in , ,

Astro Ria Siar Drama HAWA & MALAYSIAN GHOST STORIES Secara Back-To-Back

Drama HAWA & MALAYSIAN GHOST STORIES bakal disiarkan di Astro Ria. Hayati jalan cerita bertemakan kisah famili dan seram menjadi taruhan sebagai pelengkap malam hari yang selesa dan menghiburkan!

Istimewa buat peminat drama Melayu tempatan, dua buah naskhah baharu menampilkan karya asal dengan genre yang berbeza bakal dihidangkan secara ‘back-to-back’ untuk menghiburkan malam anda pada setiap hari Isnin hingga Khamis di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124). Untuk pilihan yang lebih fleksibel, kedua-dua drama tersebut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand. 

Drama ‘Hawa’ terbitan Infinitus Productions Sdn. Bhd yang mengangkat genre kekeluargaan bakal mengambil alih slot Megadrama pada jam 10.00 malam bagi menggantikan drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ bermula 24 Ogos 2021. Drama ini menampilkan sutradara dan aktor berbakat Tam Suhaimi selaku pengarah dan penulis skrip. Manakala bekas aktres yang kini lebih selesa bergerak aktif dengan kerja di belakang tabir sebagai pengarah dan penulis skrip, Baizura Kahar turut menyertai Tam sebagai panel skrip.

DRAMA HAWA

Manakala drama ‘Malaysian Ghost Stories’ terbitan Arie Zaharie Production Sdn. Bhd. yang mengetengahkan genre seram pula bakal menggantikan drama sekuel ‘Saga 2.0’ pada jam 11.00  malam  bermula 25 Ogos 2021. Idea asal drama ini diilhamkan oleh Syawal Azrai serta turut mendapat sentuhan tiga pengarah berbeza yang terdiri daripada Izuan Mokhtar, Azhari Zain dan Eoon Shuhaini. Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Srikandi Emma, Aloy Paradoks, Epy Kodiang dan Amar Amir.

Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro berkata:

“Berdasarkan trend semasa, audiens sasaran kami khususnya penggemar drama Melayu tempatan cenderung kepada genre yang bersifat universal. Selain romantik, komedi dan aksi, genre kekeluargaan dan seram merupakan antara yang mudah menarik perhatian penonton. 

Pada hemat kami, walaupun formula ini sering diguna pakai secara berulang kali, ia akan kekal popular asalkan sudut naratif dan penceritaan tidak klise dan membosankan. Buktinya, setiap kali genre-genre tersebut diterapkan sebagai intipati utama yang menggerakkan keseluruhan cerita, ia pasti mendapat sambutan yang luar biasa dan tidak pernah mengecewakan. 

Sehubungan dengan itu, buah tangan terbaharu Astro Ria menerusi naskhah ‘Hawa’ dan ‘Malaysian Ghost Stories’ yang bertemakan kisah famili dan seram telah dipilih untuk menghiasi slot drama sebagai pelengkap malam hari yang selesa dan menghiburkan.

Sudut penceritaan drama ‘Hawa’ yang mudah difahami serta dekat dengan kehidupan harian masyarakat diharap dapat memancing audiens dari segenap lapisan. Manakala kisah ‘Malaysian Ghost Stories’ pula bakal membangkitkan ‘mood’ seram dan suspens sekaligus membawa penonton menerawang ke dunia mistik yang berbeza. Mendengarkan tajuknya sahaja sudah tentu ramai yang dapat meneka naratif utama yang diketengahkan.  

Syabas saya ucapkan kepada kedua-dua syarikat produksi yang berjaya menghasilkan drama berkualiti seperti ini untuk disajikan kepada penonton. Semoga terhibur!”. 

gambar scene Malaysian Ghost Stories

Tam Suhaimi, Pengarah ‘Hawa’ berkata:

“Keistimewaan naskhah ‘Hawa’ terletak pada penceritaannya yang dilihat relevan dan ‘relatable’ sekaligus menjadikan ia dekat dengan hati penonton. Tema drama bersiri ‘Hawa’ adalah famili. Walaupun tidak sependapat dan sering bertelagah, kita tidak akan sesekali membelakangi famili terutama sekali apabila dilanda musibah. Selain itu, drama ini juga turut menampilkan barisan pelakon yang berjaya menterjemahkan watak mereka daripada skrip ke skrin dengan berkesan.

Walaupun menghasilkan drama sewaktu pandemik amat mencabar, namun situasi tersebut menjadi pendorong kepada pihak produksi untuk tampil dan berfikir secara lebih kreatif bagi memberi kelainan untuk setiap babak. Oleh kerana penggambaran drama bersiri Hawa dilakukan ketika fasa PKPP, terdapat beberapa babak yang perlu diolah agar ianya selaras dengan SOP yang telah ditetapkan. Pihak produksi juga turut mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan tenaga kerja diutamakan pada setiap masa. 

Pengalaman menyiapkan penggambaran drama ‘Hawa’ telah mengambil masa lebih kurang 35 hari memberi pengalaman yang cukup berharga dan menyeronokkan. Besar harapan saya agar drama ‘Hawa’ dapat menerima maklum balas positif dan respon yang baik daripada para penonton.”

DRAMA HAWA

Arie Zaharie, Penerbit ‘Malaysian Ghost Stories’

Sebagai penerbit, objektif utama yang ingin disampaikan kepada penonton ialah untuk memaparkan pelbagai kisah hantu yang sering diceritakan di Malaysia sebagai hiburan untuk memberi kelainan. Kebanyakan generasi muda zaman sekarang kurang percaya dengan kewujudan entiti seram. Oleh itu, kami cari dan himpunkan semula kisah-kisah tersebut untuk dijadikan asas penceritaan utama.

Drama ‘Malaysian Ghost Stories’ bakal mengupas secara terperinci kepelbagaian jenis hantu yang sering didengari di Malaysia agar dapat memberi gambaran dan visual yang jelas mengenai bentuk, rupa dan sifat hantu tersebut serta bagaimana cara untuk mengatasi sebarang gangguan mistik sekiranya ada. Setiap kisah yang ditonjolkan sarat dengan nilai murni untuk diambil sebagai teladan dan pengajaran agar kita tidak sewenang-wenangnya mempersendakan kewujudan makhluk ini.

Daripada segi persediaan untuk menghasilkan drama seram, kami turut mendapatkan khidmat nasihat pengamal dan pakar dalam perubatan Islam sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini sewaktu di lokasi. Kami juga bertuah kerana Imam Kanan Masjid Wilayah Persekutuan iaitu Ustaz Tuan Asmawi turut membuat penampilan istimewa dalam salah sebuah episod.

Saya mewakili produksi berharap agar drama ini dapat mendedahkan masyarakat tentang kisah-kisah seram dan mistik yang ada di Malaysia sekaligus diterima baik oleh semua.”

gambar scene Malaysian Ghost Stories

MENGENAI DRAMA ‘HAWA’

Drama ‘Hawa’ yang mengandungi 9 buah episod ini berkisarkan tentang kehidupan Along yang menjadi huru-hara selepas suaminya, Haji Ali koma. Merumitkan lagi keadaan apabila munculnya isteri kedua Haji Ali. Sementara itu, ahli keluarganya yang lain iaitu Hajjah Iman, Angah dan Acu pula mempunyai masalah mereka sendiri.

Drama ‘Hawa’ dibintangi oleh Nadiya Nisaa yang memegang watak sebagai Hajah Saadah atau Along, Ruzana Ibrahim (Fauziah/Angah), Bella Dowanna (Raudah/Acu), Hamidah Wahab (Hajah Imaan), Donna Muslim (Musa), Akmal Abdullah (Azizah), Shah Faris (Naim) dan Yusri Saleh (Haji Ali).

MENGENAI DRAMA ‘MALAYSIAN GHOST STORIES’

Menerusi paparan sebanyak 18 buah episod, himpunan penceritaan kisah seram berkaitan alam mistik legenda yang sering diceritakan secara turun temurun dalam pelbagai versi oleh masyarakat di Malaysia akan ditampilkan dengan sentuhan baharu.

Sebanyak 18 buah cerita hantu yang berlainan akan dibawakan pada setiap episod seperti ‘Nenek Hostel’, ‘Hantu Kum Kum’, ‘Nenek Kebayan’, ‘Jin Pemusnah’, ‘Hantu Raya’, ‘Hantu Air’, ‘Balan-Balan’, ‘Pontianak’, ‘Langsuir’, ‘Pelesit’, ‘Hantu Jepun’, ‘Pocong’, ‘Nu Gui’ (Hantu Cina), ‘Nishi Dak’ (Hantu India), ‘Ulek Mayang’, ‘Hantu Tiada Kepala’, ‘Hantu Barang Antik’ dan ‘Hantu Jari’.

Seramai lebih 27 selebriti popular tanah air terlibat untuk menjayakan drama ini. Antaranya termasuklah Janna Nick, Zahiril Adzim, Meerqeen, Bella Astillah, Chubb-E, Syazwan Zulkifly, Nazeera Sardi, Ellie Suriaty, Adam Shahz, Anna Jobling, Keith Foo, Kazar Saisi, Amerul Affendi, Ara Johari, Hasnul Rahmat, Jasper Supayah, Azman Ahmad, Hanna Aqeela, Azar Azmi, Fimie Don, Nabil Aqil, Balkisyh Semundur Khan, Erry Putra, Hamdan Senario, Sabrina Ali, Eric Fuzi, Fadhli Masoot dan ramai lagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mangsa Gangguan Seksual Ebit Lew Selesai Beri Keterangan

Hayati Makna Sebenar Kemerdekaan di TV Alhijrah