosi filem Geng di pawagam lagi. Watak Upin & Ipin yang sudah cukup terkenal melalui sirinya yang disiarkan di TV9 menjadikan tayangan filem Geng : Pengembaraan Bermula ini sebagai kesinambungan dari fenomena yang mereka bawa. TV9 juga secara eksklusifnya telah membawa watak Upin & Ipin sehingga menjadi salah satu ikon bagi segmen kanak-kanak di TV9.”

Oleh itu, pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan secara eksklusif filem Geng: Pengembaraan Bermula pada 10 Disember 2009 jam 8.30 malam hanya yang terbaik di TV9.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Wan Sharmila di Anugerah Skrin 2009

Filem George Of The Jungle & Spiderman di TV2