in

Fakta Yang Anda Perlu Tahu Tentang Filem DUKUN

DUKUN, sebuah filem yang dinantikan ramai kini bakal ‘menghantui’ seluruh Malaysia dan Singapura mulai 5 April ini. Filem arahan sutradara tersohor tanah air, Dain Said, dibintangi nama-nama hebat seperti Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Namron, Hasnul Rahmat, Elyana, Sofi Jikan, Allahyarham Ramli Hassan, Bront Palarae, Chew Kin Wah dan Jason Chong.

Astro Shaw sekali lagi membawakan sebuah naskhah hebat lagi bermutu tinggi istimewa untuk sajian peminat filem tempatan khususnya. Sarat dengan pelbagai mesej yang dilihat relevan dengan setiap lapisan masyarakat, DUKUN memaparkan kisah ketaksuban manusia yang begitu mendambakan kemewahan dan kecantikan, kerakusan dalam mendapatkan kuasa dan kedudukan yang tinggi serta menginginkan keremajaan abadi menerusi amalan syirik dan khurafat.

Sentiasa mempertaruhkan karya-karya yang memiliki faktor komersial dan nilai estetika yang tinggi, diapit dengan skrip yang kuat, struktur jalan penceritaan yang kukuh, penampilan pasukan di depan dan di belakang lensa kamera yang berpengalaman luas serta disokong oleh rangkaian promosi 360 darjah di semua platform, Astro Shaw menjanjikan hanya yang terbaik untuk setiap audiensnya.

Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, “DUKUN adalah sebuah naskhah hebat yang wajar ditonton semua. Kami lihat, skrip yang dizahirkan adalah cukup kuat dan berlatarkan kisah perihal yang sememangnya berlaku dalam masyarakat sejak dari dahulu lagi. Kerana ketabsuban dunia, ada di antara kita yang memilih jalan mudah dengan membelakangi agama, sehingga pada satu tahap, berlakunya pertumpahan darah.

Kami merasakan filem DUKUN adalah relevan sepanjang zaman untuk ditayangkan dan kita boleh mengambil iktibar daripadanya. Astro Shaw juga menghargai bantuan dari Lembaga Penapis Filem (LPF) di atas panduan terkini bagi tayangan filem ini ke layar perak. DUKUN boleh disaksikan di 90 pawagam bermula malam ini dan kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan dan penantian pada filem ini. Kami juga telah membuka jualan awal untuk pembelian tiket sejak 2 April lalu dan kami mendapati ia mendapat respon positif.”

“Dalam menghasilkan sebuah filem yang berkualiti, kami percaya banyak usaha yang harus dilakukan seperti mengkaji dan menyelidik untuk melahirkan jalan cerita yang menarik. Bagi filem DUKUN, kami juga menjalani fasa penyelidikan dan rujukan dari dalam dan luar negara. Jadi hasil filem ini adalah gabungan imajinasi penulis dan pengarah DUKUN, Dain Said. Saya ucapkan tahniah kepada beliau dan mereka yang terlibat dalam menjayakan karya yang sangat indah,” tambah Najwa Abu Bakar lagi.

Jelasnya lagi, persepsi yang menyatakan filem DUKUN adalah sebuah filem yang diadaptasi dari kisah benar adalah tidak benar sama sekali. “Apabila sesebuah filem dihasilkan, sudah tentu proses penyelidikan perlu dilaksanakan di setiap peringkat bagi menjadikan jalan cerita sesebuah naskah itu sarat dengan elemen-elemen yang boleh dipercayai dan dilihat ‘hidup’. Untuk filem DUKUN ini, fasa penyelidikan bukan sahaja dilakukan tentang kes-kes berprofil tinggi di Malaysia sahaja, malahan beberapa kes dari luar negara juga turut dijadikan rujukan.

Segala yang dipaparkan adalah hasil cambahan idea dan imaginasi penulis skrip dan juga pengarah filem DUKUN, Dain Said. Kami merasakan, Dain Said dan pasukan yang diterajui beliau telah berjaya melahirkan sebuah karya yang cukup hebat. Syabas diucapkan!”

Sementara itu, Pengarah Dain Said menyatakan rasa gembira kerana hasil sentuhannya bakal menemui peminat-peminat filem. “Filem DUKUN telah menjalani proses re-master digital untuk menghasilkan bunyi, warna dan visual yang terbaik dan patut dipertontonkan di layar perak. Saya berpuas hati dengan hasil akhir dan berharap karya ini akan mendapat sambutan positif penonton- penonton di luar sana.”

Filem ‘DUKUN’ banyak bermain dengan isu sejauh mana masyarakat kita mempercayai perkara- perkara Khurafat dan Syirik yang bertentangan dengan kemajuan dan pembangunan negara serta kepesatan dakwah Islamisasi. DUKUN adalah satu cerita yang dapat membuka mata dan memberi kesedaran terhadap kecelaruan dalam hidup jika amalan khurafat dan syirik diamalkan.

DUKUN mengisahkan tentang Karim (Faizal Hussein), seorang peguam yang sedang bergelut dengan kerjayanya akibat kemurungan dan gangguan emosi berikutan kehilangan orang yang tersayang iaitu isterinya, Sara (Avaa Vanja) dan anak perempuan, Nadia (Elyana). Dalam masa yang sama, Karim telah ditawarkan peluang untuk menjadi peguam kepada seorang OKT (Orang Kena Tuduh) bernama Diana Dahlan (Datin Seri Umie Aida), yang berjanji akan mencari anaknya. Diana yang merupakan seorang penyanyi kelab malam, telah dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan.

Pihak polis telah terjumpa mayat dirumahnya yang disyaki dari aktiviti ilmu hitam yang diamalkan untuk kekal cantik dan berkuasa. Diana dikatakan seorang dukun yang mempunyai tongkat sakti dari suku kaum Batak. Melalui proses perbicaraan dan penyiasatan yang dilakukan oleh ASP Talib (Namron); sisi ilmu hitam Diana terungkai satu demi satu. DUKUN merupakan sebuah kisah perihal ketaksuban manusia terhadap kekayaan, kuasa, kecantikan, keremajaan abadi dan ada darah yang tumpah dalam mengejar kesemuanya.

NOTA PRODUKSI
Barisan Pelakon
Datin Seri Umie Aida : Diana
Faizal Hussein: Karim
Nam Ron: ASP Talib
Hasnul Rahmat : Danni
Elyana : Nadia
Adlin Aman Ramlie : Dato’ Jeffri
Sofi Jikan : Fadzli
Ramli Hassan : Daud
Bront Palarae : Shah
Chew Kin Wah : Pegawai Pendakwaraya Dato’ Angus Lim
Avaa Vanja : Sara
Mislina Mustafa: Halimah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

12 Tahun Terperap, DUKUN Ditayangkan 5 April

Enam Peserta Layak Ke Bintang RTM 2018 Akhir