in ,

Nilai Kasih Sayang Dalam Telemovie ARAH LAIN KE SYURGA

Telemovie bertajuk “Arah Lain ke Syurga” mengisi slot popular Citra di TV2 yang disiarkan pada 13 Julai ini, pukul 9.30 malam, mengajak penonton menghayati watak wanita bernama Qaseh yang pada mulanya merupakan gadis naïf yang cuba melarikan diri dari rumah kerana terlalu mengikut kekasih. Namun frasa hidupnya berubah menjadi wanita yang cekal dan tabah setelah dia tanpa sengaja menggalas tanggungjawab sebagai ibu angkat kepada anak pasangan suami isteri yang telah meninggal dunia.

Babak Dalam Arah Lain Ke Syurga

Nilai Kasih Sayang Dalam Telemovie ARAH LAIN KE SYURGA di TV2

Bersama gandingan watak Wan Sharmila, Norman Hakim, Aznah Hamid, Jegan, Kencana Dewi dan Tan Mei Ling, kisah “Arah Lain ke Syurga” bermula dengan plot Qaseh bertengkar dengan ibunya, Khadijah. Dia berdegil untuk berkahwin dengan Haikal dan tetap akan mengahwini Haikal walau tanpa kebenaran ibunya. Qaseh melarikan diri dari rumah meninggalkan ibunya sendirian. Qaseh bertemu Razak dan meminta lelaki itu menghantarnya bertemu Haikal. Dalam berat hati, Razak menurut. Sebelum pergi, Qaseh sempat mengamanahkan Razak untuk menjaga ibunya.

Namun niatnya telah dinodai oleh Haikal yang bertindak untuk merogolnya. Qaseh diselamatkan oleh sepasang suami isteri bersama anak mereka yang masih kecil. Si suami berbangsa Cina, Wai Choon dan isterinya Sugunah, kaum India. Rupa-rupanya suami isteri itu juga melarikan diri daripada keluarga Sugunah yang tidak merestui perkahwinan mereka. Mereka dikejar oleh Kamlesh, sepupu Sugunah yang membocorkan rahsia kepada ibu Sugunah, Prema.

Berlaku kejadian yang tidak diingini apabila mereka terlibat dengan kemalangan menyebabkan suami isteri itu mati di tempat kejadian. Qaseh tidak sedarkan diri dan terbaring berdekatan sungai. Anak kecil pasangan itu selamat berada dan berada dalam pelukan Qaseh. Qaseh bernasib baik kerana ditemui Shui Tin. Shui Tin membawa Qaseh dan anak kecil pulang ke rumahnya.

Shui Tin menjaga Qaseh dan si anak kecil sebaik-baiknya. Qaseh terkejut bila menyedari dirinya terbaring di atas katil. Shui Tin menenangkan Qaseh. Qaseh bangun dan merampas anak kecil dari pelukan Shui Tin. Qaseh mengucapkan terima kasih dan mahu meminta diri. Shui Tin tahu Qaseh masih lemah dan menasihatkan agar Qaseh tinggal sebentar di rumahnya, lagipun dia hanya tinggal sendirian setelah kematian suami dan anaknya.

Shui Tin menyangkakan anak itu adalah anak kandung Qaseh. Apatahlagi Qaseh meyakinkan yang itu memang bayinya. Qaseh menjaga anak itu penuh kasih sayang dan diberi nama Soraya. Qaseh meneruskan kehidupan bersama Shui Tin sementara sembuh sepenuhnya.

Setelah beberapa tahun berlalu, Soraya telah dijejaki oleh neneknya, Prema. Ketika itu tercetus konflik perebutan hak untuk menentukan siapakah yang berhak menjaga Soraya. Bagaimana pula penerimaan ibu Qaseh setelah diberi tahu anaknya masih hidup?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Manfaatkan Percutian Muzik Hutan Hujan Anda

#AirAsiaMAKNA Kumpul RM300,300 Bagi Kempen Kesedaran Kanser Tahun Ketiga