in , ,

Drama Mini SAGA Lakonan Aaron Aziz Ketengah Sukan Tempur MMA

Drama mini bersiri SAGA lakonan Aaron Aziz yang memaporkan sebuah kisah konflik tentang pengorbanan, pergolakan, dendam dan kekeluargaan ditayangkan di Astro Ria mulai 11 Ogos 2021.

Drama mini bersiri ‘SAGA’ ialah sebuah naskhah asal bertemakan pertarungan seni bela diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) terbitan syarikat produksi MediaCorp TV Singapore Pte. Ltd. yang berpangkalan di Singapura. 

Plot penceritaan drama ini berkisarkan kegiatan mengatur perlawanan dan aktiviti pertaruhan haram yang melibatkan sukan tempur  MMA. Meskipun sarat dengan aksi lasak, kisah ini turut menggabungkan elemen drama kekeluargaan dan pengorbanan dalam naratif penceritaan mengusik jiwa yang penuh mendebarkan. 

Konsep asal dan skrip drama mini empat episod ini diilhamkan oleh Amanah Mustafi serta turut mendapat sentuhan Faisal Ishak selaku pengarah. Drama ‘SAGA’ diterajui oleh barisan bintang popular kelahiran Kota Singa seperti Dato’ Aaron Aziz, Nick Mikhail, Jeff Catz, Nadiah M. Din, Syarif, Shahrin Azhar, Imam Shah dan Hamidah Salim. Lebih istimewa lagi, drama ini turut diserikan dengan penampilan khas oleh Allahyarham J A Halim.

Drama Mini SAGA Lakonan Aaron Aziz Ketengah Sukan Tempur MMA

‘SAGA’ bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 11  Ogos 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusiaplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro

“Selain kisah cinta dan komedi, genre aksi lasak juga sering meraih perhatian serta menjadi pilihan para penonton. Walaupun kami jarang mengetengahkan seni bela diri sebagai elemen utama penceritaan menerusi drama-drama yang pernah disajikan sebelum ini, namun kini tiba masanya kami lari daripada kebiasaan dan mengambil langkah berani apabila sepenuhnya mengangkat sukan tempur campuran MMA sebagai nadi penting dalam drama ‘SAGA’.

Drama ‘SAGA’ merupakan sebuah naskhah yang sebenarnya sarat dengan elemen emosi sehingga menjadikan jalan ceritanya kelihatan ‘berat’. Namun, ia bukanlah tertumpu kepada elemen pertarungan lasak dan pergolakan semata-mata, tetapi turut mengandungi mesej dan nilai positif sebagai pengajaran bersama. Saya percaya penceritaan kisah kali ini pastinya bakal membawa kelainan yang menyeronokkan kerana kekuatan jalan ceritanya yang luar biasa dan menghiburkan.

Syabas saya ucapkan kepada Faisal Ishak selaku pengarah kerana berjaya menggarap drama lasak dan berat seperti ini untuk kelihatan ‘ringan’ supaya lebih mudah diterima. Semoga drama ini diterima baik sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri apabila ditayangkan di Malaysia sekaligus mengulangi kejayaannya di Singapura. Selamat menonton!”.

Faisal Ishak, Pengarah ‘SAGA’ berkata,

“Sebagai pengarah, saya amat mementingkan keserasian dalam lakonan supaya hasil akhir naskhah tersebut mencapai standard yang saya mahukan. Proses pembikinan drama ‘SAGA’ juga menjadi lebih lancar dan mudah kerana wujudnya ‘chemistry’ yang amat ketara di antara barisan pelakon tidak kira watak utama ataupun pembantu. 

Manakala bagi saya dan Aaron pula seperti jumpa sahabat yang sudah lama tidak berkesempatan untuk berkarya bersama. Setelah sekian lama kami berdua di perantauan, rasa macam balik kampung beraya bila dapat bergandingan untuk projek ini. 

Mengambil genre sukan tempur MMA untuk diketengahkan dalam premis sesebuah drama bukan mudah kerana penceritaan tersebut perlu digarap dengan berhati-hati agar dapat mengangkat semangat kesukanan dan disiplin seni bela diri, bukannya keganasan. Itulah cabaran terbesar yang harus saya pikul dalam menghasilkan kisah ‘SAGA’. Secara peribadi, saya cenderung menghasilkan genre aksi sebegini kerana dapat memberikan kepuasan mengarah dan pengalaman yang cukup manis, terutamanya jika dapat bekerjasama dengan kenalan lama.”

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SAGA’

Drama ‘SAGA’ musim pertama diterbitkan pada sekitar tahun 2015 dan telah disiarkan di negara asal, Singapura. Pada tahun 2020, kesinambungan kisah tersebut dibawakan kembali dengan penceritaan serba baharu menerusi drama ‘SAGA 2.0’. 

Ini adalah kali pertama drama ‘SAGA’ ditayangkan di platform Astro. Manakala drama ‘SAGA 2.0’ pula bakal ditayangkan sejurus selepas tamat musim pertama untuk mengisi slot yang sama. Butiran terperinci mengenai musim  kedua akan diumumkan kemudian.

Keseluruhan drama ‘SAGA’ musim pertama telah mengambil masa dua bulan untuk diselesaikan. Manakala lokasi penggambaran pula telah dijalankan di sekitar Singapura. Sepanjang penggambaran dijalankan, pihak produksi turut memastikan anggota perubatan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di setiap set lokasi untuk tujuan keselamatan. 

Bagi mencantikkan lagi visual sewaktu pembikinan drama tersebut, sebuah gelanggang arena perlawanan MMA turut dibina khas di studio MediaCorp. Ini bagi memastikan proses penggambaran adalah terkawal sepanjang masa kerana terdapat babak yang turut membawa masuk perkhidmatan atlet MMA profesional untuk babak aksi lasak. Bagi peminat sukan tempur seni bela campuran MMA, terdapat banyak perkara yang dapat dipelajari menerusi drama ini khususnya tentang teknik dan pergerakan yang betul.

Lagu runut bunyi drama ‘SAGA’ berjudul ‘Jiwa Juara’ nyanyian Iskandar Ismail turut diangkat menerusi Kategori Lagu Terbaik dalam Pesta Perdana 2017 anjuran Mediacorp Suria. Lagu tersebut merupakan ciptaan Reyza Hamizan dan lirik yang ditulis sendiri oleh beliau.

PECAHAN WATAK DRAMA ‘SAGA’

Aaron Aziz sebagai Andy

Nick Mikhail sebagai Din Cobra

Jeff Catz sebagai Ryan

Nadiah M.Din sebagai Jun

Syarif sebagai Rudy

Shahrin Azhar sebagai Dino

Imam Shah sebagai Zack

Hamidah Salim sebagai Mak Leha

Allahyarham J A Halim sebagai Bapa Andy 

Drama Mini SAGA Lakonan Aaron Aziz Ketengah Sukan Tempur MMA

SINOPSIS DRAMA ‘SAGA’

Andy baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman bagi jenayah yang tidak sengaja dilakukan. Sewaktu ketiadaan Andy, adiknya Rudy yang masih belajar mengambil alih menjaga ibunya yang sudah uzur. Rudy membenci abangnya kerana Andy membawa aib pada keluarga. Biarpun masa depannya kelam, Andy gembira menghabiskan masa di gelanggang tinju. Ia memberinya peluang melepaskan kekecewaan hidupnya. 

Sementara itu, Din Cobra pula berusaha menjadi juara dalam pertarungan MMA. Pegawai promosi, Ryan gembira dengan perlawanan yang Din Cobra tunjukkan kerana ia memberikannya keuntungan besar. Ryan menjadikan MMA sebagai usaha niaga di mana dia mengatur pertaruhan dan perlawanan. Namun, wang lumayan yang diperolehi lenyap dalam sekelip mata di kasino.

Selepas berbulan lamanya, Andy masih gagal memperolehi sebarang pekerjaan. Dengan bantuan rakannya, Andy mendapat pekerjaan sebagai ‘bouncer’ di kelab malam. Pada satu malam, dia dapati Jun, pelayan kelab di tempat dia bekerja telah dikejar oleh sekumpulan pemuda. Andy telah menyelamatkan Jun daripada kejadian tersebut. Sejak itu, hubungan mereka mula rapat.  

Drama Mini SAGA Lakonan Aaron Aziz Ketengah Sukan Tempur MMA

SINOPSIS EPISOD

Episod 1

Andy (30an) baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman bagi jenayah yang tidak sengaja dilakukan. Sewaktu ketiadaannya, Rudy (20an) yang sedang belajar di politeknik, membela ibunya, Mak Masni (60an) yang uzur. Rudy membenci abangnya kerana Andy membawa aib pada keluarga. Biarpun masa depannya kelam, Andy gembira menghabiskan masa di gelanggang tinju. Ia memberinya peluang melepaskan kekecewaan hidupnya. 

Din Cobra (30an) berusaha menjadi juara dalam perlawanan Mixed Martial Arts. Pegawai promosi, Ryan (30an) gembira dengan perlawanan yang Din Cobra tunjukkan kerana ia memberikannya keuntungan besar. Ryan menjadikan MMA sebagai usaha niaga di mana dia mengatur pertaruhan dan perlawanan. Namun, wang lumayan yang diperolehi lenyap dalam sekelip mata di kasino.

Selepas berbulan lamanya, Andy masih gagal memperolehi sebarang pekerjaan. Sementara Rudy rajin bekerja untuk menyara keluarganya. Malangnya, Rudy selalu dibuli di tempat kerja. Andy tahu akan masalah Rudy bila dia terdengar perbualan adiknya di telefon. Tanpa diketahui Rudy, Andy menyerang si pembuli sebagai amaran agar adiknya tidak diganggu lagi.

Dengan bantuan rakannya, Andy mendapat pekerjaan sebagai ‘bouncer’ di kelab malam. Satu malam, dia dapati Jun, pelayan kelab dikejar oleh sekumpulan pemuda. Dengan cekap, Andy berjaya mengalahkan pemuda-pemuda itu. Sejak peristiwa itu, Jun hidup dalam ketakutan. Andy cuba menjaga keselamatan Jun dan ini merapatkan hubungan mereka berdua. 

Episod 2

Satu hari Andy berjaya menumpaskan Farid yang cuba mengganggu pengurus Din Cobra. Ketangkasan Andy melawan Farid disaksikan oleh Din Cobra yang kemudian mengajak Andy agar bekerja dengannya. Sejak dia berdamping dengan Din Cobra, Andy menaruh minat pada MMA. Dalam pada itu, Rudy tahu akan perbuatan abangnya menyerang si pembuli. Barulah Rudy sedar betapa abangnya sayangkan dirinya. 

Sementara itu, Andy dan Jun semakin rapat. Jun sedar yang Andy terpikat padanya tetapi Jun tidak ada hati kerana dia sudah berkahwin. Suaminya berada dalam jel sekarang. 

Perlawanan MMA berterusan. Andy berharap dia akan menang kerana dia perlukan wang untuk rawatan ibunya. Malangnya, dia kalah dan cedera. Mak Masni mahu Rudy merawat abangnya itu. Sejak itu, hubungan Rudy dengan abangnya mulai  pulih.

Sementara itu, Jun dapati suaminya, Amirul, pernah cuba ‘menjualnya’ dulu. Jun kecewa dan mengambil keputusan untuk bercerai. Sejak itu, Jun menghabiskan banyak masa dengan Andy hingga dia jatuh cinta. 

Dengan berlalunya masa, wang yang Ryan dapat dari pertaruhan haram itu berkurangan. Lalu Ryan merancang untuk mengatur perlawanan agar Din Cobra kalah. Rancangan ini akan memberikannya wang lumayan dari pertaruhan haram itu. Tapi Din Cobra tidak setuju. Ryan menjadi amat marah dan rancang untuk menghancurkan masa depan Din Cobra. 

Beberapa minggu kemudian, Din Cobra akan menentang Chanarong, pelawan dari Thailand. Ryan rancang untuk membuat Din Cobra lumpuh sewaktu perlawanan. 

Episod 3

Andy kecewa pada nasib yang menimpa Din Cobra yang kemudian menyuruh Andy meneruskan perjuangannya.Setiap hari, Andy berlatih bagi meningkatkan kemahirannya dalam MMA. Andy menang dalam perlawanan pertama dan seterusnya. Din Cobra berharap Andy akan menjadi juara kelak. 

Kesihatan Mak Masni menjadi genting. Dia sering mengalami sesak nafas dan sakit dada. Doktor menasihatinya untuk menjalani pembedahan tetapi Mak Masni menolak. Dia lebih senang menemui mautnya dari berhutang. Kededua Andy dan Rudy terganggu dengan sikap negatif ibunya. 

Sementara itu, Andy dapat tahu yang Jun sudah berumahtangga. Dia berasa tertipu dan hal ini mengganggu fikirannya dan menyebabkan dia hilang tumpuan bila berlatih. Rudy bimbang akan keadaan abangnya. Lantas Rudy menemui Jun yang kemudian kabarkan yang dia sudah bercerai dari suaminya. 

Perlawanan MMA terus berjalan. Satu hari Danial (40an) menemui Ryan, menawarkan wang lumayan kalau Ryan setuju menentukan keputusan perlawanan. Danial mahu pelawannya, Man Rimau menang bila menentang Andy nanti. Ryan cuba pengaruh Andy kerana sedar dia perlukan wang untuk rawatan ibunya. 

Ryan tersentak bila Andy menolak keras rancangannya untuk menentukan pertandingan. Lalu Ryan bercadang menggunakan Jun untuk mencapai hasratnya. Ryan mengerahkan orangnya untuk menculik Jun. Rudy bersama dengan Jun sewaktu penculikan itu berlaku.

Episod 4

Jun and Rudy disembunyikan di sebuah tempat sepi. Namun Andy tidak sedar apa yang terjadi. Dia hanya tahu yang Jun menghilangkan diri. Dalam pada itu, Ryan tunjuk rasa kurang senang terhadap Andy. 

Sementara itu, kesihatan mak Masni semakin membimbangkan. Anak-anaknya menghantar dia ke hospital tetapi dia menolak sebarang rawatan. 

Danial marah terhadap Ryan kerana tidak berjaya memujuk Andy agar setuju dengan rancangan mereka. Sebenarnya, Danial takut pelawannya, Man Rimau kalah di tangan Andy. Danial sedar yang Andy semakin gagah dan berkemahiran dari hari ke sehari. Akhirnya, Ryan terbetik idea yang boleh memenuhi hasrat Danial dan Ryan. Ryan berbisik ke telinga Danial. 

Andy bersungguh-sungguh berlatih kerana mahukan reputasi itu. Akhirnya dia berjaya menewaskan Man Rimau. Atas kemenangan itu, Andy membuat permintaan untuk menentang Chanarong sebagai cara untuk membalas dendam.  Sementara itu, Jun dan Rudy dapat melepaskan diri dari penangkapan Ryan. 

Hari perlawanan di antara Andy dan Chanarong akhirnya menjelang. Jauh di lubuk hatinya, Andy gerun bila teringat perbuatan Chanarong pada Din Cobra. Sewaktu berlawan, Andy hilang tumpuan hingga membolehkan Chanarong menumbuk Andy berkali-kali.  Mujur loceng berbunyi, menandakan masa pusingan tamat.  

Kehadiran Din Cobra menonton perlawanan itu meningkatkan semangat Andy. Namun Andy lebih gembira bila Jun datang menyaksikan perlawanannya. Andy akhirnya berjaya menewaskan Chanarong. Andy amat gembira atas kemenangan itu. Namun Jun merancang untuk memutuskan hubungannya dengan Andy. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Alif Semai Semangat Patriotik Cintakan Negara Dalam Lagu NEGARAKU MALAYSIA

“Kongsi Dekat Mana Saya Boleh Beli Tudung Labuh,” – Izara Aishah Hargai Doa Peminat