in ,

Apa Yang Menariknya Drama Bersiri DEMI CINTA AIN

Setelah tamatnya drama bersiri Bodyguard di slot Aksi pada 18 April lalu, slot Samarinda mengambil tempat dengan drama terbaharu yang telah pun mula bersiaran pada 19 April lalu iaitu Demi Cinta Ain. Demi Cinta Ain dilakonkan oleh Aiman Hakim Ridza, Risteena, Nazrief Nazri, Zahirah Macwilson, Zizan Nin, Jasmin Hamid, Nazeera Sardi, Fazli Daniel Ali dan Qistina Raisah bersiaran setiap hari Isnin hingga Rabu pada jam 10.00 malam.

DCA7

Apa Yang Menariknya Drama Bersiri DEMI CINTA AIN

[pullquote]D[/pullquote]emi Cinta Ain mengisahkan perkahwinan Alif, watak yang dipegang oleh Aiman Hakim dengan Sakinah (Nazeera Sardi) diuji apabila Sakinah disahkan menghidap kanser. Mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Hakim (Fazli Daniel Ali) dan Hanis (Qistina Raisah). Alif semakin tertekan apabila perlu menanggung kos pembiayaan perubatan Sakinah yang tinggi sehinggakan mereka terpaksa menumpang di rumah ibu tiri Sakinah, iaitu Suraya (Jasmin Hamid) yang menjalankan perniagaan restoran terapung. Suraya tidak suka dengan kehadiran Alif sekeluarga menumpang di rumahnya dan seringkali melepaskan kemarahannya pada Hakim dan Hanis apabila dia merasa terbeban kerana perlu menanggung perbelanjaan harian mereka.




Dalam masa yang sama pula, Ain Maisara (Risteena) adik Sakinah kurang senang dengan Alif. Sikap panas baran Aliff yang dilihat sering sahaja memarahi Sakinah walaupun Sakinah dalam keadaan lemah membuatkan Ain bertambah benci kepada Alif. Ain juga berasa tertekan apabila dia dipaksa oleh Suraya untuk bekerja di restorannya sebagai daya penarik supaya lebih ramai pelanggan datang ke restoran mereka.

Dalam kebuntuan memikirkan kesempitan hidup, ketika minum di sebuah warung, Alif terpandang seorang pelanggan wanita tertinggal beg tangannya. Alif hilang pertimbangan, dia mengambil beg tangan tersebut dengan menyembunyikan di sebalik jaket yang dipakainya. Pada mulanya Alif serba salah untuk mengambil duit di dalam beg tangan tersebut tetapi mengenangkan ungkitan Suraya yang sering merungut kerana terpaksa menanggung Alif sekeluarga, akhirnya Alif mengambilnya. Perbuatan Alif itu akhirnya membawa padah apabila dia tertangkap dan dipenjarakan.

Tanpa Suraya dan Ain sedar, Alif sebenarnya telah banyak berkorban demi menjaga dan membiayai kos rawatan Sakinah. Alif telah menjual lorinya kepada Ashraf (Zizan Nin) untuk mendapatkan duit, kemudian terpaksa pula bekerja dengan Ashraf untuk meneruskan hidupnya. Semua kesusahan itu dirahsiakan oleh Alif, cuma Mawar (Zahirah Macwilson) rakan baik Sakinah yang tahu semua pengorbanan Alif.

Apabila mengetahui kebenaran itu, terdetik perasan cinta di hati Ain terhadap Alif namun terhalang oleh perancangan Suraya yang mahukan Ain berkahwin dengan Ashraf yang kaya itu. Ain juga buntu memikirkan akan perihal Adam (Nazrief Nazri) yang turut menyimpan perasaan terhadapnya.

Ikuti kesudahan perjalanan Alif dan juga dilema cinta antara Ain, Alif, Adam dan Mawar dalam Demi Cinta Ain yang diarahkan oleh Raja Ahmad Alauddin dibawah terbitan rumah produksi Zamriez Golden Pictures.

DCA1

DCA2

DCA3

DCA4

DCA5

DCA6

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telefilem RAJUK Lakonan Shamsul Ghau Ghau

Fahrin Ahmad Kongsi Idea & Tip Rumah Impian