in , ,

Berkahwin di Usia Emas, Sabri Ditawarkan Jadi Duta Produk Kuat Tenaga Batin

Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus mendedahkan pernah ditawarkan menjadi duta produk menguatkan tenaga batin hanya kerana berkahwin pada usia emas.

Bagaimanapun, beliau terpaksa menolak kerana berasa segan dengan pandangan masyarakat sekeliling.

“Maaf cakap saya memang ada terima tawaran jadi duta produk ubat kuat tenaga batin.
“Mungkin kerana saya pengantin berusia. Bagaimanapun, saya terpaksa tolak kerana saya segan.
Kalau produk nak kurangkan (tenaga batin), saya naklah (ketawa),” 

– Sabri Yunus

Sementara itu, Sabri dan isterinya, Ardini Angeline Tan terharu apabila terus diraikan oleh rakan-rakan penggiat industri.

Menurut Sabri, mereka tidak pernah menyangka pernikahan mereka mendapat perhatian banyak pihak dan berminat untuk menaja majlis resepsi.

“Saya bersyukur ramai yang berminat untuk meraikan kami. Selama ini, saya ingat Allah sahaja yang sayang saya, tetapi kawan-kawan turut menyayangi saya.”

– Sabri Yunus

Sabri Yunus ditemui di majlis resepsi anjuran Persatuan Melodi Kenangan Artis Dan Penggiat Seni (Pemekar) yang berlangsung di sebuah hotel di Ampang. 

Pada majlis itu, pasangan mempelai tampil segak dan menawan apabila menggayakan baju tradisional songket warna sedondon iaitu biru muda.

Ini adalah majlis resepsi kedua Sabri dan Angeline selepas diraikan oleh sebuah stesen penyiaran pada 17 Oktober lalu.

Pasangan ini juga bakal diraikan dalam satu lagi majlis sama pada Ahad ini.

“Ada empat lagi majlis yang ada dalam perancangan termasuk resepsi yang akan diadakan di Kelantan.
“Majlis itu nanti akan lebih besar dan meriah,”

– Sabri Yunus

Majlis resepsi Sabri dan Angeline dimeriahkan dengan kehadiran lebih 500 tetamu.

Antara yang hadir, keluarga kedua mempelai yang juga rakan seperjuangan seperti Othman Hafsham, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail, Datuk Rosyam Nor, Mustapha Kamal, A Galak serta Presiden Pemekar, Amran Nasruddin.

Yang turut hadir meraikan perkahwinan termasuklah pelakon veteran Sophia Ibrahim, Roslan Madun, Mubarak Majid, Issey Fazlisham, manakala pelawak Abon bertindak sebagai pengacara majlis.

Terdahulu, pasangan berkenaan selamat dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza pada 14 Oktober lalu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Armada Band Berjaya Hiburkan Peminat di KL, Dendangkan 15 Lagu

Ada Sebab Tarikh Tayangan Mission: Impossible 8 Dianjak Hampir Setahun