in , ,

Fakta & Sinopsis Tentang Drama CIK AYU MEE SANGGUL Lakonan Amelia Henderson & Aqasha

Amelia Henderson masuk meminang Aqasha dalam kisah ‘rom-com’ terbaharu di Astro Ria mulai 27 Julai ini

Drama bersiri ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ merupakan sebuah naskah asal yang mengangkat genre komedi romantik terbitan syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. Berbeza dengan penceritaan kisah perkahwinan paksa yang sering disajikan sebelum ini, drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ memaparkan pengorbanan seorang janda muda yang mengahwini seorang duda tanpa ikatan cinta untuk menjadi ibu tiri kepada anaknya yang masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu.

Barisan Pelakon & Penampilan Khas

Idea asal dan skrip drama bersiri 16 episod ini diilhamkan oleh Nieza Nahar serta turut diarahkan oleh sutradara Idora Abdul Rahman. Drama ini turut dibintangi oleh Amelia Henderson dan Aqasha selaku teraju utama di samping barisan pelakon seperti Aryan Adzrin, Iman Zulkarnain, Shiqin Kamal, Fimie Don, Asha Merican, Nabil Aqil, Aznah Hamid, Mahmud Ali Bashah, Izzendra, Natasha Hamzah dan ramai lagi.

Lebih istimewa lagi, drama ini turut diserikan dengan penampilan khas oleh Dato’ Rosyam Nor, Dynas Mokhtar dan Cat Farish.

Drama  Cik Ayu Mee Sanggul

‘Cik Ayu Mee Sanggul’ bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 27 Julai 2021 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusiaplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Drama  Cik Ayu Mee Sanggul

Apa Kata Wakil Astro?

Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro berkata,

“Berdasarkan pengalaman kami, secara umumnya sebahagian besar audiens tempatan menggemari drama yang ringan dan santai. Oleh itu, kami selesa memilih genre ‘rom-com’ sebagai naratif penceritaan yang menggerakkan drama terbaharu taruhan slot Megadrama iaitu ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ kerana ia dekat dengan kelompok sasaran kami. 

Tema cinta dan kasih sayang yang diangkat menerusi drama ini juga tidak klise, justeru ia memiliki keistimewaan tersendiri dengan jalan cerita yang ringkas tetapi mengesankan. Sungguhpun berunsur santai, drama ini juga sarat dengan mesej positif yang dapat memberi teladan sekaligus bakal mengheret emosi penonton untuk menyelami keindahan, kemanisan dan tangisan demi mencari kebahagiaan dalam sesebuah hubungan.

Syabas kami ucapkan kepada semua yang terlibat dengan pembikinan drama ini terutamanya kepada produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. kerana berjaya menterjemahkan drama ini dengan baik dalam bentuk visual. Semoga drama ini diterima baik sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri di kalangan peminat drama Melayu tempatan. Selamat menonton!”.

Drama  Cik Ayu Mee Sanggul

Apa Kata Pengarah?

Idora Abdul Rahman, Pengarah ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ berkata,

“Pengalaman mengarahkan drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ sewaktu musim pandemik Covid-19 dan fasa PKP masih berjalan amat mencabar sekali. Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kekangan, pengalaman tersebut amat bermakna dan menyeronokkan. Saya bertuah kerana dapat bekerja dalam sebuah pasukan besar yang sanggup bersusah payah bersama dan saling berkongsi idea dan pandangan demi mendapatkan hasil yang terbaik untuk naskhah ini. 

Sebagai pengarah, saya juga amat gembira dengan keserasian yang berjaya dicipta oleh barisan pelakon terutamanya di antara Amelia Henderson dan Aqasha yang menyandang watak utama dalam drama ini. Umpama mee sanggul dan kuahnya, walaupun berlainan rasa dan tekstur tapi bila disatukan akan mendapat hasil yang sangat sedap untuk dinikmati. Begitulah antara hero dan heroin, gandingan mereka begitu serasi walaupun kedua watak tersebut mempunyai karakter dan personaliti yg berbeza.

Drama ini lengkap dengan pelbagai rasa yang mampu menceriakan hari sesiapa yang menonton. Ada rasa masam,manis, sedih dan gembira. Semoga terhibur!”

Drama  Cik Ayu Mee Sanggul

Trivia Menarik Drama ‘CIK AYU MEE SANGGUL’

Keseluruhan penggambaran drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ telah mengambil masa lebih kurang 73 hari untuk dihabiskan kerana tertangguh akibat perlaksanaan PKP 2.0. Proses penggambaran hanya diteruskan semula dengan kebenaran daripada FINAS selepas MKN memberikan kelonggaran kepada industri kreatif untuk melakukan aktiviti penggambaran di luar studio dengan SOP yang ketat.Lokasi utama penggambaran drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ telah dijalankan di sekitar Rawang, Selangor.

Buat julung kali, pelakon, pengacara dan model jelita berdarah kacukan India-Scotland, Amelia Henderson digandingkan bersama penyanyi dan pelakon, Aqasha untuk menerajui watak utama sebagai Cik Ayu dan Akhtar.

Antara keistimewaan yang ditonjolkan menerusi drama ini ialah penampilan watak utama, Cik Ayu yang disandang oleh Amelia sering menggayakan padanan tradisional kebaya dan cucuk sanggul sebagai pakaian harian. 

‘Styling’ untuk dandanan sanggul Amelia mendapat sentuhan juru solek yang terkenal dengan sifat latah iaitu PS Mansur. Beliau mengambil masa 30 minit untuk menyiapkan dandanan sanggul tersebut sewaktu di set.

Sebanyak 40 helai set kebaya telah digayakan oleh Amelia sepanjang penggambaran drama ini berlangsung.

Selain itu, menu ‘mee sanggul’ juga turut dijadikan menu utama di café Ayu Cuisine yang dimiliki oleh watak Cik Ayu menerusi drama ini.

Menarik lagi, menu ‘mee sanggul’ tersebut juga merupakan kegemaran watak Akhtar yang dilakonkan oleh Aqasha dan anaknya Uwais, lakonan Aryan Azdrin.

Dato’ Rosyam Nor muncul sebagai penampilan istimewa dalam drama ini membawakan watak sebagai Tuan Baharom, iaitu suami yang penyayang kepada Ayu.

Selain Rosyam, pelakon Dynas Mokhtar dan Cat Farish juga turut membuat kemunculan khas dalam drama ini. Dynas melakonkan watak sebagai Farhana yang merupakan bekas isteri kepada Akhtar. Manakala Cat pula memegang watak Hamzah, suami kepada watak Mak Milah lakonan Natasha Hamzah yang merupakan makcik saudara kepada watak Akhtar.

Drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ merupakan drama pertama yang melibatkan banyak episod pernah dilakonkan oleh Aryan. Sebelum ini, kemunculan Aryan sebagai watak tambahan dalam karya terdahulu cuma untuk babak yang tertentu sahaja.

Sebagai pelakon kanak-kanak yang baru menceburkan diri dalam bidang lakonan, Aryan pada mulanya berasa agak takut dan malu kerana tidak ada pelakon lain dalam lingkungan umur yang sama terlibat dengan penggambaran drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’. Namun, perasaan tersebut hilang dengan sendiri apabila Aryan sudah dapat menyesuaikan diri serta sering diberi tunjuk ajar oleh barisan pelakon lain dan krew produksi sewaktu di set. 

Drama  Cik Ayu Mee Sanggul

Pecahan Watak Drama ‘CIK AYU MEE SANGGUL’

AMELIA HENDERSON sebagai Cik Ayu

AQASHA sebagai Akhtar

ARYAN AZDRIN sebagai Uwais

IMAN ZULKARNAIN sebagai Rizman

SHIKIN KAMAL sebagai Mastura

FIMIE DON sebagai Joe Al-Jufry

ASHA MERICAN sebagai Icha

NABIL AQIL sebagai Hazmel/Mel

AZNAH HAMID sebagai Wan Cun

MAHMUD ALI BASHAH sebagai Razak

IZZENDRA sebagai Zaza

NATASHA HAMZAH sebagai Wan Milah

CAT FARISH sebagai Hamzah

WAN RAJA sebagai Faizal

DYNAS MOKHTAR sebagai Farhana

DATO’ ROSYAM NOR sebagai Tuan Baharom

Drama  Cik Ayu Mee Sanggul

Sinopsis Drama ‘CIK AYU MEE SANGGUL’

Mengisahkan pengorbanan seorang balu muda yang menikahi seorang duda tanpa ikatan cinta demi menjadi ‘ibu segera’ kepada Uwais, anak duda tersebut. Ayu adalah pengusaha Mee Sanggul yang berjaya di Kota KL. Perkenalan dan hubungan rapatnya dengan Uwais serta Nek Wan ditentang oleh Akhtar apabila mendapat tahu Ayu adalah isteri kepada Arwah Tuan Baharom yang mewarisi segala hartanya. Akhtar skeptikal terhadap status janda Ayu kerana pengalaman pahitnya bersama bekas isterinya. Uwais pula masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu. Ayu berkorban dan membuat keputusan untuk meminang Akhtar sendiri. Ayu juga didekati lelaki-lelaki lain dalam hidupnya yang sentiasa menjadi penghalang kisah cintanya.

Drama  Cik Ayu Mee Sanggul
Drama  Cik Ayu Mee Sanggul

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Farah Diana | 23

Anda Mahu Nampak Sentiasa Muda & Remaja, Amalkan Mengambil Makanan Ini

Siti Nurhaliza | 24

Dari Berat 92kg, Siti Nurhaliza Berjaya Turunkan 20kg Selepas Melahirkan Muhammad Afwa