in ,

Anuar Zain Menang Saman Kes Tuntutan Royalti

KUALA LUMPUR: “Saya lega akhirnya keputusan ini memihak kepada saya. Terima kasih kepada mahkamah kerana prihatin masalah artis,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini, Anuar Zain.

Dia berkata demikian di luar mahkamah kepada media sejurus berjaya dalam kes samannya terhadap Synchrosound Records Label Music Sdn Bhd bagi menuntut bayaran royalti daripada syarikat rakaman itu di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi Dr Prasad Sando Sham Abraham membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan mendapati syarikat rakaman itu tidak lagi beroperasi dan tiada lagi pekerja. Bagaimanapun, jumlah ganti rugi pembayaran royalti akan ditaksirkan kemudian oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada satu tarikh yang belum ditetapkan. Adik kepada penyanyi Ziana Zain itu diwakili peguam Aizul Rohan Anuar manakala Synchrosound diwakili peguam Max Yong.

Terdahulu, Aizul Rohan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak mempunyai penyata mengenai penjualan album, namun boleh mendapatkannya daripada Universal Music iaitu syarikat rakaman yang menjadi pengedar album Anuar pada 2001 hingga 2006. Synchrosound memfailkan saman terhadap Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Annuar Zain, 21 April 2006, menuntut ganti rugi atas dakwaan melanggar perjanjian kontrak rakaman bertarikh 23 Februari 2001.

Dalam pernyataan tuntutannya, Synchrosound mendakwa kontrak rakaman itu bermula dari 23 Februari 2001 hingga 22 Februari 2005 dengan perjanjian Anuar merakamkan satu album setahun yang mengandungi lagu pilihan syarikat rakaman berkenaan.

Syarikat rakaman itu mendakwa Anuar sepatutnya merakamkan empat album untuk keseluruhan tempoh perjanjian itu. Bagaimanapun, Anuar hanya merakam satu album pada 2001 dan enggan serta gagal merakamkan sebarang album mengandungi lagu yang dipilih syarikat rakaman itu walaupun sudah diminta berbuat demikian.

Plaintif mendakwa Anuar menggunakan pelbagai cara untuk memungkiri perjanjian seperti membuat permintaan tidak munasabah dan gagal atau enggan menghadiri mesyuarat. Synchrosound juga mendakwa pada 11 September 2004, Anuar menulis surat untuk membatalkan perjanjian berkenaan tanpa alasan.

Anuar dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balasnya menafikan ada peruntukan dalam perjanjian berkenaan supaya beliau merakamkan satu album setahun bermula 2001. Defendan juga menafikan membuat permintaan yang tidak munasabah sebaliknya menegaskan dia mempunyai sebab munasabah untuk tidak menghadiri pertemuan dengan syarikat rakaman itu.

Anuar yang terkenal dengan lagu Perpisahan dan Ketulusan Hati juga membuat tuntutan balas terhadap Syncrosound yang difailkan pada 20 Jun 2006.

Anuar selaku defendan dalam tuntutan balasnya mendakwa dia menyerahkan notis penamatan kontrak pada 11 September 2004 untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham bahawa perjanjian antara dia dengan Syncrosound (plaintif). Pada 27 Disember 2007, Mahkamah Tinggi membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan Synchrosound terhadap Anuar Zain.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Anuar Zain menang kes tuntut royalti

KUALA LUMPUR 14 Mei – Selepas empat tahun turun naik mahkamah, penyanyi Anuar Zain hari ini berjaya dalam kes saman balas bagi menuntut royalti daripada syarikat rakaman Syncrosound Records Label Music Sdn. Bhd. (Syncrosound).

Jumlah bayaran royalti tersebut bagaimanapun masih belum ditentukan kerana nilainya perlu ditaksirkan terlebih dahulu oleh Penolong Kanan Pendaftar sebaik sahaja penyanyi tersebut mengemukakan bukti berkaitan jumlah jualan album beliau.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Dr. Prasad Sandosham Abraham turut memerintahkan Syncrosound membayar kos dan faedah sebanyak lapan peratus ke atas jumlah royalti setahun bermula Jun 2006 kepada Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Annuar Zain, 40.

Terdahulu, peguam yang mewakili penyanyi lagu Lelaki Ini, Aizul Rohan Anuar memberitahu, syarikat rakaman tersebut telah gagal mengemukakan laporan jualan album sebagaimana yang diarahkan mahkamah pada prosiding lalu.

Peguam, Max Yong yang mewakili syarikat rakaman itu mengakui perkara tersebut dan menyatakan kegagalan tersebut adalah berikutan Syncrosound telah tidak lagi beroperasi.

Anuar memfailkan tuntutan balas dan pembelaan pada 20 Jun 2006 setelah beliau disaman oleh Syncrosound pada 21 April tahun yang sama.

Syncrosound dalam samannya, mendakwa penyanyi itu memungkiri perjanjian apabila menamatkan kontrak tanpa merakamkan tiga buah album lagi dengan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, pada 27 Disember 2007, Penolong Kanan Pendaftar, Siti Aishah Ab. Rashid telah membatalkan tuntutan Syncrosound tersebut.

Dalam tuntutan balasnya, Anuar mendakwa, beliau dan Syncrosound seharusnya merakam dan mengeluarkan sebuah album sahaja tetapi syarikat itu telah melibatkannya dalam lebih daripada dua buah album.

Namun begitu, dakwanya, syarikat itu tidak pernah memberikan sebarang butiran atau penyata mengenai penjualan album-album tersebut seperti yang dikehendaki dalam perjanjian.

Adik kepada penyanyi Ziana Zain itu juga menyatakan sejak 23 Februari 2001, dia hanya menerima pembayaran royalti hasil penjualan kesemua albumnya dengan Syncrosound sebanyak RM2,000 sahaja.

Sementara itu, Anuar ketika ditemui selepas tamat prosiding menyatakan rasa syukurnya kerana penantian selama empat tahun akhirnya berbaloi.

”Saya lega dengan keputusan hari ini, terima kasih kepada mahkamah. Harap selepas ini, mana-mana artis terutama artis baru, dapatkan bantuan peguam sebelum menandatangani apa-apa kontrak,” ujar Pemenang Artis Lelaki Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008.

Anuar memberitahu, kes itu melibatkan sebuah album solo dan beberapa album kompilasi yang diterbitkan ketika di bawah syarikat Syncrosound.

Penyanyi itu juga sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah, sempat meluangkan masa dengan para peminatnya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Tonton Cerita Teh Tarik F&N Dapat Hadiah

Stacy Duta Clinelle Kereta Peugeot 307 Kemalangan