in , ,

Coretan Hati Penuh Menggamit Wafa Dalam Lagu ‘IKATAN KITA

Hasrat untuk bersinar lebih jauh sebagai penyanyi solo, anggota Bahiyya Haneesa, Wafahish, 27, muncul mempertaruhkan lagu pengenalannya berjudul ‘Ikatan Kita’. Semestinya teruja, lagu ini turut membawa mesej cukup mendalam.

Menurut Wafahish atau nama sebenarnya Nur Wafa Amira Hisamudin, takrifan cinta dalam sesebuah perhubungan perlukan komitmen yang berterusan. Tanpa usaha sebegitu, bahagia yang dicari pastinya bertukar samar.

Apalagi sekiranya bibit sayang itu terbit dari sebuah jalinan persahabatan, tentu sekali ada cabarannya tersendiri. Bagaimanapun, ia bukan penghalang buat seseorang untuk cuba luah rasa cinta yang terbuku dalam hati.

“Lagu Ikatan Kita mengisahkan sebuah persahabatan murni antara dua insan, jejaka dan wanita yang akhirnya menjadi renggang akibat terlalu lama memendam perasaan cinta. Kemudian disusuli pula dengan kehadiran kekasih baharu.

“Lagu ini adalah coretan hati yang menggambarkan sebuah perasaan tersirat. Ia menggamit kesedaran bahawa pentingnya untuk kita meluahkan perasaan hati dan berkomunikasi antara satu sama lain demi mencapai kebahagiaan yang hakiki,” katanya.

Kini tampil solo dan berdiri atas kaki sendiri, Wafahish tidak nafikan memang ada cabarannya bila menyanyi sendirian. Bagaimanapun, dia bersyukur apabila mendapat tunjuk ajar daripada orang berpengalaman untuk mengatasi setiap rasa gentarnya.

“Selalunya bila merakam lagu bersama Bahiyya Haneesa saya akan menyanyi beberapa bahagian solo sahaja. Tapi, kali ini saya menyanyi keseluruhan lirik lagu. Bagi saya agak sedikit mencabar dan mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan sebuah lagu penuh

“Mungkin saya masih cuba untuk menyesuaikan diri dan menimba pengalaman baharu. Mujur ada guru vokal, Cikgu Azrin dan Sharon Paul yang memberi tunjuk ajar dalam pembikinan lagu Ikatan Kita,” katanya.

Wafahish

Wafahish akui dia juga sebenarnya sudah lama bercita-cita untuk menulis lagu sendiri. Baginya, sekarang adalah peluang dan permulaan yang terbaik untuk membina pengalaman dan menempa kerjaya dalam industri muzik.

“Semestinya pengalaman pembikinan lagu ini cukup baharu bagi saya. Saya perlu berusaha serap persekitaran dan daya usaha kena luar biasa apabila tampil solo. Tetapi, saya anggap ini proses pembelajaran bagi melentur bakat dan personaliti saya dalam dunia seni. Saya cuba untuk menghasilkan karya melalui sentuhan jiwa ramai dengan nyanyian lunak,” katanya.

Di sebalik berdebar dengan langkah baharu sebagai penyanyi solo, Wafahish tidak gentar meletakkan sasaran tertentu untuk karier seninya. Baginya, pertaruhan lagu yang berkualiti serta mesra pendengar adalah fokus penting.

Bagaimanapun, dia juga percaya bahawa perjalanan sebagai penghibur perlu ada warna-warninya juga. Bukan sekadar tampil dengan personaliti yang menonjol, tapi pembawaan diri serta cerita yang disuntik dalam karya juga membantu besar.

“Memandangkan ini adalah lagu sulung saya, saya berharap lagu ini mendapat sambutan dan sokongan daripada pihak ramai. Saya mahu mesej lagu ini dapat diterima dan difahami dengan mudah.

“Konteks lagu ini juga bukanlah berpaut pada satu jalan cerita sahaja. Tetapi, setiap orang mempunyai kisah perhubungannya tersendiri yang mungkin boleh diselarikan dengan nada dan irama lagu ini.

“Semoga lagu ini mampu menyentuh hati ramai serta raih dan penerimaan menggalakkan pendengar, serta seluruh industri muzik kita. Sasaran saya adalah agar lagu ini akan mendapat tempat dalam hati peminat genre balada,” katanya.

‘Ikatan Kita’ kini boleh dimuat-turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih termasuk Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music. 

Wafahish

Kredit:

Artis: Wafahish

Tajuk: Ikatan Kita

Producer: Sharon Paul

Komposer: Sharon Paul

Penulis Lirik: Khair Hisham & Wafahish

MENGENAI WAFAHISH

Minat mendalam Wafahish dalam bidang muzik mulai dipupuk sejak usianya 9 tahun lagi. Cukup terdedah dengan bidang nyanyian, genre irama muzik asli dan balada sentiasa dekat di hatinya. Hala tuju serta jiwa muzikalnya cukup berat ke arah muzik sebegitu.

Tidak hairanlah bakat nyanyiannya sudah dilentur sejak daripada usia begitu muda lagi. Penyanyi ini sememangnya mewarisi darah seni keluarganya di mana ibu bapanya juga memiliki bakat dalam nyanyian dan tarian.

Pada usia 12 tahun, Wafahish memasuki Sekolah Seni Malaysia di Kuching dan mendapat pendidikan dalam bidang muzik, drama, visual, dan tarian. Pakej lengkap itu nyata menjadi kelebihan untuknya tampil dengan pengalaman serta ilmu bergelar penghibur.

Di institusi itu jugalah dia mengasah segala bakat yang ada dalam dirinya untuk tingkatkan lagi ilmu seninya. Wafahish memperkasa lagi kebolehan nyanyiannya serta mendalami ilmu vokal bersama guru seni dari sekolah terbabit.

Walaupun lebih aktif fokus mempelajari vokal, Wafahish tidak hadkan diri dan cuba belajar instrumen muzik lain. Ia termasuk belajar bermain biola dan sering aktif terbabit dalam persembahan orkestra di sekolahnya.

Memasuki usia 20 tahun, Wafahish meneruskan pengajian akademik dalam bidang muzik dengan mengambil jurusan Klasikal Vokal di Universiti Malaya. Dia turut bergiat aktif menyertai pertandingan nyanyian pelbagai genre termasuk balada, melayu asli, nasyid dan dikir barat. 

Pada tahun 2016, dia kemudian menyertai kumpulan ‘acapella’ Bahiyya Haneesa bersama rakan-rakan satu universiti. Dia turut muncul dalam program TV  I Can See Your Voice Malaysia selain video nyanyian Hero (Mariah Carey) bersama kembarnya jadi tular.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hawa Rizwana | 19

Media Prima Berhad Raih 15 Hadiah Kewartawanan MPI-PETRONAS 2021

Aina Abdul | 20

Luar Biasa! Kehebatan Konsert A Night With Aina Abdul 2.0