in , ,

Astro Umum Kerjasama Jangka Masa Panjang, Dah ‘Lock’ Novel Siti Rosmizah

Astro mengumumkan pemeteraian kerjasama jangka masa panjang dengan SR One Sdn. Bhd. yang disaksikan oleh Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario dan Pengarah SR One Sdn. Bhd serta penulis novel tersohor, Siti Rosmizah Semail.

Kolaborasi ini menunjukkan keazaman Astro dalam mengukuhkan lagi kedudukan syarikat penyiaran tersebut sebagai hab utama negara untuk pembikin-pembikin drama mahupun kandungan yang berprestij dengan mengunci empat buah novel hasil nukilan penulis prolifik tersebut. 

Jangan Menangis Cinta, Andai Itu Takdirnya 1&2 serta Takdir Itu Milik Aku bakal menemui peminat-peminat drama di Astro bermula bulan Mac ini sehingga 2023. Penjualan novel- novel tersebut telah mencecah lebih daripada setengah juta naskah dan merupakan antara novel-novelnya yang terlaris. 

Astro Umum Kerjasama Jangka Masa Panjang, Mengunci Empat Buah Novel Siti Rosmizah

Garapan naratif Siti Rosmizah yang berpaksikan pergolakan emosi merupakan kekuatan novelis tersebut yang mampu menarik minat penonton-penonton untuk mengikuti drama- drama beliau. Watak-watak yang dihasilkannya adalah ikonik dan seringkali menjadi topik perbualan di laman jaringan sosial sehinggakan trending

Adaptasi hasil-hasil nukilan Siti Rosmizah di platform Astro bukanlah sesuatu yang asing lagi di kalangan peminat-peminat drama tempatan. Kejayaan drama-drama adaptasi beliau yang lalu menunjukkan pencapaian rating tinggi yang konsisten. Ini termasuk Lafazkan Kalimah Cintamu yang telah menjadi Drama Top Rated untuk tahun 2018 dan Curi-Curi Cinta pula menjadi drama yang mencapai rating tertinggi untuk 2019. Manakala Rindu Awak Separuh Nyawa menjadi drama yang memperoleh rating tertinggi untuk 2021. 

KENYATAAN RASMI NAIB PRESIDEN STRATEGI PEMBANGUNAN KANDUNGAN HIBURAN MELAYU ASTRO, RAQIM AHMAD

“Dengan sukacitanya, saya bagi pihak Astro ingin mengumumkan kolaborasi bersama penulis novel prolifik negara, Siti Rosmizah. Kerjasama ini akan menyaksikan empat buah novelnya dikunci untuk diadapatasi sebagai drama di Astro. Ini termasuk Jangan Menangis Cinta yang bakal bersiaran pada bulan Mac ini, Andai Itu Takdirnya 1&2 serta Takdir Itu Milik Aku

Sekali lagi Astro membuktikan kemampuan untuk berdaya saing dalam industri yang amat kompetitif dengan membawa kandungan-kandungan berkualiti tinggi dan premium untuk tatapan penonton-penonton. Dengan kehadiran Siti Rosmizah yang konsisten dalam slot-slot drama di Astro, para penonton pastinya akan berpuas hati dengan seleksi kandungan kami. 

Selain daripada itu, novel-novel yang akan diadaptasi bukanlah calang-calang novel. Novel- novel daripada penulis tersohor ini merupakan antara yang terlaris dan top-selling di negara kita. Sudah pastinya bagi mereka yang sudah membaca novel-novel ini tidak sabar untuk melihat karya-karya tersebut diangkat ke kaca televisyen mahupun peranti mudah alih mereka. 

Bagi pihak Astro, kami berharap seleksi hasil karya Siti Rosmizah ini mampu menarik ramai lagi peminat-peminat drama ke platform kami. Kami menjanjikan kepuasan yang maksimum dengan kualiti produksi, arahan dan lakonan yang unggul. Kami turut berharap kerjasama bersama penulis prolifik ini berterusan dan mengecapi kejayaan yang berpanjangan.” 

KENYATAAN RASMI PENULIS NOVEL & PENERBIT DRAMA, SITI ROSMIZAH 

“Saya dan pihak Astro mempunyai visi dan misi yang sama untuk mencapai satu sasaran menerbitkan drama-drama yang berkualiti dan mendapat rating tertinggi. Itulah nadi kepada kolaborasi bersama Astro pada kali ini. 

Astro Umum Kerjasama Jangka Masa Panjang, Mengunci Empat Buah Novel Siti Rosmizah

Ternyata pengalaman yang baik menerusi drama-drama saya yang lalu membuatkan saya senang berkolaborasi dengan pihak Astro. Saya rasa diri saya amat dihargai apabila saya diberi ruang untuk berkarya dan sentiasa mendapat sokongan padu daripada wakil pihak Astro. 

Saya suka cara kerja Team Astro yang begitu komited dan dedikasi serta profesional. 

Dengan kerjasama ini, saya berharap drama-drama yang dipertontonkan mampu mendapat rating yang tertinggi dan menjadikan seleksi drama ini rancangan-rancangan nombor satu di Malaysia dan di mana-mana platform media sosial. 

Setiap drama ada tarikan dan kekuatan masing- masing. Keunikan ploting dan garapan cerita yang lain bagi setiap drama. Yang pasti penonton akan suka dan teruja serta tak sabar untuk menonton kerana karya-karya ini memang dah lama dinantikan oleh penonton-penonton di luar sana untuk diadaptasi. 

Penonton-penonton wajib tonton drama-drama adaptasi daripada karya-karya saya sebab inilah antara masterpiece yang terbaik yang disimpan untuk sekian lama. 

Yang pasti penonton akan berpuas hati dan drama-drama ini akan menjadi fenomena seperti drama-drama saya yang lain iaitu Lafazkan Kalimah Cintamu, Curi-Curi Cinta dan Rindu Awak Separuh Nyawa. Yang pasti lagi hebat!” 

Astro Umum Kerjasama Jangka Masa Panjang, Mengunci Empat Buah Novel Siti Rosmizah

SINOPSIS DRAMA ‘JANGAN MENANGIS CINTA’ 

Riyana seorang gadis dari keluarga sederhana. Pertemuan tanpa diduga dengan pelajar lelaki bernama Zafran Zahim telah mengundang masalah pada dirinya. Namun takdir Tuhan tiada siapa dapat halang. Selepas tamat belajar Hariz, abang Zafran telah menghantar rombongan meminang setelah jatuh cinta pandang pertama pada Riyana. Namun bahagia hanya seketika, Hariz berubah secara tiba-tiba dan memutuskan pertunangan mereka tanpa alasan. Begitu juga Zafran, Dina memutuskan pertunangan mereka untuk mengahwini Hariz. Riyana redha menerima. Dia menganggap mereka tiada jodoh. Tapi Zafran mengamuk. Dia bergaduh dengan abangnya yang dituduh merampas tunangnya. Zafran berdendam dengan abangnya. Dia akhirnya memutuskan untuk berkahwin dengan Riyana. Di awal perkahwinan mereka begitu hambar. Zafran masih dingin dengannya. Riyana bukan saja makan hati
dengan sikap suaminya tetapi juga layanan keluarga Zafran padanya. Namun atas kesabaran Riyana akhirnya Zafran mula jatuh cinta padanya. Bahagia hanya seketika, Riyana diduga. Anak yang dilahirkan cacat. Cinta Aryana lahir tanpa sebelah kaki. Zafran tidak dapat menerima. Dia malu dengan kecacatan anaknya yang mendorongnya untuk menceraikan Riyana dengan talak satu. Mampukah ketulusan hati Cinta Aryana menyatukan semula kedua orang tuanya? 

Drama ini akan ditayangkan pada 21 Mac 2022 menerusi Astro RIA (Isnin-Khamis, 10 malam). 

SINOPSIS DRAMA ‘ANDAI ITU TAKDIRNYA 1’ 

Aleya, seorang gadis berasal dari keluarga sederhana. Dia menyimpan perasaan pada seorang anak tokoh korporat yang juga rakan kuliahnya di universiti di United Kingdom, Syed Adam Aizril. Syed Aizril digilai ramai wanita kerana ketampanan dia. Hidup dia yang kaya menjadikan Syed Aiziril seorang yang berlagak dan sombong.Tanpa di duga telah berlaku satu insiden yang menyatukan Syed Aizril dan Aleya. Mereka telah diperangkap oleh Faizal hingga ditangkap khalwat. Syed Aizril tidak boleh terima dia menuduh Aleya yang perangkap dia semata-mata hendak hidup senang. Syed Aizril dan Aleya disatukan dalam satu majlis pernikahan yang sederhana. Bapa Aleya, Encik Idris begitu kecewa, namun dia tetap hadir untuk mewalikan anaknya. Ibu bapa Syed Aizril pun sama, mereka kecewa namun terpaksa menerima. Puan Sri Sharifah Aishah mama Syed Aizril begitu membenci Aleya begitu juga dengan emak saudaranya, Sharifah Rosnah. Sepupu Syed Aizril, Sharifah Emilin, yang sepatutnya menjadi isteri Syed Aizril begitu kecewa. Aleya melalui dugaan dalam hidupnya dengan Syed Aizril menyeksa hidupnya. Namun takdir penentu segalanya, Syed Aizril ditimpa kemalangan namun mampukah Aleya memaafkan semula lelaki yang telah menyeksa kehidupannya tanpa belas? 

Drama ini akan ditayangkan pada suku kedua 2023. 

SINOPSIS DRAMA ‘ANDAI ITU TAKDIRNYA 2’ 

Syed Aizril dan Aleya melayari bahtera hidup yang bahagia bersama anak-anak. Lapan tahun hidup berumah tangga begitu indah dan manis rasanya. Datin Sharifah Rosnah tidak dapat menerima takdir yang tersurat buat arwah anaknya. Hati itu masih hitam dengan dendam kesumatnya! Faizal pula, penjara masih tidak menginsafkannya. Kebencian pada Syed Aizril dan Aleya begitu mendalam sekali. Janjinya! Aleya dan Syed Aizril akan hidup merana! Sharifah Azreen hadir dengan visi untuk memiliki cinta Syed Aizril. Dugaan yang melanda dalam hidupnya, mengoyahkan hati lelaki ini. Janji pada isterinya dilupakan begitu saja. Hati Syed Aizril sudah tepu dengan ego! Dan ego itu, akhirnya menghancurkan hidupnya. Saat ini, penyesalan dah tak berguna. Hati Aleya sudah mati buatnya! Perlu ke Aleya berpaling lagi? 

Lelaki itu sudah menghancur lumatkan hatinya! Lelaki itu menyeksanya!Lelaki itu mengkhianati cintanya! Andai Itu Takdir-NYA, Aleya redha. 

Drama ini akan ditayangkan pada suku kedua 2023. 

SINOPSIS DRAMA ‘TAKDIR IT MILIK AKU’ 

Dian Zara, seorang anak yatim piatu yang menumpang kasih dengan neneknya. Emak saudaranya, Kamsiah tidak henti-henti menyeksa hidupnya. Maki hamun, pukul, cerca sudah lali dalam dirinya. Impian gadis muda ini untuk belajar hingga ke menara gading telah musnah di tengah jalan. Dian disuruh menjadi orang gaji. Dia akur dengan kehendak emak saudaranya. Menjadi orang gaji bagaikan memberi sinar baru dalam hidupnya. Tapi sementara cuma. Perkenalan dengan cucu majikannya telah membuka tirai penderitaan dalam hidupnya semula. Dian telah ditipu dengan janji manis seorang lelaki. Janji untuk membahagiakan hidupnya hanyalah dusta belaka. Zarif Adha, kerjaya dan kekayaan keluarganya menjadikan dirinya seorang yang angkuh dan sombong. Keangkuhan dan kesombongannya itu menyebabkan dia tidak teragak-agak mempermainkan hidup gadis naif ini. Rupanya dalam diam ada rancangan yang diatur dengan mamanya. Datin Munirah, ketamakannya menjadikan dia lupa pada batas agama. Tanpa belas mahu pun simpati, hidup seorang gadis sanggup dihancurkan demi mencapai visi untuk membolot harta emak mentuanya. Dian melalui penderitaan dalam hidupnya. Anaknya meninggal, Dian dihina, dikeji. Tetapi Dian tidak mengalah, dia akhirnya bangkit untuk membela nasibnya. Kala itu biarpun beribu sesalan terucap di bibir lelaki ini, semuanya sudah tidak bererti padanya lagi. 

Drama ini akan ditayangkan pada suku keempat 2023. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tom Hardy | 20

Astro Ulti Box Kini Boleh Strim Netflix Pada Definisi Tinggi (HD) Mulai Hari Ini

Budiey | 21

Jam Tangan Ikonik Ice-Watch, ICE Generation Kini Kembali