in ,

Dokumentari ADAT PERKAHWINAN BORNEO

Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak seluruh rakyat Malaysia menikmati kepelbagaian budaya dan etnik melibatkan penduduk di Sabah dan Sarawak. Mereka dapat dibezakan dari segi kawasan tempat tinggal, ekonomi, sosial dan budaya.

Realitinya di Sabah, antara suku kaum yang terbesar ialah Kadazan, Bajau, Murut, Suluk dan Orang Brunei. Begitu juga di Sarawak didiami oleh pelbagai suku kaum yang setiap satunya mempunyai ciri-ciri tersendiri. Antara suku kaum yang terkenal ialah Melayu, Iban, Bidayuh, Penan dan Kelabit.

Justeru memberi pendedahan kepada orang ramai tentang adat perkahwinan dianggap unik dan tersendiri, RTM tampil dengan dokumentari 13 episod, “Adat Perkahwinan Borneo”terbitan Langkah Karya Production bertemakan adat-adat perkahwinan di Sabah dan Sarawak.

Dokumentari ADAT PERKAHWINAN BORNEO di TV1 

Menggunakan suara latar Suaran Shah, kenali adat perkahwinan Etnik Iranum yang tinggal di pesisir pantai khasnya di Kota Belud dan majoriti beragama Islam. Adat perkahwinan bagi Iranum bermula dengan memilih calon menantu oleh ibu pihak lelaki. Bagi mereka terdapat 5 tingkat adat perkahwinan mengikut pangkat keturunan masing-masing yang bakal menentukan jumlah hantaran dan nilai ‘surongan’ atau pemberian binatang ternakan. Pada hari perkahwinan, pengantin lelaki akan menaiki ‘usonan’ untuk ke rumah pengantin perempuan.

Seterusnya terdapat empat peringkat adat dalam perkahwinan etnik Suluk. Budaya memilih calon hanya akan ditentukan oleh ibu bapa sahaja. Bakal pengantin perempuan dijemput ke rumah lelaki bagi memastikan bakal menantunya itu tahu membuat kerja rumah. Pengantin lelaki diusung ke rumah pengantin perempuan kerana pengantin tidak boleh memijak tanah bagi memastikan jodoh tersebut panjang. Keunikan lain tangan pengantin lelaki yang berjabat tangan dengan Tok Kadi akan ditutup simbolik menutup kelemahan suami dalam berumah tangga.

Adat perkahwinan bagi etnik Bidayuh berikutnya berkongsi acara merisik iaitu pihak lelaki ke rumah pihak perempuan secara mengejut pada lewat malam. Ibu si gadis bertanyakan anak gadisnya sebelum keputusan dibuat. Majlis pertunangan pula biasanya diketuai oleh Ketua Kampung atau Ketua Kaum. Gadis disarungkan cincin diikuti dengan pemberian duit dan barang hantaran. Tembakan ke udara akan dilepaskan pada hari perkahwinan. Setelah kedua-dua pengantin duduk di pelamin, ketua majlis akan melakukan upacara menyembelih ayam. 

Sementara itu perkahwinan etnik Dusun Labuk dimulakan dengan adat merisik dan pertunangan seminggu kemudian. Pada hari perkahwinan, pengantin berpakaian tradisi lengkap serta berparang. Pengantin perempuan akan menunggu di pelamin yang diletakkan di dalam kelambu yang dipanggil ‘tabil’. Berbeza dengan etnik Dusun Suang Lotud. Mereka menggunakan mimpi untuk membuat keputusan.

Persetujuan akan berlaku jika pihak perempuan mendapat mimpi yang positif, ini diikuti dengan “monunui” ataupun pertunangan. Pada hari perkahwinan atau “papiatod”, pengantin lelaki diarak dengan berpayung ke rumah pihak perempuan. Pengantin tidak akan disandingkan bersama di pelamin sebaliknya melalui acara “papiadop”, menghantar pengantin perempuan ke rumah pihak lelaki.

Kenali adat perkahwinan etnik Sukang iaitu “dunuat”, bermaksud merisik. Setelah bersetuju di hari pertunangan, rombongan pihak lelaki datang bersama-sama Ketua Kampung atau Ketua Adat. Mereka membawa hantaran dan akan berbincang berapakah “berian” perkahwinan yang akan ditetapkan.

Di hari persandingan, rombongan pengantin lelaki akan berarak ke rumah pengantin perempuan dengan diiringi paluan gong. Semasa bersanding lutut pengantin lelaki mesti menindih paha pengantin perempuan. Pengantin akan makan dahulu sebelum semua tetamu dibenarkan makan.

Perkongsian adat etnik Melanau dipecahkan kepada beberapa kumpulan tertentu yang merujuk kepada penempatan mereka. Kali ini dipaparkan adat perkahwinan masyarakat Melanau yang beragama Islam dari Daerah Matu Daro. Menjelang malam perkahwinan, masyarakat Melanau Matu Daro akan memulakan keramaian dengan acara “belulur” di rumah pengantin perempuan. Di hari perkahwinan, rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan tarian “Selamat Labit” atau Selamat Datang. Selesai akad nikah, ibu pengantin lelaki akan menyarungkan cincin kepada pengantin perempuan. Ini diikuti acara membatalkan wuduk dan bersanding serta upacara menepung tawar yang diringi dengan alunan syair.

Bermula dengan pengenalan kepada etnik Ubian. Istimewanya pada hari perkahwinan, pengantin lelaki diarak menggunakan “adjong balongan” iaitu kenderaan untuk pengantin. Bagi menemui pasangannya, pengantin lelaki terpaksa melalui halangan berupa tiga lapis tirai dan harus membayar untuk membuka setiap lapisnya. Suami isteri harus bersama dalam tempoh tiga hari. Jika mereka tidak bersama dalam tempoh ini maka perkahwinan tersebut dikira terbatal.

Kenali juga tentang etnik Bisaya dipengaruhi oleh agama Islam. Fasa terawal perkahwinan masyarakat Bisaya adalah merisik. Pihak perempuan akan mengunjungi pihak lelaki untuk menyampaikan keputusan. Majlis pertunangan biasanya sederhana. Sehari sebelum perkahwinan, pihak lelaki akan menghantar segala hantaran yang telah dipersetujui. 

Episod sepuluh penerangan tentang etnik Dusun Tombunuo di mana bakal pengantin lelaki dari etnik ini akan bermalam di rumah bakal pengantin perempuan untuk mendapatkan kepastian melalui mimpi. Selepas memastikan bahawa gadis idamannya itu bakal menerima dia sebagai pasangan hidup, pihak lelaki akan menghantar rombongan merisik dengan membawa sapu tangan yang dipanggil “pongingatan”. Mengikut adat Tombunuo, pengantin lelaki akan diusung dan diarak oleh keluarga dan sanak saudara. Selepas hari persandingan, dilakukan adat dipanggil “mututoi iwan” iaitu adat memberikan nama panggilan kepada ahli keluarga baru setiap pasangan.

Seterusnya tentang etnik Iban yang merupakan penduduk majoriti di Bumi Kenyalang. Bagi masyarakat Iban, adat merisik dipanggil “berbunga-bunga” atau “berjarum-jarum”. Adat ini dilangsungkan apabila seorang teruna telah berkenan kepada seorang gadis. Semasa pertunangan pihak lelaki dan perempuan perlu menjaga adat-adat jika tidak mahu didenda. Acara perkahwinan suku kaum Iban dipanggil “melah pinang”. 

Saksikan juga tentang adat etnik Melayu Brunei di mana sebelum hari pernikahan, keluarga pengantin akan mengadakan upacara mandi pengantin. Pada acara ijab dan kabul mereka hanya berpandukan syariat Islam sahaja. Semasa ketibaan pengantin lelaki, acara dimulakan dengan membuat tiga pusingan di perkarangan rumah. Majlis perkahwinan sentiasa diiringi dengan hadrah dan lagu-lagu berkaitan perkahwinan.

Episod akhir tentang etnik Kadayan yang lazimnya ditentukan oleh ibu bapa. Majlis pertunangan masyarakat Kadayan tidak berlangsung tanpa jual beli pantun. Dalam upacara akad nikah, mereka tidak merubah sebarang hukum Islam tetapi mereka lakukan dengan gaya tersendiri. Sempurnanya akad nikah, pengantin lelaki dan perempuan akan menjalani acara malam berinai di rumah masing-masing. Majlis persandingan mereka sangat padat kerana terdapat berbagai-bagai upacara adat yang perlu dilaksanakan.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Digi Diberi Pensijilan ISO 45001

Tahun Baru Cina Penuh ONG-some Bersama 11street!