in

Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Soyuz TMA10 Selamat Tiba Di Bumi

Pastinya ada di antara korang semua yang menitis air mata mendengar ucapan daripada ayah dan ibu angkasawan negara pertama,  Dr Sheikh Muszaphar Shukor. Terharu, bangga dan rasa gembira melihat anak mereka yang kini menjadi hero negara selamat tiba dan menjejakkan kaki di bumi.

Sensasi Selebriti mengucapkan tahniah atas kejayaan ini. Satu kejayaan anak bangsa Malaysia yang boleh dijadikan contoh oleh generasi kini. Segala kejayaan bisa menjadi milik anda sekiranya ada usaha gigih, sifat ingin maju, memperbaiki diri untuk menjadi insan terbaik dan serba boleh. Menjadi antara angkasawan paling kacak di hantar ke angkasa, Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang petah berbicara, manis wajah dengan senyuman dan genius berkaliber orangnya, kini menjadi sanjungan rakyat Malaysia. Syabas!

Dalam pada itu, saya kecewa dan naik marah dengan kenyataan sebuah akhbar Australia yang menyifatkan Malaysia bukannya”boleh” tetapi “bodoh” kerana membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya di angkasa lepas!

Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman dalam tulisannya menyifatkan para pemimpin Malaysia sering berbangga dengan pencapaiannya tetapi apabila ditanya kepada orang luar Malaysia, di manakah Malaysia? Mereka tidak akan tahu pun negara kecil itu.

Apa pendapat anda tentang kenyataan bodoh Akhbar Australia ini. Mengapa kenyataaan ini dikeluarkan? Adakah kerana cemburu atau apa?

Suka saya memetik berita yang dikeluarkan oleh Bernama:

Ia merupakan suasana penuh emosi buat keluarga Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, apabila mereka ditemukan dengan angkasawan pertama negara itu semalam, selepas beliau kembali ke bumi setelah menamatkan misi 11 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menjalankan pelbagai penyelidikan sains.

Ibu bapanya Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad, serta abang sulungnya Sheikh Ahmad, kelihatan langsung tidak menghiraukan suasana dingin pengkalan udara Chakalovsky di sini yang terpaksa ditempuhi mereka selama hampir sejam semasa menunggu ketibaan kapal terbang yang membawa angkasawan negara itu mendarat pada pukul 10.36 malam waktu tempatan (2.36 pagi waktu Malaysia).

Dengan linangan air mata, Zuraidah tersenyum gembira sebaik sahaja melihat kelibat anaknya yang berumur 35 tahun itu turun dari kapal terbang sambil melambaikan tangan kepada orang ramai. Turut sama dalam kumpulan orang ramai yang menyambut kehadiran mereka ialah kalangan anggota keluarga Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov, dua krew kapsul Rusia itu yang mendarat kira-kira 600km tersasar dari kawasan yang ditetapkan ekoran masalah teknikal.

Dr Sheikh Muszaphar yang nampak masih belum pulih sepenuhnya dari keadaan mikrograviti di angkasa, terpaksa dibantu oleh Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, semasa beliau turun dari kapal terbang itu. Dalam reaksi spontan, kumpulan orang ramai yang menyambut kepulangan mereka bertepuk sorak sambil melambaikan tangan kepada tiga angkasawan itu yang jelas nampak letih ekoran perjalanan jauh, di samping terpaksa mengharungi 10 minit pengalaman perit yang perlu ditempuhi semasa kapsul yang membawa mereka pulang, Soyuz TMA10 itu, memasuki atmosfera bumi.

Suasana ceria dan gembira terpancar daalam pertemuan itu sebaik sahaja angkasawan pertama negara berjabat tangan dan memeluk orang ramai yang menantinya, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, serta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Zuraidah kemudiannya terus memeluk erat Dr Sheikh Muszaphar yang benar-benar dirindui selepas beberapa bulan tidak ditemuinya sendiri selepas anaknya itu kembali ke Rusia untuk latihan selepas berada Malaysia untuk tempoh yang singkat pada bulan Jun lepas.

“Saya benar-benar rindukan dia, lama sudah saya tidak peluk dia, sejak Jun lepas apabila dia kembali ke Rusia untuk meneruskan latihan. Saya tidak sabar lagi hendak bawa dia kembali ke rumah untuk adakan doa selamat,” katanya.

Ketiga-tiga angkasawan itu kemudiannya dibawa menaiki bas selama 30 minit untuk ke Gagarin Cosmonaut Training Centre di Star City di sini, di mana mereka diraikan dengan sambutan tradisi Rusia, dengan kumpulan muzik mendendangkan irama yang cukup hingar.

Mereka kemudiannya diberikan sekeping roti bagi sebagai lambang kesejahteraan dan keselamatan sebelum dibawa ke pusat pemulihan di mana hanya anggota keluarga dan delegasi peringkat menteri Malaysia dibenarkan memasukinya, untuk taklimat ringkas dengan angkasawan itu, yang jelas memerlukan banyak rehat. Di Star City, Dr Sheikh Muszaphar dan dua rakan angkasawannya dari Rusia itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Dr Sheikh Muszaphar mungkin memerlukan masa seminggu untuk pulih sepenuhnya daripada keadaan mikrograviti, tidak seperti dua lagi cosmonaut yang tinggal lama di ISS. Ketika ini kesihatan angkasawan Malaysia berada dalam keadaan baik,” kata Dr Zulkeffeli.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya Najib berkata Dr Sheikh Muszaphar sudah tidak sabar hendak berkongsi pengalamannya di angkasa dengan orang ramai.

“Dia dalam keadaan baik dan sihat, dengan semangatnya cukup tinggi walaupun jelas nampak keletihan,” katanya.

Beliau berkata latihan keras yang dijalani angkasawan negara itu memberikan beliau banyak tenaga, disamping keyakinan untuk mengatasi sebarang masalah, termasuk semasa melalui pengalaman perit bagaikan melalui satu kemalangan, semasa memasuki ruang atmosfera bumi.

“Ia bukan perkara yang asing bagi sesebuah pesawat angkasa berada dalam keadaan ballistic mode. Ia pernah berlaku dalam misi angkasa Rusia yang lain sebelum ini, dan disebabkan latihan yang dijalaninya, Dr Sheikh Muszaphar boleh mengawal diri daripada tekanan yang dialaminya,” katanya.

Beliau berkata Agensi Angkasa Rusia, Roscosmos, akan membekalkan maklum balas berhubung masalah yang dialami sebaik sahaja siasatan disiapkan.

“Apa yang penting ialah angkasawan Malaysia kembali dengan selamat dan beliau berjaya menyempurnakan tanggungjawabnya, yang menjadikan rakyat Malaysia cukup berbangga dengannya.

Saya harap pengalamannya akan dapat memberi inspirasi kepada semua pihak, dalam menempuh sebarang cabaran dan menjadikan impian satu kenyataan,” katanya.

Dr Zulkeffeli berkata kapsul angkasa itu berada dalam berputar semasa turun ke bumi selepas ia menghadapi masalah. Beliau berkata krew kapsul itu sedar tentang masalah yang dialami sebelum ia memasuki atmosfera bumi, memandangkan mereka seharusnya berupaya mengawal pergerakan seterusnya kapsul itu.

“Namun selepas payung terjun terbuka untuk tempoh kira-kira tiga minit, kapsul itu berjaya mendarat dengan impak yang minima,” katanya. Merujuk kepada spesimen eksperiman dalam kapsul itu, Dr Zulkeffeli berkata beliau ada mengambil enam kit spesimen sebelum menyerahkannya kepada saintis Malaysia yang sudah bersiap sedia di Qostanay, Kazakhstan. BERNAMA

[tags]Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, gambar Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, foto Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, nasa space shuttle photos, gambar famili Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, gambar chef ismail, tunang Dr Sheikh Muszaphar, astronaut grissom, misi angkasawan, ujikaji eksperimen, Chakalovsky, video youtube Live Telecast Interview with Dr Sheikh Muszaphar, Fyodor Yurchikhin, Oleg Kotov, 30 Days Of Night review, Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, Soyuz TMA10, gambar Soyuz TMA10, Gagarin Cosmonaut Training Centre, mikrograviti, gambar Dr. Faiz, fauziah gous, Shoot ‘Em Up, 1957: Hati Malaya, online tv astronout nasa, Trick ‘R Treat, malaysian astronout, costume astronout, t-shirt percuma angkasawan[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Advertlets Ads, Nuffnang Ads, Google Adsense Prevent Click-Fraud

Radio Capital FM88.9 Mahu Lawan Radio Hot FM dan Radio Era?