in ,

Datin Alyah dan Farawahida Bergabung Hasilkan Lagu MENGAPA HARUS AKU

Syarikat rakaman Warner Music Malaysia meneruskan penguasaan dalam bidang muzik tempatan apabila menjadi pilihan kebanyakan penyanyi sedia ada atau baru untuk memasarkan lagu mereka. Terbaru syarikat rakaman ini mempertaruhkan lagu berjudul Mengapa Harus Aku nyanyian dua penyanyi bersuara hebat Datin Alyah dan Farawahida.

Serentak dengan pelancaran lagu ini, turut dilancarkan muzik video rasmi yang menjalani penggambaran beberapa bulan lalu. Menariknya, lagu ciptaan Alfie Alwi dan lirik Alyah ini adalah kerjasama pertama kedua-dua penyanyi ini sepanjang 17 tahun mereka berada dalam industri muzik tempatan. Istimewanya juga, kedua-dua mereka lahir dari program realiti RTM. Alyah adalah juara Bintang HMI 2000 dan Farawahida pula finalis Bintang RTM 2001. Namun sepanjang tempoh pembabitan mereka sebagai penyanyi, belum pernah sekali Alyah dan Farawahida berkolaborasi atau berkongsi pentas.

Bagi Alyah, 36, biarpun dia dan Farawahida memiliki alunan vokal berbeza, itu membuatkan lagu ini cukup bermakna. Malah tidak sukar bagi mereka mencipta keserasian dalam nyanyian. “Ini lagu duet pertama saya bersama penyanyi wanita.

Lagu ini dirakam pada Mac lalu dan muzik video juga sudah siap. Saya memilih Farawahida kerana ‘tone’ suara kami berbeza. Pendek kata mudah orang nak kenal pasti.

“Sejujurnya, tak susah nak mencipta keserasian. Malah proses rakaman lagu ini pun sekejap saja. Komitmen diberikan Farawahida sangat bagus. Dia pun cukup menjiwai lagu ini,” katanya.

Alyah yang juga penyanyi lagu Kisah Hati berkata, pemilihan Farawahida atas cadangan beberapa rakan baiknya ketika dia bercerita mengenai projek duet ini. “Saya menganggap kerjasama kami ini satu rezeki. Tak terfikir pun untuk mencipta sebarang cerita sensasi, sebaliknya semua berlaku secara kebetulan,” katanya.

Semenatar Farawahida, 32, berkata, dia sangat berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan pemenang Lagu Pop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-21 itu. Farawahida yang mesra disapa Fara berkata, dia menganggap ini satu rezeki selepas sekian lama tidak muncul dengan lagu baru.

“Sebenarnya idea untuk berduet ini datangnya daripada Alyah. Saya berterima kasih kerana Alyah mengundang saya untuk terbabit dalam projek ini. Bagi saya ia satu peluang yang tak mungkin dilepaskan.

“Tambahan sekarang kurang penyanyi wanita berduet bersama. Proses untuk menyiapkan lagu ini pun tidak mengambil masa lama. Bermula dari pemilihan artis oleh Alyah sehingga ke proses penggambaran muzik video, segalanya berjalan lancar dan mudah. “Sehinggakan apabila semuanya selesai, saya seperti tak percaya terhasil lagu duet bersama Alyah. Alhamdullilah, inilah yang dinamakan rezeki,” katanya.

Sama seperti Alyah, Farawahida yang pernah popular menerusi lagu Tanpamu mengakui keistimewaan vokal masing-masing memudahkan lagi proses rakaman. Peminat juga sudah boleh membuat permintaan lagu ini di seluruh stesen radio tempatan. Muzik video yang diarahkan oleh Khairul Hazwan ini mengetengahkan konsep berbeza daripada kebanyakan muzik video sebelum ini.

Teristimewa buat peminat Datin Alyah dan Farawahida lagu ‘Mengapa Harus Aku’ edaran Warner Music (M) Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun disemua digital platform seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder dan KKBox.

Bagi muzik video rasmi ‘Mengapa Harus Aku’ boleh di tonton di Youtube mulai 19 September 2017 pada jam 8.00 malam!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert AF Megastar Minggu Ke-4 Bertemakan ROCK

The New Gear Fit2 Pro: Make Every Move Counts