in , ,

Ramli Sarip Persembahkan SYAIR TIMUR di Dewan Filharmonik Petronas

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), yang terletak di Menara Berkembar PETRONAS, meneruskan keraian 25 tahun penubuhannya dengan mempersembahkan sebuah konsert istimewa dari penghibur legenda Datuk Ramli Sarip pada hari Sabtu, 13 Mei 2023 jam 8.30 malam.

Konsert ini merupakan langkah berterusan DFP menghargai bakat-bakat seni dan memberikan mereka platform sejajar dengan matlamat DFP untuk menghidangkan muzik pelbagai genre untuk menarik semua lapisan masyarakat. DFP, yang boleh memuatkan 920 penonton pada satu masa, terkenal sebagai dewan konsert yang mempunyai tahap akustika yang tinggi. 

Bertemakan Syair Timur, konsert ini diinspirasikan dari album Datuk Ramli bertajuk Syair Timur yang diterbitkan pada tahun 1997, sebuah album kerohanian yang menyerlahkan muzik fusion tradisional yang segar.

Datuk Ramli Sarip Persembahkan ‘Syair Timur’ di Dewan Filharmonik Petronas

Konsert ini bakal merupakan penampilan keempat Datuk Ramli di pentas DFP selepas konsert solo beliau pada tahun 2010 dan menjadi penyanyi undangan untuk konsert Dato’ Khadijah Ibrahim (2008) dan Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia (2017).

Datuk Ramli muncul di era muzik rock sebagai penyanyi utama kumpulan Sweet Charity melalui album perdana mereka pada tahun 1979. Beliau mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik dengan melahirkan album solo pada tahun 1985. Populariti beliau telah melonjakkan jualan album yang impresif; sehingga ke hari ini, beliau telah mendapat 12 anugerah perak dan 10 anugerah emas.

Walau bukan satu kejutan untuk Datuk Ramli dinobatkan sebagai legenda rock, beliau tetap selesa dengan genre muzik lain seperti world music, lagu-lagu puisi dan kontemporari nasyid. 

Beliau menjadi artis Melayu pertama yang mengeluarkan box-set antologi bertajuk Ziarah Seni pada tahun 1994. Tidak pernah melupakan peminat muzik rock, beliau mengeluarkan album

Ramli Sarip Alive pada tahun 1998 dan album etnik rock Kalam Kasturi pada tahun 2002. 

Konsert Zaman The Concert beliau telah dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada tahun 2005 sebelum beliau membuat konsert kembara serata Malaysia melalui program Kembara Merdeka.

Datuk Ramli bergabung semula dengan Sweet Charity selepas 12 tahun di konsert Kuala Lumpur (2008) dan Singapura (2009). Meraikan penglibatan ke 45 tahun dalam industri muzik, beliau membuat konsert solo di IB dan Singapura pada tahun 2014.

Datuk Ramli juga merupakan seorang penerbit album, komposer dan penulis lirik yang disegani untuk artis-artis seperti Allahyarham Tan Sri SM Salim, Ella, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Francisca Peter. Beliau kerap diundang ke festival world music dan puisi, memberi ceramah dan membuat persembahan di univerisiti dan kolej serata Malaysia. Pada tahun 2015, beliau diberi Anugerah Sri Wirama di Anugerah Industri Muzik.

Saksikan konsert muzik extravaganza dari penghibur legenda ini, hanya di DFP!

Nota: DFP seterusnya bakal mempersembahkan konsert kumpulan Exists (3 Jun 2023), kugiran Masdo (22 Julai 2023), Khai Bahar (11 November 2023) dan Meet Uncle Hussain (2 Disember 2023). 

Maklumat Konsert 

Tarikh

Sabtu, 13 Mei 2023 jam 8.30 malam

Tempat

Dewan Filharmonik PETRONAS, Menara Berkembar PETRONAS

Harga Tiket 

RM198, RM258, RM298, RM338 dan RM550* (*Meet & Greet)

Suite: RM198 dan RM258

Waktu Operasi Box Office 

Selasa ke Sabtu: 10.30 pagi – 6.30 petang, 9.00 malam (pada malam persembahan)

Ahad: 12.00 tengahari hingga waktu persembahan 

(Tutup pada hari Isnin dan Cuti Am kecuali jika ada konsert berjadual)

Tempahan Telefon: 03-23317007 

Tempahan Email: [email protected]

Laman Web DFP: www.dfp.com.my

Facebook & Instagram: @dewanfilharmonikpetronas

YouTube: MPO TV, Spotify: MPO, TikTok: @malaysianphilharmonic

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

A Quiet Place di Bukit Bintang Perkenal Konsep Terbaharu Untuk Berkaraoke

Zul Yahya Didakwa Ada Masalah Keluarga, Jalan Sendirian Dari 4 Pagi