in , ,

Drama Air Mata Elly Mazlein dan Almy Nadia Dalam Ranjau Berduri

DRAMA AIR MATA ELLY MAZLEIN DAN ALMY NADIA DALAM RANJAU BERDURI DI TV2

Gandingan Elly Mazlein dan Almy Nadia dalam sebuah drama air mata pastinya meninggalkan impak yang berkesan apatahlagi kedua-duanya selalu membawakan watak wanita teraniaya dan lemah lembut. Begitu pun menerusi drama disiarkan RTM bertajuk Ranjau Berduri pada 24 Januari 2010 (Ahad), jam 9.30 malam di TV2, kedua-duanya yang digandingkan sebagai pasangan adik-beradik bukan sahaja berdepan situasi menyedihkan sebaliknya cuba menghidupkan watak wanita yang tabah dengan dugaan hidup mereka.

Bakal mengisi slot Sinema Ahad,  drama turut mengetengahkan lakonan berkesan Fizz Fairuz, Rosnah Johari, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Ruminah Sidek dan Tunku Tiara Yasmin Sofia ini mengambil latar kisah watak Zubaidah (Ell Mazlein) menjadi tulang belakang keluarga, mencari rezeki bagi menyara adik dan neneknya setelah ditinggalkan ayah dan ibunya. Pelbagai onak duri terpaksa ditempuhi oleh Zubaidah demi mencari kebahagiaan.

Zubaidah dan Aliah (Almy Nadia) ditinggalkan ayah yang telah bekahwin lain setelah kematian ibu mereka. Kehidupan penuh ranjau memaksa Zubaidah berhenti sekolah dan mengambil alih tugas neneknya mencari sesuap nasi bagi kehidupan dia adik beradik yang menumpang di rumah pusaka tinggalan datuknya. Tugas nenek menoreh getah diambil alih oleh Zubaidah yang turun seawal pagi selepas menyediakan sarapan buat nenek dan adiknya.

Malang tidak berbau, dia cuba dicabul oleh pemuda kampung hingga menyebabkan kematian yang tidak disengajakan. Pulang ke rumah, neneknya pula menyambut panggilan Ilahi. Sedang dalam keadaan kesedihan, Zubaidah didatangi polis untuk dibawa ke muka pengadilan. Zubaidah diarah menjalani hukuman berada di pusat pemulihan di atas kesalahannya.

Mudah menyesuaikan diri, dia disenangi oleh kebanyakan penghuni dan warden. Dia mengambil peluang menyambung pelajaran yang tertinggal dan belajar mengaji Al-Quran sepanjang dia berada di pusat tersebut. Disebabkan dia berkelakuan baik, dia dilepaskan lebih awal dari tempoh sebenar dan berjaya menjawat jawatan sebagai setiausaha di sebuah syarikat milik Tuan Iskandar.

Kebetulan anak Tuan Iskandar yang baru balik dari London terpesona dengan tingkah-laku Zubaidah yang sopan dan lemah-lembut, tidak seperti kenalan-kenalan perempuannya yang seksi dan ’terlebih peramah’. Johan berubah dan menyebabkan neneknya juga jatuh suka pada Zubaidah bila Johan membawanya pulang untuk diperkenalkan pada orang tuanya.

Panas tidak sampai ke petang, musuh lama Zubaidah datang mengacau kehidupannya dan mengugut untuk memecahkan rahsia Zubaidah. Bengang dengan ugutan Roslan, Zubaidah melaporkan pada pihak polis dan Roslan ditangkap. Dendam membawa Roslan berjumpa dengan Puan Suhana dan memberitahu perihak sebenar latar belakang Zubaidah. Puan Suhana tidak mahu Zubaidah terus rapat dengan Johan dan cuba memisahkan mereka.

Lalu apakah kesudahan bagi hubungan yang terlarang dek kehendak keluarga dan keadaan ini? Untuk berkongsi kisah air mata dan ketabahan wanita yang penuh pengajaran ini, jangan ketinggalan menonton Ranjau Berduri pada 24 Januari 2010 (Ahad), jam 9.30 malam di TV2.

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Aksi Pertarungan Ekin Cheng Dalam Heavenly Mission

Sekitar Parti Ulangtahun Ke-3 Budiey.com: Part 1