in

Cerita Dongeng Asia di TV2

DONGENG RANTAU ASIA DI LAYAR KACA TV MULAI 22 NOVEMBER 2010, SETIAP ISNIN HINGGA RABU, JAM 2.30 PETANG DI TV2

Kepada anda penggemar buku siri animasi kanak-kanak yang berwarna warni serta mempunyai nilai-nilai murni yang dapat menghibur dan mendidik penonton sasar dengan persembahan cerita dongeng terutama dari negara-negara Asia, sepanjang cuti sekolah ini pastikan anda meluangkan masa untuk menyaksikannya di layar kaca TV pula.

Pastinya pendekatan ini lebih menarik kerana kanak-kanak dapat menontonnya bersama teman-teman pada masa yang sama di samping berkongsi pengajaran yang diselitkan pada penghujung rancangan ini. Apatahlagi mereka dapat berkongsi pengetahuan kerana menerusi setiap episod dari segi karakter ,latar belakang, lagu tema dan pakaian akan direka khas dengan ciri-ciri negara Asia masing-masing.

Program Dongeng Rantau Asia ini bakal menemui penonton mulai 22 November 2010, setiap Isnin hingga Rabu, jam 2.30 petang di TV2 yang menghimpunkan sejumlah 200 watak karakter Asia di samping 13 jenis muzik tema akan digubah untuk rancangan ini.

Menerusi 13 episod siarannya, kanak-kanak diajak mengikuti kisah dongeng dari negara-negara Asia termasuklah Negara Iraq, Korea, Malaysia, Iran, Burma, Arab, China, Thailand, Filipina dan Jepun yang jalan ceritanya begitu menarik untuk dikongsi bersama.

Menerusi episod “Kasalamayar” (Iraq), disiarkan kisah berkenaan seorang adik yang ingin merampas takhta daripada abangnya dengan mengupah seorang ahli sihir. Ahli sihir itu menukarkan abang serta pembantunya menjadi seekor burung. Sewaktu menjadi burung itu abangnya bertemu dengan seekor buruk belatuk yang sebenarnya adalah seorang puteri raja yang disumpah. Abangnya berjaya melepaskan diri dari sumpahan itu dan menuntut semula takhta. Mesej yang ingin disampaikan kepada penonton adalah setiap perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan. Begitulah sebaliknya. Kasalamayar adalah contoh yang tepat untuk menyatakan maksud buat dibalas baik ini dan tiada ruginya jika kita sentiasa berbuat baik.

Dua episod dari negara Korea pula adalah “Si Penyu Dan Arnab” dan “Permaisuri Burung Layang-Layang”. Kisah “Si Penyu Dan Arnab” berkaitan seekor penyu ditugaskan oleh permaisuri ikan untuk mencari hati arnab untuk dijadikan ubat bagi penyakitnya. Pengembaraannya hampir berjaya apabila arnab hampir menjadi korban tetapi arnab dapat menyelamatkan diri dengan akalnya yang bijak.

Mesej tersembunyi adalah dalam menjalinkan sesuatu perhubungan persahabatan, kejujuran amatlah penting kerana ia akan mencorakkan bentuk hubungan tersebut samada baik atau buruk sesebuah hubungan itu. Manakala “Permaisuri Burung Layang-Layang” pula mengisahkan Hung Bu seorang yang miskin dan satu hari dia menyelamatkan burung cedera.

Kemudian, burung itu memberinya balasan yang baik. Dia menjadi kaya. Berita itu didengar oleh No bul. Dia mula dengki lalu mencari satu sarang burung. Dia mencederakan burung itu lalu mengubatinya semula dengan harapan dapat menjadi kaya tetapi burung itu membalasnya dengan keburukan. Kisah ini menceritakan bagaimana menolong seseorang dengan ikhlas akhirnya mendapat ganjaran yang tak disangka.

Kemudiannya menyusul dua episod dari Thailand iaitu “Sun Tong Putera Kerang”, kisah Permaisuri Chanthathewi melahirkan sebiji kerang gergasi. Kerana dihasut oleh Cik Puan Suwan dan nasihat dari tabib, Raja Prommathat menghalau Permaisuri dan kerang gergasi dari istana. Permaisuri dan kerang gergasi tinggal bersama perempuan tua yang baik hati. Setelah dewasa Suntong iaitu putera kerang, disuruh oleh permaisuri untuk menuntut ilmu sakti untuk menuntut haknya sebagai putera. Kisah ini memberi pengajaran agar jangan memandang rupa luaran seseorang itu sahaja tetapi kita perlu mengenali dengan lebih mendalam sebelum membuat penilaian.

Manakala episod “Kisah Anak Harimau Dan Anak Lembu” pula memaparkan watak Honvinjai dan Khavi adalah anak harimau dan anak lembu yang ditukarkan menjadi manusia oleh nenek kebayan. Setelah menjadi manusia, Honvinjai dan Khavi mengembara ke serata tempat dan menempuhi berbagai rintangan. Dengan pemberian pedang ajaib dari nenek, mereka dapat melepasi segala halangan dari hidup bahagia bersama pasangan masing-masing.

Kisah-kisah lain yang menarik termasuklah dua dongeng dari negara Cina iaitu Berus Emas Ajaib (kisah ini menceritakan akibat daripada sifat tamak yang akhirnya memakan diri sendiri) dan Permaidani Ajaib (kisah anak yang baik akan membalas jasa ibubapanya). Manakala Si Kerdil Yang Nakal (Filipina) menceritakan akibat dari perbuatan menyusahkan orang lain yang akhirnya memberikan akibat yang buruk pada pelakunya. Sebaliknya jika kebaikan yang dibuat balasannya sudah tentulah kebaikan juga malah mungkin berlipat kali ganda.

Usah ketinggalan juga menyaksikan episod Okuni Dan Si Arnab Putih (Jepun), kisah seekor arnab yang mendapat balasan yang baik setelah dia menolong arnab yang ditimpa kesusahan, Monyet Dan Kura-Kura (Malaysia) kisah Monyet yang mengkhianati kawannya, seekor penyu dan menerima balasan juga Mushkil Gusha (Iran), Seorang lelaki miskin mendapat pertolongan yang tidak disangka-sangka. Setelah menjadi senang dia lupa akan janjinya terhadap orang yang menolongnya. Lalu dia ditimpa kesusahan. Setelah itu dia sedar kesilapannya lalu menunaikan janjinya. Nasibnya kembali baik.

Kemudiannya episod Si Comel Berhati Mulia (Burma) – Seorang ibu telah melahirkan seekor katak. Tetapi katak itu disayang oleh semua orang. Apabila ibu meninggal dunia, ayahnya berkahwin lain. Ibu tiri katak itu sangat jahat. Suatu hari ada satu pertandingan, katak itu menang dan berkahwin dengan putera raja. Diakhiri dengan episod Pengembaraan 3 Beradik (Arab), kisah pengembaraan 3 beradik yang mempunyai kepakaran masing-masing. Mereka mengembara untuk mencari pengalaman hidup.

Kepada adik-adik yang ingin mengikuti kesudahan menarik rancangan ini, luangkan masa dengan menyaksikan Dongeng Rantau Asia mulai 22 November 2010, setiap Isnin hingga Rabu, jam 2.30 petang di TV2.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

The Kennedy Assassination 24 Hours After

AirAsia X Connects Paris to Asia