in , ,

Fattah Amin Mahu Hamba Jadi Penawar Tatkala Pandemik

Kembali dengan single baharu berjudul HAMBA, pelakon dan penyanyi Fattah Amin menjadikan untaian indah ciptaan Hafiz Hamidun dan Mel Ramlan itu sebagai ‘ubat’ yang boleh menjadi penawar segala rasa sedih dan kecewa yang dialami terutama akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Tidak dinafikan, wabak COVID-19 yang menular ketika ini bukan sahaja mampu melumpuhkan ekonomi tetapi turut menjejaskan emosi hingga ada yang mengambil jalan singkat dengan menamatkan riwayat hidup. Justeru, kata Fattah, sebagai hamba-Nya, adalah menjadi tugas kita untuk terus berdoa dan bersujud kepada Allah supaya segala kesukaran yang dihadapi akan segera berakhir.

“Lagu ini sebenarnya termasuk dalam tiga projek khas yang saya jalankan bersama komposer Hafiz Hamidun. Projek pertama adalah lagu Kiriman Agung dan diikuti pula dengan Sinar Selawat. Seperti yang diketahui, dua lagu itu ada kaitan dengan kelahiran cahaya mata saya, Nur Fatima Aisya. Bagaimanapun untuk lagu HAMBA ini, ia tiada kaitan dengan anak saya.

“Sebaliknya ia berkisar kepada penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya. Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan rintangan, kita jangan mudah putus asa. Sebagai hamba kita hanya mampu untuk berdoa dan Allah yang akan makbulkan permintaan kita itu. Insya-Allah akan ada jalan keluar untuk semua ini,” katanya.

Fattah Amin

Fattah menambah, kehadiran lagu ini juga adalah tepat pada masanya berdasarkan situasi yang dihadapi ketika ini.

“Saya tahu ramai yang tertekan dengan kehidupan mereka di luar sana sebab tak dapat nak keluar bekerja dan mengalami masalah kewangan. Kebetulan kita akan meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi. Berdasarkan semua ini, saya beranggapan lagu ini keluar tepat pada waktunya dan pendengar boleh kaitkan diri mereka dengan mesej yang hendak disampaikan” kata pelakon berusia 30 tahun ini.

Berkongsi proses rakaman lagu itu, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin ini memaklumkan lagu ini mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan iaitu setahun.

“Lagu ini mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. Ini berlaku kerana proses rakamannya banyak kali tertangguh disebabkan situasi pandemik yang dihadapi. Selain itu, penghasilan lagu ini juga dibuat dengan cukup teliti. Kalau saya dapati ada bahagian yang tak berapa berkenan di hati, saya akan minta dibuat penambahbaikan. Bila saya betul-betul berpuas hati dengan hasilnya, barulah saya bersedia untuk melancarkan lagu itu. Lambat pun tak mengapa asalkan hasilnya dapat memuaskan hati semua pihak,” ujarnya dalam nada teruja.

Fattah Amin-2

Tidak seperti lagu yang pernah dihasilkannya sebelum ini, untuk HAMBA, Fattah turut berkolaborasi dengan penyanyi rap, Kmy Kmo. Mengulas perkara itu, suami kepada aktres Nur Fazura Sharifuddin ini berkata usaha itu dibuat untuk memberikan kelainan terhadap buah tangan terbaharunya itu.

“Setiap kali menghasilkan lagu baharu, saya sentiasa memikirkan apakah kelainan yang boleh dilakukan. Memandangkan saya tidak pernah berkolaborasi dengan penyanyi rap sebelum ini, saya pun menyuarakan hasrat itu kepada label iaitu Universal Music Malaysia. Selepas mengadakan perbincangan, akhirnya mereka memilih Kmy Kmo untuk berduet dengan saya dalam lagu itu. Dalam lagu ini, dia menulis sendiri lirik dan juga mencipta melodi bahagian yang dinyanyikannya.”

“Bagi saya Kmy sangat berbakat dan selepas mendengar hasil kerjanya, saya terus suka kerana melodinya sedap didengar dan liriknya selari dengan jalan cerita lagu ini. Perkara itu menjadikan kombinasi kami menjadi lebih menarik,” puji Fattah.

Fattah Amin-6

Selepas tiga kali berturut-turut menghasilkan lagu berkonsepkan ketuhanan, timbul tanda tanya, apakah Fattah kini sudah beralih arah untuk bergelar penyanyi nasyid. Menafikan perkara itu, Fattah menyatakan apa yang dilakukannya itu hanyalah untuk mencabar kebolehan diri serta mahu menjadi penyanyi serba boleh.

“Sebelum ini saya memang dikenali sebagai penyanyi balada dan saya juga pernah bereksperimen dengan muzik saya menerusi lagu Bebas. Bila saya menyanyikan lagu bergenre ketuhanan, bukanlah bermakna saya nak jadi penyanyi nasyid. Sebaliknya saya hanya mahu mempelbagaikan genre muzik saya supaya orang tak bosan dan nampak statik,” ungkapnya.

Sementara itu, Kmy ketika mengulas pembabitannya dalam lagu itu berkata ia berasa teruja kerana selain dapat bekerjasama dengan Fattah, dia juga diberi peluang untuk menghasilkan lirik lagu itu.

“Ketika menulis lirik lagu ini, kebetulan saya baru sahaja lepas menghasilkan lirik Neraca dan Zuhud. Jadi mood ketuhanan itu masih ada dalam diri dan secara tidak langsung, memudahkan saya untuk menyiapkan bahagian lirik yang akan saya nyanyikan.”

“Bersesuaian dengan jalan cerita lagu ini, Kmy menulis lirik berdasarkan pemerhatian terhadap situasi yang berlaku ketika ini. Kmy seorang yang suka bermain dengan eksperimen sosial. Dalam dunia ini, kita semua adalah hamba. Kita juga boleh merasakan kegembiraan dan keperitan yang sama sebenarnya,” kata Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim.

HAMBA boleh distrim di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 23 JULAI 2021. Manakala, lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube pada hari yang sama jam 9 MALAM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Robert Downey Trending Iron Man Marvel | 23

Astro Lancar Ultra Plug & Play Box, Tanpa Piring Satelit, Tiada Lagi Gangguan Siaran Ketika Hujan

Trending Huawei | 24

Maxis Perkenal Hotlink Postpaid & Fibre, Kelajuan Internet Pantas Sehingga 800Mbps