in , , ,

Elizabeth Tan Nyanyi Lagu Berhantu HIDUP SEMULA OST Filem MISTERI DILAILA

Penyanyi Elizabeth Tan mula menghiasi kaca TV sejak awal Februari lalu menerusi drama lakonannya ‘Senafas Rindu’ yang sedang ditayangkan di slot Mega Drama Astro Ria.

Kini penyanyi yang terjun dalam bidang lakonan ini, muncul pula di layar perak apabila filem ‘Misteri Dilaila’ yang diterajuinya bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini. Lebih menarik lagi apabila lagu nyanyiannya “Hidup Semula” turut diangkat menjadi runut bunyi filem ini dan dilancarkan serentak pada tarikh tayangan filem ini.

Setelah muncul dengan lagu berentak R&B menerusi single ‘Police Entry’ dan ‘Semua Sudah’ pada tahun lalu, kali ini lagu berentak balada pula menjadi taruhan penyanyi yang mesra disapa Lizzy ini. “Hidup Semula” merupakan hasil nukilan komposer tersohor Audi Mok bersama Shazee Ishak yang bertindak sebagai penulis lirik.

Hidup Semula (OST Misteri Dilaila)

OST FILEM ‘MISTERI DILAILA’ – “HIDUP SEMULA” NYANYIAN ELIZABETH TAN BERHANTU

Bertepatan dengan  genre misteri thriller yang dibawakan oleh filem ‘Misteri Dilaila’, runut bunyi filem ini turut disuntik elemen seram. Sebagaimana lazimnya piano digunakan dalam runut bunyi filem seram, Audi Mok turut mengambil konsep yang sama apabila petikan piano diberikan fokus dalam susunan muzik “Hidup Semula”.

Penggunaan bunyi ketukan xilofon dan kesan khas bunyi herot-benyot menambahkan lagi keseraman lagu ini. Apatah lagi jika dihayati, bait-bait lirik yang dilantunkan Lizzy itu, sebenarnya bercerita tentang kesempatan kedua untuk perbetulkan kesilapan jika diberi peluang untuk bangkit dari kematian dan hidup semula.

Penghayatan berbeza Lizzy dalam nyanyiannya turut menambah jiwa kepada lagu ini menjadikan “Hidup Semula” sebuah lagu yang berhantu dan mampu menimbulkan rasa seram dan hiba kepada pendengar.

‘Misteri Dilaila’ merupakan sebuah filem terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw. Filem arahan pengarah muda Syafiq Yusof ini menampilkan Lizzy sendiri sebagai salah satu daripada teraju utamanya. Filem yang turut dibintangi pelakon tersohor tanahair seperti Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Rosyam Noor dan Namron ini, boleh mula ditonton di pawagam seluruh negara bermula 21 Februari 2019.

Hidup Semula” diterbitkan oleh Warner Music Malaysia dan boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 21 Februari 2019.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ROSSA

Rossa Bakal Bergabung Dengan Grup K-Pop Super Junior

Uchop Ahmad Harap Tuah ABADI KASIHKU